Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya pernah dipaksa untuk melakukan perbuatan yang haram. Adakah paksaan tersebut jika saya lakukan hukumnya tidak berdosa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebut: “Hadis ini memuatkan perkara-perkara yang amat penting. Sekiranya dituliskan perkara-perkara tersebut maka tidak akan mencukupi.” 

Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimullah menyebut: “Hadis ini mempunyai manfaat yang menyeluruh kerana terdapat tiga perkara yang selalu dibahaskan di dalam permasalahan figh bahkan ada juga yang mengatakan bahawa hadis ini adalah sebahagian daripada syariat. Ini kerana setiap perbuatan yang dilakukan oleh seorang yang mukallaf tidak terlepas daripada dua hal; sama ada sengaja ataupun tidak sengaja. Adapun yang tidak sengaja itu merangkumi dua lagi perkara iaitu sama ada terlupa ataupun dipaksa melakukannya.” (Lihat al-Fath al Mubin, hlm. 606-607).

Menjawab persoalan di atas, kami terangkan terlebih dahulu maksud istikrah. Al-Istikrah (الاسْتِكْرَاه ) terjadi bila mana, seseorang membenci akan sesuatu yang haram namun tidak dapat menolak daripada melakukannya. Dalam erti kata lain, dia dipaksa melakukannya. Apabila seseorang dipaksa untuk melakukan sesuatu yang dibencinya atau lebih tepat dalam konteks perbincangan kita ini dipaksa melakukan sesuatu perbuatan yang haram, maka dia terlepas daripada menanggung dosa tersebut. 

Sebagai contoh, seorang Muslim dipaksa untuk meminum arak, jika dia tidak minum maka akan dibunuh. Maka minumlah dia dalam keadaan terpaksa sedangkan hatinya membenci perbuatannya itu. Allah SWT berfirman:

مَن كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَين بِالْإِيمَنِ وَلَكِن مَّن شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripada Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.”

(Surah al-Nahl: 106)

Keterpaksaan di sini terbahagi kepada dua; pertama membawa ancaman yang berat, bahaya sehingga boleh membawa kepada kepada kematian atau cedera parah. Jika ini berlaku dan pengancam tersebut memang berkuasa serta bertekad melakukannya, maka hukumnya tidaklah berdosa, apabila dipaksa seperti ini. 

Kedua, paksaan yang bersifat lemah seperti ancamannya teramat lemah. COntohnya, kalau kamu tidak melakukannya nescaya aku jentik tanganmu atau aku tidak bagi kepada kamu makan sehari atau kamu tidak diberi duit RM10. Sedangkan perintahnya termasuk dalam dosa besar dan berat di sisi hukum Islam. Ketika itu, haram bagi kita atau orang kena paksa untuk mentaatinya kerana sifat paksaan itu lemah dan ancamannya juga tersangat lemah. Ditambah, orang yang memaksanya juga lemah. 

Justeru, marilah sama-sama kita sentiasa istiqamah dalam melaksanakan segala titah perintah Allah SWT mengikut kemampuan yang ada. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Bertarikh: 31 Oktober 2023 bersamaan 16 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply