Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah di sana terdapat adab-adab untuk kita memuliakan jiran kita?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;”
(Surah al-Nisa’: 36)
Daripada Abi Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam, sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”
Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (47)
Menjawab persoalan di atas, memuliakan jiran bukan hanya terbatas kepada melayannya sebagai tetamu apabila dia berkunjung ke rumah dan juga bersedekah kepadanya jika dia fakir, tetapi ia lebih umum daripada itu, antaranya:
- Berihsan kepadanya tanpa menyakitinya.
- Bertanya khabar tentang keadaannya dan menziarahinya apa bila sakit.
- Memberi salam kepadanya.
- Memberi hadiah kepadanya sekalipun dia tidak berhajat dan memberi pinjam kepadanya jika berhajat
- Memperelokkan layanan jika dia datang mengunjungi.
- Menahan daripada menyakitinya dan sabar atas kejahatannya.
- Mengucapkan tahniah kepadanya jika dia mendapat kebaikan dan mengucapkan takziah jika dilanda musibah.
- Mengiringi jenazahnya apabila meninggal dunia.
(Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 174)
Cukuplah betapa pentingnya jiran dalam kehidupan seseorang itu, sehingga Rasulullah SAW bersabda:
مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ
Maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.”
Riwayat al-Bukhari (6015). Hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)
Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H