Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sekiranya khilaf dan bercanggah antara pembeli dan penjual tanpa adanya saksi, siapakah yang diterima pakai?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

(Surah al-Baqarah: 275)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اخْتَلَفَ اَلْمُتَبَايِعَانِ، وَلَيْسَ بَيْنَهُمَا بَيِّنَةٌ, فَالْقَوْلُ مَا يَقُولُ رَبُّ اَلسِّلْعَةِ، أَوْ يَتَتَارَكَانِ

Maksudnya: “Apabila dua orang yang berjual beli berselisih, dan tidak ada bukti pada sesiapa pun di antara mereka berdua, maka perkataan yang diterima ialah tuan punya barang, atau mereka berdua menarik diri (membatalkan jual beli).”

Riwayat Abu Daud (3511), al-Nasa’i (7/302), al-Tirmizi (1270), Ibn Majah (2186) dan Ahmad (1/466)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

  • Hadith di atas menunjukkan bahawa apabila berlaku perselisihan pendapat antara si penjual dan pembeli dan di antara keduanya tidak ada saksi, maka ucapan yang dijadikan pegangan ialah ucapan si penjual dengan sumpahnya.

Sesungguhnya terdapat kaedah hukum Syariat:

 مَنْ كَانَ الْقَوْلُ قَوْلَهُ فَعَلَيْهِ الْيَمِينُ

Maksudnya: “Sesiapa yang ucapannya dapat dijadikan dasar hukum, maka dia hendaklah bersumpah.”

  • Hal ini sesuai dengan hadith yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi di mana sebahagian lafaznya terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, daripada Anas, bahawa Nabi SAW bersabda:

 الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya.”

Riwayat Al-Baihaqi dalam Al-Sunan (10/252)

Imam al-Nawawi berkata, hadith ini merupakan satu kaedah yang besar daripada kaedah-kaedah hukum syara‘. Ini menunjukkan bahawa tidak diterima ucapan seseorang itu terhadap apa yang dia dakwa hanya semata-mata dengan dakwaan tersebut. Bahkan dakwaan itu perlu kepada bukti, atau pengakuan kebenaran dari pihak orang yang didakwa. Sekiranya dituntut sumpah orang yang didakwa maka boleh untuk dia berbuat demikian (bersumpah). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/4)

Menurut Syeikh al-Bassam, berdasarkan hadith di atas, maka Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di menghimpunkan perselisihan antara penjual dan pembeli di dalam beberapa bentuk. Antara kesimpulannya:

  1. Apabila berlaku perselisihan antara penjual dan pembeli dalam masalah harga dan di sana tidak ada saksi, maka keduanya hendaklah melakukan sumpah. Sifat sumpahnya adalah hendaklah si penjual bersumpah aku tidak menjualnya sekian, melainkan sekian. Lalu si pembeli juga bersumpah, aku tidak membelinya dengan harga sekian, tetapi aku membelinya dengan harga sekian. Lalu masing-masing membatalkan transaksi jual beli tersebut.
  2. Apabila keduanya berbeza pendapat mengenai sifat wang, maka hendaklah diambil jenis wang suatu negara, apabila ucapan salah seorangnya dipersetujui.
  3. Apabila keduanya berselisih dalam jenis barang dan ukurannya, maka keduanya hendaklah bersumpah dan akad jual beli dibatalkan.
  4. Apabila keduanya berbeza pendapat dalam masalah syarat, gadai atau orang yang menjamin, maka yang dijadikan sandaran adalah ucapan orang yang menafikannya, kerana yang dijadikan dasar adalah ketiadaan.
  5. Apabila salah seorang melakukan tuduhan bahawa akad tersebut telah rosak dan pihak lain mendakwa bahawa akad tersebut sah, maka yang dijadikan dasar adalah keabsahan akad jual beli. Maka ucapan yang dijadikan sandaran hukum adalah ucapan yang menganggap sahnya jual beli disertai dengan saksi.
  6. Apabila sesuatu dijual dengan sifat-sifat tertentu atau barang yang dijual dahulu pernah dilihat, lalu si pembeli memberikan tuduhan bahawa sifat barang tersebut telah berubah, dan si penjual mengingkarinya, maka yang dijadikan dasar hukum adalah ketidaktetapan harga bagi si pembeli. 
  7. Apabila keduanya berselisih mengenai adanya cacat pada barang disertai dengan kemungkinan berlakunya cacat, maka yang dijadikan dasar hukum adalah ucapan si penjual menurut pendapat yang sahih dan dengan pendapat ini masyarakat mengamalkannya.

Inilah juga sepertimana dijelaskan dalam kitab Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram oleh Syeikh Abdullah al-Bassam (4/229).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply