Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah bala boleh berlaku dengan maksiat seperti mungkir janji, berlakunya penzinaan, tidak bayar zakat dan lain-lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan lBesar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

(Surah al-Rum: 41)

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT juga akan membinasakan sesiapa sahaja yang menimbulkan kerosakan di muka bumi ini. Lantaran itu, perkara ini hendaklah menjadi pengajaran kepada mereka, semoga mereka dapat mengingati semula dan kembali ke jalan kebenaran. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5335)

Sayyid Qutb berkata: “Kerosakan-kerosakan yang berlaku di darat itu bukannya berlaku begitu sahaja atau berlaku secara kebetulan, malah ia berlaku mengikut aturan Allah SWT iaitu: “لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ” Maksudnya: “Kerana Allah mahu mereka merasakan setengah-setengah akibat daripada perbuatan yang dilakukan mereka.”

Iaitu perbuatan-perbuatan mereka yang jahat dan merosakkan itu, di mana mereka merasa terseksa dan pedih menerima akibatnya “supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” Yakni supaya mereka berazam menentang kerosakan itu dan kembali kepada Allah, kepada amalan yang soleh dan ke jalan yang lurus. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 12/482-483)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat di atas berkata, ujian dan bencana yang melanda umat manusia adalah disebabkan perbuatan manusia yang bersikap kufur, syirik, melampaui batas, melakukan maksiat, meninggalkan perintah-Nya di samping melanggar hak dan juga mengambil hak orang lain. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 21/98)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Ibn Buraidah, daripada bapanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا نَقَضَ قَوْمٌ الْعَهْدَ إِلَّا ابْتَلَاهُمُ اللَّهُ تَعَالَى بِالْقَتْلِ، وَلَا ظَهَرَتْ فَاحِشَةٌ فِي قَوْمٍ إِلَّا سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمُ الْمَوْتَ، وَلَا مَنَعَ قَوْمٌ الزَّكَاةَ إِلَّا حَبَسَ اللَّهُ عَنْهُمُ الْقَطْرَ

Maksudnya: “Tidaklah satu kaum melanggar perjanjian kecuali Allah balakan mereka dengan berlakunya pembunuhan. Tidaklah zahirnya perbuatan keji seperti zina pada satu kaum kecuali Allah kuasakan ke atas mereka dengan banyaknya kematian dan tidaklah satu kaum menegah daripada menunaikan zakat kecuali Allah tahan daripada mereka hujan (berlakunya kemarau).

Riwayat al-Bazzar (4463), Abu Ya’la sepertimana dalam Ithaf al-Khairah al-Mahrah oleh al-Busiri (3/5) dan al-Hakim (2577).  Ia dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Targhib (3005).

Begitu juga, dengan banyakya dosa, sudah pasti tertangguh kemenangan. Para sahabat telah dibinasakan dalam perang Uhud dengan sebab kemungkaran sekumpulan kecil daripada mereka yang telah mengingkari Rasulullah SAW. Benarlah firman Allah SWT:

حَتَّىٰ إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الْأَمْرِ وَعَصَيْتُم

Maksudnya: “sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah),

(Surah Ali-Imran: 152)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply