Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah terdapat hadith yang menyatakan bahawa perkataan “kafir” tertulis pada dahi dajjal? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan takrifan dajjal terlebih dahulu. Kata Dajjal (دَجَّال) berasal dari kata dajala, ertinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-‘Arab (hlm. 236-237) mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.
- Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
- Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
- Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
- Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.
Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu, dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipu daya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (lafaz) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipu daya.
Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:
- Seorang manusia.
- Rambutnya kerinting dan kusut masai.
- Sebelah daripada matanya buta.
- Tertulis pada dahinya كُفُر (kufur) atau كَافِر (kafir). (Lihat Siri 1 Kajian al-Fitan wa al-Malahim, Dajjal; Hakikat dan Tanda Akhir Zaman, hlm. 6-7)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar terdapat hadith sahih, di antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, yang menceritakan bahawa tertulis perkataan “kafir” pada dahi atau di antara kedua mata Dajjal. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:
مَا بُعِثَ نَبِيٌّ إِلَّا أَنْذَرَ أُمَّتَهُ الْأَعْوَرَ الكَذَّابَ، أَلاَ إِنَّهُ أَعْوَرُ، وَإِنَّ رَبَّكُمْ لَيْسَ بِأَعْوَرَ، وَإِنَّ بَيْنَ عَيْنَيْهِ مَكْتُوبٌ كَافِرٌ
Maksudnya: “Tidak ada seorang nabi pun yang diutus melainkan dia memperingatkan umatnya tentang seorang lelaki yang cacat matanya lagi kuat pembohongannya. Ketahuilah, sesungguhnya Dajjal itu bermata cacat sedangkan Tuhan kamu tidaklah cacat mata. Sesungguhnya di antara kedua mata Dajjal tertulis perkataan ‘kafir’.”
Riwayat al-Bukhari (7131)
Dalam riwayat yang lain datang dengan lafaz:
الدَّجّالُ مَمْسُوحُ العَيْنِ مَكْتُوبٌ بيْنَ عَيْنَيْهِ كافِرٌ، ثُمَّ تَهَجّاها ك ف ر يَقْرَؤُهُ كُلُّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Dajjal buta sebelah matanya dan di antara matanya tertulis perkataan ‘kafir’. Baginda kemudiannya mengeja kaf fa’ ra’ (ك ف ر) yang boleh dibaca oleh setiap Muslim.”
Riwayat Muslim (2933)
Ibn al-Athir menyebutkan, Dajjal disebut Masih, kerana salah satu matanya terhapus. Manakala al-Masih ialah orang yang salah satu sisi wajahnya mamsuh (terhapus), tidak ada matanya dan tidak ada kening. (Lihat Jami‘ al-Usul fi Ahadith al-Rasul, 4/203).
Kemungkinan timbul persoalan pada sebahagian orang bahawa bagaimana seseorang boleh terpedaya dengan tipu daya Dajjal sedangkan ia sudah diketahui. Dalam hal ini, kami katakan bahawa ia bukanlah sesuatu perkara yang aneh. Hal ini kerana ia adalah suatu ujian yang boleh menimpa sebahagian orang, di mana mereka mungkin terpesona (tertipu) dengan perkara-perkara luar biasa yang diperlihatkan oleh Dajjal sehingga mereka mula beriman dengannya.
Adapun orang yang beriman kepada Allah akan dibimbing (dilindungi) dan dia dapat membaca perkataan “kafir” yang terdapat di antara dua mata Dajjal. Ini adalah sebagaimana yang diterangkan oleh Nabi SAW dalam hadith mengenai sifat-sifat Dajjal bahawa sesungguhnya Dajjal tertulis antara kedua matanya perkataan “kafir”, ia dapat dibaca oleh orang yang membenci amal perbuatannya atau dapat dibaca oleh setiap orang Mukmin.
Al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan perkataan Imam al-Nawawi yang menyebutkan, pendapat yang sahih yang menjadi pegangan para muhaqqiq bahawa penulisan yang disebutkan dalam hadith itu adalah secara hakikatnya (perkara sebenar), yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai tanda yang nyata bagi menunjukkan pendustaan Dajjal. Maka, Allah SWT akan menzahirkan tanda itu kepada orang yang beriman dan menyembunyikannya kepada orang yang inginkan kesengsaraan. (Lihat Fath al-Bari, 13/100).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”
Riwayat al-Bukhari (1377) dan Muslim (1352)
Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H