Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang memelihara kura-kura? Biasanya kura-kura kecil yang dipelihara dalam akuarium. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan dan pengenalan ringkan mengenai kura-kura. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kura-kura ialah sejenis binatang reptilia dalam keluarga yang mempunyai kulit yang keras di belakangnya dan dapat hidup di air dan di darat.[1]

Secara ringkasnya, kura-kura ialah haiwan daripada order reptilia Testudines yang memiliki cangkerang untuk melindungi diri daripada pemangsaan. Kura-kura dapat hidup di air dan darat. Kura-kura tersebar di banyak tempat di dunia, dari Amerika Utara hingga Amerika Selatan, di Lembangan Mediterranean, dari Eurasia sampai ke Asia Tenggara termasuk seluruh Malaysia, di Afrika, Madagaskar dan beberapa pulau di Lautan Pasifik, tetapi kurang di Australasia.[2]

Kura-kura secara umumnya merujuk kepada haiwan yang tergolong dalam golongan benda hidup, alam haiwan, bertulang belakang (vertebrata), kelas reptilia. Tubuh kura-kura dilindungi oleh kerangka khas atau cangkerang yang bertindak melindungi organ-organ dalamannya. Bahagian atasnya dikenali sebagai karapas untuk melindungi belakang kura-kura. Manakala bahagian bawahnya pula adalah plastron untuk melindungi dada haiwan tersebut.

Saiz kura-kura berbeza dari beberapa sentimeter sehinggalah dua meter. Pada kebiasaannya kura-kura mempunyai tempoh hayat yang panjang dan hidup lama, contohnya Kura-kura Galápagos diketahui hidup selama melebihi 150 tahun. Malah terdapat juga kura-kura dari spesies Aldabra bernama Adwaita yang diketahui hidup selama 255 tahun.

Kura-kura pertama telahpun wujud pada era dinosaur, kira-kira 200 juta tahun dahulu. Kura-kura merupakan satu-satunya cabang dari “clade Anapsida” silam, yang termasuk kumpulan seperti procolophonoids, millerettids dan pareiasaurs. Kebanyakan anapsids menjadi pupus pada akhir tempoh Permian, kecuali procolophonoids dan susur-galur testudines (kura-kura). Kesemua spesies kura-kura, sama ada yang masih hidup atau yang telah pupus, datang dari order Chelonia, termasuk superorder Testudines.

Terdapat dua jenis kura-kura yang diketahui berdasarkan tabiat hidup mereka secara umum. Pertama ialah kura-kura akuatik atau semi-akuatik. Kura-kura jenis ini menghabiskan sepenuh masanya dengan berada di dalam air. Kedua ialah kura-kura non-akuatik. Tidak seperti kura-kura akuatik, mereka perlu berada di atas darat dan bukanlah perenang yang baik seperti kura-kura akuatik.

Kura-kura merupakan haiwan maun. Makanan utama kura-kura adalah tumbuh-tumbuhan seperti kangkung, sawi, rumput liar, buah dan kuntuman bunga. Sesetengah spesies kura-kura juga bergantung hidup dengan makan haiwan kecil lain seperti cacing tanah, ulat, serangga dan siput.

Sebagai reptilia, kura-kura membiak dengan cara bertelur di dalam sarang yang dibinanya. Kura-kura ialah haiwan ektoterma (berdarah dingin), oleh itu ia sentiasa kelihatan berjemur di longgokan kayu dan batu untuk mengumpulkan haba pada badannya.[3]

Memelihara kura-kura

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, Islam tidak melarang daripada memelihara haiwan-haiwan tertentu seperti burung, ikan, kucing dan lain-lain termasuklah kura-kura. Keharusan itu adalah selagi mana tidak berlaku zalim terhadap binatang tersebut serta tiada larangan yang menghalang daripada memelihara binatang-binatang tersebut seperti babi dan anjing. Perkara ini boleh dilihat berdasarkan hadith Nabi SAW daripada riwayat Anas bin Malik RA, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ— نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، — فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا‏.‏

Maksudnya: “Nabi SAW merupakan insan yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai seorang saudara lelaki yang diberi gelaran Abu Umair – perawi berkata: Aku kira dia sudah berhenti daripada meminum susu ibu. — Sekiranya Baginda datang, Baginda akan bertanya: ‘Wahai Abu ‘Umair! Apa yang sedang dilakukan al-Nughair?’ — iaitu sejenis burung pipit yang selalu dia bermain-main dengannya. — Kadang-kala apabila tibanya waktu solat sedangkan Baginda berada di rumah kami, maka Baginda menyuruh untuk disapu (dibersihkan) tikar yang duduk di atasnya, lalu direnjis dengan air. Kemudian Baginda solat dan kami pun berdiri di belakang Baginda, Baginda mengimamkan kami.

Riwayat al-Bukhari (6203)

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan, berdasarkan hadith ini, dibolehkan membelanjakan harta untuk permainan kanak-kanak pada perkara yang harus dan dibolehkan juga mengurung burung di dalam sangkar dan semisalnya, dan mencukur sayapnya. (Lihat Fath al-Bari, 10/583).

Bahkan diwajibkan bagi sesiapa yang memelihara jenis-jenis haiwan yang dibolehkan untuk dipelihara dengan berbuat baik kepada mereka, memberikan mereka makan sebagaimana yang mereka perlukan. Hal ini kerana terdapat peringatan daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makanan, bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.

Riwayat al-Bukhari (3318), dan Muslim (2242)

Al-Khatib al-Syirbini menukilkan bahawa haiwan bahimah ini ialah haiwan yang muhtaram (yang dimuliakan yakni bukan haiwan perosak), tidak terhad kepada haiwan ternakan berkaki empat, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Azra‘i. Menjadi kewajipan bagi pemilik haiwan berkenaan untuk menyediakan makanan dan minuman sekadar boleh menghilangkan kelaparan dan kehausan. (Lihat al-Iqna‘, 2/482).

Tambahan lagi, memelihara haiwan, sama ada kerana ia haiwan yang comel atau untuk hiasan atau untuk tujuan lain, adalah dibenarkan selagi mana ia termasuk dalam manfaat yang boleh diperoleh di sisi syarak serta haiwan itu diberi makan dan minum dengan baik, maka boleh untuk memeliharanya di dalam sangkar, akuarium dan seumpamanya. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Qalyubi dalam hasyiahnya bahawa dibolehkan bagi seseorang untuk menahan (memelihara) haiwan walaupun sekadar untuk mendengar suaranya atau melihat kecantikannya, atau begitu juga memelihara anjing kerana suatu keperluan dengan syarat haiwan-haiwan itu diberi makan. (Lihat Hasyiata Qalyubi dan ‘Umairah, 4/95).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa memelihara kura-kura adalah dibolehkan dengan syarat berbuat baik kepada mereka dengan diberi makan dan minum sebagaimana yang mereka perlukan, di samping tidak menzalimi mereka. Hal ini adalah sebagaimana difahami daripada hadith sahih yang menunjukkan kepada hal tersebut. Tambahan lagi,  kura-kura juga tidak termasuk dalam haiwan perosak yang diwajibkan untuk dibunuh.

Sekalipun begitu, haruslah dilihat juga adakah untuk memeliharanya memerlukan kepada surat kebenaran khas atau seumpamanya daripada badan berkuasa sesebuah negara seperti Malaysia. Sekiranya tidak ada, maka bolehlah terus memeliharanya bagi sesiapa yang berkeinginan, dan sekiranya ada, maka wajib untuk mematuhi peraturan tersebut dan mengikuti prosedur-prosedur yang telah ditetapkan bagi sesiapa yang tetap ingin memeliharanya. Kemungkinan peraturan tersebut ditetapkan bagi tujuan untuk terus menjamin kelangsungan kura-kura daripada mengalami kepupusan.

Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf — yakni baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kura-kura. Diakses pada 30 Oktober 2023.

[2] Australasia merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada sebuah kawasan Oceania: New Zealand, Australia dan kepulauan jiran di Lautan Pasifik. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Australasia. Diakses pada 30 Oktopber 2023)

[3] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Kura-kura. Diakses pada 30 Oktober 2023.

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply