#3992: Biografi Abdullah bin Umar RA

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan sejarah hidup Abdullah bin Umar dan berapa hadith yang diriwayatkannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Biografi Ringkas Perawi: Abdullah bin Umar R.Anhuma

Nama beliau ialah Abdullah bin Umar bin al-Khattab bin Nufail bin ‘Abd al-‘Uzza bin Riyah bin Abdullah bin Qurt bin Razah bin ‘Adi bin Ka‘ab bin Lu’ai bin Ghalib. Tambahan lagi, nasab Abdullah bin Umar R.Anhuma berhimpun dengan nasab Nabi SAW pada Ka‘ab sebagaimana bapanya. Nama julukan (kunyah) beliau ialah Abu ‘Abd al-Rahman. Beliau ialah anak kepada khalifah kedua umat Islam iaitu Saidina Umar bin al-Khattab.

Abdullah bin Umar telah lahir pada tahun ketiga ketika Nabi SAW menjadi seorang rasul. Ini kerana, telah disahkan bahawa ketika peperangan badar umurnya adalah 13 tahun dan peperangan badar berlaku pada tahun kedua hijrah. Selama 10 tahun Abdullah bin Umar membesar dalam tarbiyah dan madrasah Nabi SAW di Madinah dan beliau juga hidup ketika turunnya ayat-ayat al-Quran ke atas Rasulullah SAW. Disebabkan ayahnya seorang yang rapat dengan Rasulullah SAW dan kakaknya merupakan salah seorang isteri kepada Baginda SAW, hal ini membuatkan beliau begitu hampir dengan Nabi SAW walaupun usianya pada ketika itu sangat muda atau remaja. Peperangan pertama yang disertainya ialah peperangan Khandaq dan beliau tergolong dalam kalangan sahabat yang berbai‘ah kepada Nabi SAW di bawah pokok (Bai‘ah al-Ridhwan).

Dalam waktu yang sama, beliau juga bersahabat dan bersama dengan sahabat-sahabat agung yang lain seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Huzaifah bin al-Yaman dan ramai lagi daripada kalangan mereka R.Anhum. Beliau mengambil manfaat pada zaman muda beliau dengan menghafal al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW sehingga beliau terkenal dengan sifatnya yang bertaqwa, ‘alim, zuhud dan lain-lain lagi.

Walaupun usia beliau muda, ia bukanlah penghalang untuk beliau menuntut dan menimba ilmu sehingga menjadi seorang sahabat yang terkenal akan kefaqihannya dan keilmuannya. Beliau juga terkenal sebagai salah seorang sahabat yang melazimi Rasulullah SAW dalam tempoh yang lama. Ini merupakan punca utama terbentuknya sifat-sifat yang mulia dalam diri beliau sehingga Nabi SAW pernah bersabda: “Sebaik-baik lelaki ialah Abdullah, apabila dia solat di malam hari.” Semenjak daripada peristiwa itu, beliau tidak tidur pada waktu malam melainkan sedikit. (Riwayat al-Bukhari, 1122).

Semenjak daripada peristiwa itu, beliau tidak tidur pada waktu malam melainkan sedikit. Selain itu, beliau juga adalah seorang ahli fiqh dan hadis dalam kalangan sahabat, di samping beliau banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW sebanyak 1630 hadis. Begitu juga beliau turut meriwayatkan hadis daripada bapanya, Umar bin al-Khattab, Abu Bakar al-Siddiq, Uthman, Ali, Bilal, Suhaib, ‘Amir bin Rabi‘ah, Zaid bin Thabit, Sa‘ad, Ibn Mas‘ud, Uthman bin Talhah, Aslam, Hafsah, Aisyah dan ramai lagi. Di antara ulama yang meriwayatkan hadis daripadanya pula ialah Adam bin Ali, Aslam maula bapanya, Ismail bin ‘Abd al-Rahman bin Abu Zu’aib, Umayyah bin Abdullah al-Umawi, Anas bin Sirin, Busr bin Sa‘id, Bisyr bin Harb, Jubair bin Abu Sulaiman, Habib bin Abu Thabit, Habib bin Abu Mulaikah, Harmalah maula Usamah, Hariz — atau ABu Hariz — al-Hasan al-Basri, al-Hasan bin Suhail dan ramai lagi. Dikatakan jumlah keseluruhan hadis yang diriwayatkan oleh beliau adalah sebanyak 2630 hadis. Beliau juga menjadi rujukan masyarakat setelah kewafatan Rasulullah SAW dalam menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Antara sifat Ibn Umar R.Anhuma dalam mengeluarkan sesuatu fatwa, beliau begitu takut untuk berijtihad kerana risau ijtihad yang dilakukannya itu salah dan bertentangan dengan para sahabat yang sebelumnya.

Tambahan pula, beliau akan menyebut hadis yang berkaitan dengan soalan yang ditanya kepadanya apabila beliau berijtihad dalam sesuatu masalah. Dengan cara ini, beliau mengharapkan agar hadis tersebut dapat membetulkan apa yang telah dijawab. Ini menunjukkan akan sifat warak yang dimiliki oleh beliau R.Anhuma. Antara manhaj Ibn Umar dalam memberi fatwa adalah, tidak menjawab soalan tentang sesuatu yang belum lagi berlaku. Imam Malik bin Anas Rahimahullah pernah berkata: “Imam sekalian manusia di sisi kami setelah Zaid bin Thabit ialah Abdullah bin Umar. Beliau telah menetap selama 60 tahun memberi fatwa kepada manusia.”

Kata-kata ini menunjukkan akan tahap keilmuan yang dimiliki oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma mencapai satu tahap yang tinggi sekalipun usianya masih lagi muda ketika Nabi SAW masih hidup. Ini sekali gus membuktikan kesungguhan dan semangat beliau dalam menuntut ilmu dan beliau telah menggunakan kesempatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk bersama dengan Rasulullah SAW dan para sahabat R.Anhum yang besar dengan sebaik mungkin tanpa mensia-siakannya. Disebabkan oleh itu, Abdullah bin Umar termasuk dalam kalangan salah seorang sahabat yang agung walaupun usianya begitu muda ketika bersama dengan Rasulullah SAW.

Selain daripada itu, Abdullah bin Umar sangat terkenal sebagai seorang yang sangat bersungguh-sungguh dalam mengikuti dan mencontohi perbuatan Nabi SAW. Justeru, beliau akan solat di tempat yang sama Nabi solat, begitu juga berdosa secara berdiri seperti mana yang Baginda lakukan. Beliau bukan sahaja sekadar mengikutinya, bahkan termasuk juga memelihara butiran-butiran kecil perbuatan Baginda SAW secara terperinci. Diceritakan bahawa suatu hari di Makkah, unta Rasulullah SAW berpusing sebanyak dua kali sebelum Baginda turun darinya, kemudian Baginda mendirikan solat dua rakaat. Boleh jadi unta Baginda melakukannya tanpa sebarang sebab. Akan tetapi Abdullah bin Umar tetap berusaha untuk mengikutinya dengan sampai di tempat yang sama unta Baginda sampai ketika di Makkah sehinggakan termasuklah juga berpusing sebanyak dua kali, kemudian barulah beliau turun dari untanya dan mendirikan solat dua rakaat, sama seperti mana yang beliau lihat Baginda SAW melakukannya. Berkenaan hal tersebut, Aisyah R.Anha pernah berkata:

مَا كَانَ أَحَدٌ يَتْبَعُ آثَارَ النَّبِيِّ صلّى الله عليه وسلم فِي مَنَازِلِهِ كَمَا كَانَ يَتْبَعُهُ ابْنُ عُمَرَ

Maksudnya: “Tidak ada seorang pun yang mengikuti athar (jejak dan peninggalan) Nabi SAW pada tempat-tempatnya, sebagaimana yang diikuti atau dilakukan oleh Ibn Umar.” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 4/145; Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 3/428).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Musa bin ‘Uqbah, daripada Nafi‘, katanya:

 لَوْ نَظَرْتَ إِلَى ابْنِ عُمَرَ إِذَا اتَّبَعَ أَثَرَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقُلْتَ: هَذَا مَجْنُونٌ

Maksudnya: “Kalaulah engkau melihat Ibn Umar, (bagaimana)  apabila beliau mengikuti athar (jejak dan peninggalan) Nabi SAW, maka pasti engkau akan mengatakan, ‘Ini ialah orang gila.’” (Lihat Ma‘rifah al-Sahabah oleh Abu Nu‘aim, 3/1709; Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 3/428).

Di samping itu, di sana terdapat juga beberapa kelebihan dan pujian terhadap beliau oleh para sahabat sendiri serta generasi selepas daripadanya. Antaranya:

  • Abdullah bin Mas‘ud RA berkata: “Sesungguhnya antara pemuda Quraisy yang dapat mengawal dirinya daripada dunia ialah Abdullah bin Umar.”
  • Jabir bin Abdullah RA berkata: “Tidak ada dalam kalangan mereka yang betul-betul melazimi cara Nabi SAW dan tidak ada juga yang paling mengikutinya melainkan Ibn Umar.”
  • Ibn Mussayyib berkata: “Jika aku ingin bersaksi untuk mengatakan seseorang itu adalah ahli syurga, nescaya aku akan bersaksi untuk Ibn Umar.”
  • Tawus berkata: “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih warak daripada Ibn Umar dan lebih alim daripada Ibn Abbas.”
  • Nafi‘ berkata: “Adapun Ibn Umar apabila membaca ayat, ‘Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah.’ Beliau menangis sehingga tangisannya menguasai dirinya.”
  • Al-Zuhri berkata: “Tidak dapat ditandingi akan pendapatnya.Sesungguhnya beliau telah hidup selepas daripada Rasulullah SAW selama 60 tahun dan beliau tidak menyembunyikan sesuatu apapun perkara daripada Baginda SAW dan juga perkara daripada kalangan para sahabat R.Anhum.”
  • Ibn Hajar berkata: “Beliau ialah salah seorang seorang daripada al-‘Abadilah dan fuqaha dalam kalangan sahabat. Beliau juga termasuk dalam kalangan sahabat yang banyak meriwayatkan hadis.”

Abdullah bin Umar R.Anhuma telah meninggal dunia disebabkan sakit pada tahun 73 hijrah selepas 3 bulan peristiwa pembunuhan Abdullah bin Zubair. Ada juga pendapat mengatakan selepas 6 bulan peristiwa pembunuhan Abdullah bin Zubair. Usia beliau ketika bertemu dengan Penciptanya ialah 84 tahun dalam bulan Zulhijjah di Makkah dan dikebumikan di perkuburan al-Muhajirin. (Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 33-35)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *