Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang itu keluar dari rumah  misalnya untuk mencari makan atau ke pasar mahupun ke pasaraya dalam keadaan belum lagi mandi wajib kerana mimpi basah atau kerana berhubungan suami isteri? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Seterusnya, para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).

Keduanya, sebagaimana yang kita maklumi bahawa mandi wajib tujuannya adalah untuk mengangkat hadas besar. Justeru, mandi wajib hendaklah dengan menggunakan air mutlak, yang boleh digunakan bagi mengangkat hadas dan membersihkan najis. Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).

Tambahan lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan beberapa contoh air mutlak. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh beliau bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, tidak dinafikan kadang-kadang seseorang terpaksa menangguhkan mandi wajibnya kerana beberapa perkara dan sebab. Di antaranya, mungkin kerana keluar dari rumah untuk mencari makanan kerana lapar atau pergi ke pasar bagi membeli sesuatu atau seumpamanya.

Secara umumnya, diharamkan ke atas orang yang berjunub atau berhadas besar lima perkara:

  • Solat.
  • Membaca al-Quran.
  • Memegang mashaf dan membawanya.
  • Tawaf.
  • Duduk di dalam masjid. (Lihat al-Tazhib fi Adillah Matn al-Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 40)

Oleh yang demikian, difahami bahawa keluar rumah atau melakukan aktiviti selain daripada lima perkara di atas tidak termasuk dalam perkara yang dilarang untuk dilakukan oleh orang yang sedang berjunub atau berhadas besar. Bahkan hal ini dikuatkan lagi dengan beberapa riwayat yang menceritakan bahawa ada sahabat Nabi SAW keluar dari rumah dalam keadaan masih lagi berjunub.

Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

لَقِيَنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا جُنُبٌ، فَأَخَذَ بِيَدِي، فَمَشَيْتُ مَعَهُ حَتَّى قَعَدَ، فَانْسَلَلْتُ، فَأَتَيْتُ الرَّحْلَ، فَاغْتَسَلْتُ ثُمَّ جِئْتُ وَهُوَ قَاعِدٌ، فَقَالَ: أَيْنَ كُنْتَ يَا أَبَا هِرٍّ، فَقُلْتُ لَهُ، فَقَالَ: سُبْحَانَ اللهِ يَا أَبَا هِرٍّ إِنَّ المُؤْمِنَ لاَ يَنْجُسُ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW bertemu denganku ketika aku dalam keadaan berjunub. Baginda memegang tanganku dan aku berjalan bersamanya sehingga Baginda duduk. Maka aku menyelinap lalu pulang ke rumah dan terus mandi. Kemudian aku datang lagi. Rasulullah SAW pada ketika itu duduk. Lantas Baginda bertanya: ‘Ke mana kamu tadi wahai Abu Hurairah?’ Aku pun memberitahu Baginda apa yang berlaku. Maka Nabi SAW bersabda: ‘Subhanallah! Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya orang beriman itu tidak najis.’

Riwayat al-Bukhari (285) dan Muslim (371)

Menjadi kebiasaan Rasulullah SAW apabila bertemu dengan sahabat-sahabatnya Baginda akan bersalaman dan berjalan sambil memegang tangan mereka. Baginda SAW selalu berinteraksi dengan sahabat-sahabatnya dengan penuh kemuliaan, di samping perbualan yang mesra, penuh ramah, dan kasih sayang.

Pada suatu hari, di salah satu jalan di Madinah, Abu Hurairah mendapati dirinya berhadapan dengan Rasulullah SAW dan pada masa itu beliau dalam keadaan berjunub. Rasulullah SAW mengambil tangannya dan duduk bersamanya, sedangkan beliau dalam keadaan tersebut tidak begitu selesa (kerana masih belum mandi wajib). Maka, Abu Hurairah menghilangkan diri lalu menyelinap dan pergi ke rumahnya. Setelah beliau selesai mandi, beliau kembali kepada Rasulullah SAW seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Rasulullah SAW perasan akan ketiadaan Abu Hurairah itu, maka ketika mana beliau datang, Baginda SAW bertanya kepadanya: “Apakah yang berlaku, wahai Abu Hurairah? Di mana kamu tadi? Ke mana kamu pergi? Apakah yang kamu lakukan?” Maka, Abu Hurairah menjawab: “Wahai Rasulullah, kamu bertemu denganku, sedangkan aku dalam keadaan berjunub. Jadi, aku merasa tidak selesa untuk duduk bersamamu sehinggalah aku mandi.”

Apa yang dilakukan oleh Abu Hurairah ini termasuk dalam adab yang baik di mana beliau melakukannya sebagai tanda penghormatannya terhadap Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW memahami bahawa Abu Hurairah berpendapat berjunub itu adalah najis, jadi tidak sepatutnya najis duduk bersama Nabi SAW. Oleh itu, Baginda menjelaskan kepada Abu Hurairah bahawa pendapatnya itu adalah salah kerana seorang Mukmin tidak menjadi najis, tidak kira semasa hidupnya mahupun setelah matinya. Oleh itu, tidak ada halangan bagi mereka yang dalam keadaan berjunub untuk bertemu sahabat-sahabatnya. Meskipun tidak dinafikan menyegerakan mandi wajib adalah lebih baik. Ini kerana dia dapat bertemu dengan sahabatnya dalam keadaan paling baik dan paling bersih. (Lihat Fath al-Mun‘im Syarh Sahih Muslim, 2/415).

Bukan itu sahaja, Imam al-Bukhari turut menamakan salah satu bab dalam kitab sahihnya (1/109) sebagai “Bab Orang Berjunub Keluar dan Berjalan di Pasar dan Selainnya.” Kemudian, beliau memasukkan dua hadith di bawah bab tersebut. Salah satunya adalah hadith sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas. Manakala satu lagi adalah hadith daripada Qatadah bahawa Anas bin Malik menyampaikan kepada mereka bahawa:

أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَطُوفُ عَلَى نِسَائِهِ، فِي اللَّيْلَةِ الوَاحِدَةِ، وَلَهُ يَوْمَئِذٍ تِسْعُ نِسْوَةٍ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah bersetubuh dengan kesemua isterinya pada malam yang sama, dan Baginda mempunyai sembilan orang isteri.”

Riwayat al-Bukhari (284)

Justeru, dapat difahami daripada hadith di atas bahawa Rasulullah SAW juga pernah keluar dalam keadaan berjunub, Ini kerana sebagaimana dimaklumi rumah isteri-isteri Baginda sekalipun berdekatan, tetapi ia tidak bersambung antara satu sama lain. Jadi, Baginda SAW perlu untuk bergerak keluar dari rumah menuju ke rumah isterinya yang lain.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seseorang yang sedang berjunub untuk keluar dari rumah bagi mencari makanan atau pergi ke pasar atau seumpamanya sebelum mandi wajib, dan hal tersebut tidak termasuk dalam perkara yang dilarang, bahkan sebaliknya nas menunjukkan ia adalah diharuskan. Sekalipun begitu, jika seseorang yang sedang berjunub dapat menyegerakan mandi wajib terlebih dahulu bagi mengangkat hadas besar yang sedang ditanggung, maka ia adalah lebih baik.

Namun, jika dia tetap tidak dapat melakukan mandi wajib sebelum keluar kerana tidak sempat disebabkan mengejar waktu dan sebagainya, maka sekurang-kurangnya dia berwuduk sebelum keluar. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini bahawa diqiaskan orang yang berjunub dengan perempuan yang haid dan nifas sekiranya telah berhenti darahnya. Begitu juga diqiaskan dengan perbuatan makan dan minum. Hikmah akan perkara tersebut adalah bagi meringankan hadasnya dan kebersihan. Sekiranya dia melakukan semua perkara tersebut (yakni seperti makan, minum dan tidur) dalam keadaan berjunub, hukumnya adalah makruh. Wuduk yang dimaksudkan disini ialah wuduk syar‘i  (yakni sebagaimana hendak solat) dan bukannya lughawi (yakni dengan maksud perbuatan membasuh tangan). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/195).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply