Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami tafsir ayat 147, surah al-Baqarah yang terkait dengan kebenaran daripada Tuhan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

Maksudnya: “Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali kali engkau termasuk dalam golongan orang yang ragu-ragu.”

(Surah al-Baqarah: 147)

Al-Syaukani berkata: “Ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW namun sebagai umatnya kita juga diperintahkan untuk tidak menjadi orang yang ragu-ragu kerana keraguan seringkali membuat jiwa kita mengalami tekanan dan was-was. Maka selayaknya kita mengambil yang yakin dan membuang yang meragukan. Sekali lagi tinggalkan semua yang meragukan baik yang berkenaan dengan perkara dunia mahupun akhirat dan beralihlah pada sesuatu yang menyakinkan dan tidak meragukan.” (Lihat Fath al-Qadir, 1/179) (Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 132-133)

Imam al-Tabari menyatakan: Abu Ja’far berkata: Allah SWT berfirman: “Ketahuilah, wahai Muhammad, bahawa kebenaran itu adalah apa yang telah Dia ajarkan oleh Tuhanmu kepadamu, yang datang dari-Nya, bukan apa yang dikatakan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani.” Ini adalah berita daripada Allah yang Dia sebutkan sebagai berita kepada Nabi-Nya, mengenai kiblat yang Dia arahkan kepadanya, iaitu kiblat yang benar yang menjadi kiblat Nabi Ibrahim, Khalil al-Rahman, dan para nabi Allah yang datang selepasnya. Allah berfirman kepada Nabi Muhammad, “Bekerjalah dengan kebenaran yang telah diajarkan kepadamu daripada Tuhanmu, dan jangan termasuk dalam golongan yang meragui.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 2/573)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: “Ini adalah kebenaran yang lebih patut disebut sebagai kebenaran daripada segala sesuatu, kerana ia mengandungi tuntutan-tuntutan yang tinggi, perintah-perintah yang baik, penyucian jiwa, dan dorongan untuk mencari manfaat dan menghindari kerugian, semuanya datang daripada Tuhanmu. Tuhanmu adalah Dia yang, di antara banyak aspek pendidikannya kepadamu, telah menurunkan al-Quran kepadamu, yang mengandungi pendidikan untuk akal dan jiwa, serta segala kepentingan. {فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ} iaitu, janganlah engkau menjadi salah seorang yang ragu-ragu dalam perkara ini. Sebaliknya, renungilah dan fikirkanlah dengan mendalam tentangnya sehingga engkau mencapai keyakinan yang kukuh. Kerana merenung dan memikirkan akan menjauhkan kita dari keraguan dan mendekatkan kita kepada keyakinan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 72)

Dalam pada itu, gambaran keingkaran dan kedegilan golongan Yahudi dan Nasrani turut dirakamkan pada ayat 145 Surah al-Baqarah. Meskipun telah dikemukakan pelbagai keterangan dan hujah kepada mereka mengenai pemindahan kiblat dan kebenaran Islam, mereka tetap sombong dan berkeras untuk tidak mengikuti kiblat umat Islam. Justeru, Allah SWT melarang umat Islam menuruti hawa nafsu mereka agar umat Islam tidak berlaku zalim. Hakikatnya, golongan ahli kitab dalam kalangan Yahudi dan Nasrani sangat mengetahui sifat Nabi Muhammad SAW dan kebenaran risalah Baginda, sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Ini kerana, sifat dan keperibadian Nabi SAW telah dinyatakan dalam Kitab Taurat  dan Injil yang dibaca oleh mereka. Namun, mereka tetap menyembunyikan kebenaran tersebut. Walaupun mereka berusaha menyembunyikannya, Allah SWT sebagai pemilik kebenaran Maha Berkuasa untuk menzahirkan kebenaran tersebut dengan mengurniakan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, umat Islam tidak wajar meragui kebenaran Islam dan pertukaran kiblat ke Masjid al-Haram. Umat Islam juga turut dianjurkan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan. Amalan kebaikan tersebut akan menjadi saham Akhirat buat mereka kerana walau di mana mereka berada, Allah SWT pasti akan menghimpunkan mereka di Akhirat kelak untuk dihitung segala amalan tersebut. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/145-146)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

 

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply