#4004: Berlumba Dalam Kebajikan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita disuruh berlumba-lumba dalam melakukan kebajikan dan kebaikan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjadi kewajipan ke atas seorang Muslim itu bersegera dalam melakukan amal kebaikan dan memperbanyakkan ketaatan kepada Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maksudnya: “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan,”

(Surah Al-Baqarah: 148)

Jauhilah sifat bertangguh-tangguh kerana kita tidak tahu bilakah ajal kita akan tiba dan adakah bekalan kita sudah mencukupi untuk menyelamatkan kita pada hari yang tidak berguna lagi harta serta anak-pinak melainkan bagi yang datang dengan hati yang sejahtera.

Dalam Tafsir al-Bayan, disebutkan: Umat Islam juga turut dianjurkan untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan. Amalan kebaikan tersebut akan menjadi saham Akhirat buat mereka kerana walau di mana mereka berada, Allah SWT pasti akan menghimpunkan mereka di Akhirat kelak untuk dihitung segala amalan tersebut. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/146)

Imam al-Tabari menyatakan: Abu Ja’far berkata: Maksudnya, Allah Yang Maha Tinggi menyatakan dengan firman-Nya: “Maka bersegeralah kamu (memperoleh) kebaikan-kebaikan.” Maka bersegeralah dan berlumba-lumba, dari perkataan “istibaq,” yang bermaksud untuk berusaha bersungguh-sungguh dan berlumba. Hal ini juga dikenali sebagai inisiatif dan berusaha dengan cepat, seperti yang diriwayatkan daripada al-Rabi’, yang mengatakan: “Maka bersegeralah kamu (memperoleh) kebaikan-kebaikan,” maksudnya bersegera dalam melakukan kebaikan. Selain itu, maksudnya dengan firman-Nya: “Maka bersegeralah kamu (memperoleh) kebaikan-kebaikan,” adalah: Aku telah menjelaskan kepada kamu, wahai orang-orang yang beriman perkara yang benar, dan memberikan petunjuk kepada kamu tentang arah kiblat yang telah disesatkan oleh orang-orang Yahudi, Nasrani, dan semua umat agama selain kamu. Oleh itu, bersegeralah dalam perbuatan baik sebagai ungkapan syukur kepada Tuhan kamu, dan sediakan diri untuk akhirat kamu. Aku telah menunjukkan kepada kamu jalan-jalan keselamatan, jadi kamu tidak ada alasan untuk bersikap lengah. Dan jagalah kiblat kamu, jangan biarkan ia hilang seperti yang telah hilang oleh umat-umat sebelum kamu, sehingga kamu sesat seperti mereka. Diriwayatkan daripada Qatadah: “Maka bersegeralah kamu (memperoleh) kebaikan-kebaikan,” maksudnya jangan biarkan kamu dikalahkan dalam mengekalkan kiblat kamu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 3/196)

Satu pesanan yang mendalam: Daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata: Rasulullah SAW telah memegang bahuku lantas bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلا تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلا تَنْتَظِرِ المَسَاءَ. وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لمَوْتِكَ

Maksudnya: “Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau yang musafir.”  Ibn Umar R.Anhuma berkata: ” Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu sehingga ke pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah ditunggu sehingga ke petang. Gunalah masa sihatmu sebelum masa sakitmu dan gunalah masa hidupmu sebelum waktu matimu.”

Riwayat al-Bukhari (4616)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 31 Oktober 2023 bersamaan 16 Rabiulakhir 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *