Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang menggunakan syampu yang tertulis padanya “Menjadikan rambut hitam bersinar”? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikan jawapan kami kepada beberapa bahagian. Pertamanya, secara umumnya, kenyataan “Menjadikan rambut hitam bersinar” dapat difahami dengan beberapa makna. Boleh jadi ia merujuk kepada produk tersebut yang menawarkan syampu untuk menjaga dan mengekalkan warna hitam. Syampu ini berguna untuk memastikan rambut kelihatan sihat dan tidak beruban. Boleh jadi juga ia merujuk kepada produk yang menawarkan rawatan dan penjagaan rambut warna hitam, di samping berfungsi sebagai pengilat. Ataupun boleh jadi juga ia menawarkan fungsi untuk menghitamkan rambut dan ia bertindak sebagaimana pewarna rambut atau mirip dengan pewarna rambut.
Keduanya, sekiranya syampu itu bertindak sebagaimana pewarna rambut atau mirip dengan pewarna rambut, di mana ia menghitamkan rambut yang menjadi warna putih kerana uban. Maka, kami melihat hukumnya kembali semula kepada perbahasan ulama berkenaan mewarnakan rambut dengan warna hitam. Para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam. Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, ulama dalam kalangan mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi — kecuali Abu Yusuf — berpendapat, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah makruh pada selain perang. Manakala semasa perang, ia adalah diharuskan secara ijma‘, bahkan sangat digalakkan. Di antara dalil mereka yang berpendapat bahawa diharuskan untuk mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:
إِنَّ أَحْسَنَ مَا اخْتَضَبْتُمْ بِهِ لِهَذَا السَّوَادُ، أَرْغَبُ لِنِسَائِكُمْ فِيكُمْ، وَأَهْيَبُ لَكُمْ فِي صُدُورِ أَعْدَائِكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik warna untuk kamu warnakan (rambut atau janggut kamu) dengannya adalah warna hitam, kerana ia lebih disukai oleh isteri-isteri kamu, dan menakutkan hati-hati musuh kamu.”
Selain itu, terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab bahawasanya beliau memerintahkan untuk mewarnakan rambut dengan warna hitam dan menyebutkan bahawa ia menenangkan isteri dan menakut-nakutkan musuh. Tambahan lagi, terdapat sebahagian sahabat mewarnakan (rambut dan janggut) dengan warna hitam dan tidak dinukilkan ada dalam kalangan mereka yang mengingkarinya. Di antara mereka yang melakukannya ialah Uthman, Abdullah bin Ja‘far, al-Hasan dan al-Husain. Selain itu, di antara mereka yang turut mewarnakannya dengan warna hitam dan berpendapat dengannya ialah Muhammad bin Ishaq, pengarang al-Maghazi, Ibn Abi ‘Asim dan Ibn al-Jauzi.
Selain daripada itu, terdapat pendapat lain dalam mazhab Hanafi yang menyatakan keharusan untuk mewarnakan rambut dengan warna hitam (secara mutlak). Inilah juga pendapat Abu Yusuf.
Manakala mazhab Syafi‘i pula berpendapat, haram untuk mewarnakan rambut dengan warna hitam kepada selain para mujahidin (ahli perang). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/280-281). Larangan ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:
يَكونُ قومٌ يخضِبونَ في آخرِ الزَّمانِ بالسَّوادِ كحواصلِ الحمامِ لا يريحونَ رائحةَ الجنَّةِ
Maksudnya: “Di akhir zaman nanti, akan ada sekelompok orang yang akan mewarnakan (rambut dan janggut) dengan warna hitam seperti warna bulu di dada burung merpati, mereka tidak akan mencium bau syurga.”
Riwayat Abu Daud (4212) dan al-Nasa’i (5075)[1]
Imam al-Nawawi menyebutkan, menurut mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) digalakkan (disunatkan) untuk mewarnakan uban bagi lelaki dan perempuan dengan warna kekuning-kuningan atau kemerahan, dan haram untuk mewarnakannya dengan warna hitam mengikut pendapat yang paling sahih (asah). Namun, terdapat pendapat menyatakan bahawa mewarnakan uban dengan warna hitam adalah makruh tanzih. Akan tetapi pendapat yang terpilih, ia adalah diharamkan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/80).
Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Jabir R.A, katanya: Abu Quhafah[2] yang rambutnya putih bak bunga kemboja (الثغامة), dibawa menemui Rasulullah SAW pada hari pembukaan kota Makkah, lalu Baginda bersabda:
غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ
Maksudnya: “Ubahlah warna uban rambutnya ini dengan sesuatu dan elakkanlah dari warna hitam.”
Riwayat Muslim (2102)
Menurut ulama mazhab Syafi‘i, larangan di atas bermaksud ia diharamkan, dan dalam hal ini lelaki dan perempuan adalah sama dari segi hukumnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/281).
Dalam al-Fiqh al-Manhaji dinyatakan, di antara hikmah pengharamannya ialah perbuatan menghitamkan uban mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Dengan celupan warna hitam, seseorang dewasa kelihatan seperti remaja, orang tua kelihatan muda kepada pandangan orang ramai. Hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada keadaan yang sebenar. Adapun warna yang lain tidaklah sampai ke tahap pengubahan, penipuan dan pemalsuan. Kemudian pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan bahawa mereka berpendapat, ia adalah kerana patuh dan taat semata-mata. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/100).
Justeru, dalam isu mewarnakan rambut menjadi hitam, kami berpendapat bahawa tidak boleh mewarnakan rambut dengan warna hitam melainkan terdapatnya keperluan seperti untuk menghilangkan aib kerana uban yang berlebihan di rambut sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar dan seumpamanya. Sekalipun begitu, kami tidak menafikan sebahagian ulama menghukumkannya sebagai makruh.
Perbahasan lanjut berkenaan hal ini, boleh juga merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1423: Warnakan Rambut dengan Warna Hitam.[3]
Ketiganya, sekiranya syampu itu tidak bertindak sebagaimana pewarna rambut atau mirip dengan pewarna rambut , di mana ia tidak menghitamkan rambut yang menjadi warna putih kerana uban. Akan tetapi fungsinya adalah untuk menjaga, merawat, menguatkan dan mengekalkan rambut yang berwarna hitam, maka dalam hal ini hukum menggunakannya adalah kembali semula kepada hukum asal iaitu diharuskan selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.
Hal ini adalah sebagaimana keumuman firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:
وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ
Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”
(Surah al-Jathiyah: 13)
Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ
Maksudnya: “Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”
Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)
Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).
Maka, ia bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Perkara yang perlu diberi perhatian juga adalah bahan-bahan produk syampu yang ingin digunakan mestilah bukan bahan yang mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan atau memberikan risiko dan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan. Justeru, setiap perkara yang mendatangkan risiko kesihatan dan mudarat perlu dielakkan demi menjaga nyawa seseorang manusia. Hal ini bertepatan dengan larangan menerusi firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38.).
Hal ini bertepatan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami menyimpulkan jawapan kami sebagaimana berikut:
- Jika produk syampu itu bertindak sebagaimana pewarna rambut atau mirip dengan pewarna rambut, di mana ia menghitamkan rambut yang menjadi warna putih akibat uban, maka kami berpendapat bahawa tidak boleh menggunakannya melainkan terdapatnya keperluan seperti untuk menghilangkan aib kerana uban yang berlebihan di rambut sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar dan seumpamanya. Sekalipun begitu, kami tidak menafikan sebahagian ulama menghukumkannya sebagai makruh.
- Jika produk syampu itu tidak bertindak sebagaimana pewarna rambut atau mirip dengan pewarna rambut, di mana ia tidak menghitamkan rambut yang menjadi warna putih kerana uban. Akan tetapi fungsinya adalah untuk menjaga, merawat, menguatkan dan mengekalkan rambut yang berwarna hitam, maka kami berpendapat tidak mengapa menggunakannya atau penggunaannya adalah diharuskan dengan syarat ia tidak mengandungi bahan-bahan bernajis mahupun bahan-bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan atau memberikan risiko dan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan penggunanya. Sekiranya tidak (yakni ia memberi mudarat kepada penggunanya) maka tidak syak lagi, hukum menggunakannya adalah diharamkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”
[1] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Musykil al-Athar (3699) menilai sanadnya sebagai sahih. Manakala Imam al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (4/339) menilainya sebagai hasan gharib.
[2] Beliau ialah bapa kepada Abu Bakar; nama sebenarnya ialah Uthman dan memeluk Islam semasa pembukaan Makkah.
[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/1423-warnakan-rambut-dengan-warna-hitam/. Diakses pada 30 Oktober 2023.
Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H