Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apa dalil haram menjual beli patung dan bangkai?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda pada tahun pembukaan kota Makkah, ketika berada di Makkah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: «لاَ، هُوَ حَرَامٌ». ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala.” Ditanyakan (oleh seseorang): “Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?” Nabi SAW bersabda: “Tidak boleh, itu adalah haram.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda ketika itu juga: “Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.”  

Riwayat al-Bukhari (2236) dan Muslim (1581)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

Lafaz ‘حَرَّمَ’: Dinyatakan dalam Fath al-Bari, demikianlah yang terdapat dalam al-Sahihain dengan menyandarkan kata kerja kepada dhamir tunggal. Dan di dalam sebahagian sanad, tertulis: “Sesungguhnya Allah mengharamkan.” Di dalam lafaz hadith yang lain: “Sesungguhnya Allah SWT dan Rasul-Nya, keduanya mengharamkan.” Berdasarkan penelitian, dibolehkan mengemukakan hadith dengan bentuk tunggal sebagai isyarat bahawa perintah Nabi SAW muncul dari perintah Allah SWT, sepertimana firman Allah SWT:

وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَقُّ أَن يُرْضُوهُ

Maksudnya: “Sedangkan Allah dan Rasul-Nya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaan-Nya.”

(Surah al-Taubah: 62)

Maka susunan kalimat yang pertama dibuang untuk menunjukkan susunan kalimat yang kedua.

Lafaz ‘لاَ، هُوَ حَرَامٌ’ bermaksud: “Dan janganlah kamu semua menjualnya, maka sesungguhnya menjualnya adalah haram. Sesuatu yang haram dijual, maka haram hukumnya dimanfaatkan.

Lafaz ‘المَيْتَةِ’ bermaksud haiwan yang mati begitu sahaja, atau disembelih dengan tidak sah secara hukum syariat.

Lafaz ‘الأَصْنَامِ’ bermaksud sesuatu yang dipahat daripada batu, atau diperbuat daripada besi, tanah, kayu atau jenis lainnya untuk disembah. Terkadang berhala berbentuk manusia, haiwan seperti patung anak lembu kaum Bani Isra’il atau bentuk syaitan khayalan.

Berdasarkan hadith di atas juga, terdapat beberapa pengajaran, antaranya:

  • Syariat Islam datang dengan segala sesuatu yang di dalamnya terdapat kebaikan untuk manusia dan melarang segala hal yang membahayakan, yang kembali kepada agama, anggota tubuh, akal manusia, harga diri dan harta.
  • Diharamkan memakan bangkai dan memanfaatkannya, iaitu daging, lemak, darah dan uratnya serta segala jenis anggota tubuh yang dapat menjadikannya hidup. Bangkai diharamkan kerana ia kotor dan najis, serta bahaya bagi tubuh dan kesihatan.
  • Jumhur ulama’ mengecualikan bahagian-bahagian bangkai yang tidak diharamkan, iaitu rambut dan bulu, apabila ia tidak mengikuti bahagian dasar tubuhnya, kerana ia tidak memiliki hubungan dengan zat bangkai. Kotoran dan najisnya tidak memberi apa-apa kesan.
  • Hal-hal yang diqiyaskan kepada berhala di dalam keharamannya adalah gambar-gambar pornografi yang kelihatan di majalah-majalah, surat khabar, filem-filem pornografi, yang kembali kepada perilaku buruk, menyebabkan fitnah bagi kaum pemuda dan pemudi kerana ia boleh menggerakkan nafsu seksual. Antara jenis berhala juga adalah gambar salib yang merupakan bentuk syiar orang-orang Nasrani. Selain itu, patung-patung orang besar yang dipasang di kawasan tertentu dan jalan-jalan umum. Hal tersebut haram kerana di dalamnya terdapat unsur fitnah dan berlebih-lebihan serta dapat menarik seseorang untuk melakukan syirik kepada Allah.
  • Dibolehkan menggunakan benda najis asalkan tidak melampaui batas. Rasulullah SAW telah menyetujui lemak bangkai yang digunakan untuk mengecat perahu dan meminyakkan kulit. Sesungguhnya dhamir di dalam sabda Rasulullah SAW: ‘لاَ، هُوَ حَرَامٌ’ (“Tidak boleh, itu adalah haram”) kembali kepada menjualnya.

Ibn al-Qayyim berkata di dalam al-Hadyu, “Perlu diketahui bahawa masalah memanfaatkan adalah lebih luas daripada masalah jual beli. Oleh kerana itu, tidak semua yang haram dijual belikan, haram juga untuk dimanfaatkan. Hal ini kerana tidak ada persamaan di antara keduanya. Dengan demikian, keharaman memanfaatkan di sini tidak dapat diambil dari keharaman memperjualbelikannya.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari berkata: Berkenaan sabda Nabi SAW ‘لاَ، هُوَ حَرَامٌ’ (“Tidak boleh, itu adalah haram”), jumhur ulama’ menyatakan ia dengan erti memanfaatkan. Mereka berkata, “Haram memanfaatkan bangkai, kecuali pada sesuatu yang dikhususkan di dalam dalil tersebut, iaitu kulit bangkai yang disamak. Sebagaimana masyhur dari mazhab Imam Ahmad.”

Di dalam Syarh al-Iqna’, dinyatakan: “Tidak sah hukumnya menjual minyak yang najis, yang diperbuat daripada lemak bangkai dan yang lainnya. Tidak halal hukumnya memanfaatkannya, demikian juga hal lain.”

Inilah juga sepertimana dijelaskan dalam kitab Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram oleh Syeikh Abdullah al-Bassam (4/224).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply