Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami pembahagian ghanimah mengikut Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ghanimah ialah harta rampasan perang sebagaimana dinyatakan mengikut zahir ayat al- Quran yang diwahyukan bersempena dengan Peperangan Badar.

Menjawab persoalan di atas, nas syarak telah menetapkan pembahagian ghanimah. Firman Allah SWT:

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا غَنِمِّتُم مِّن شَيْءٍ فَأَنَّ لِلَّهِ مُسَهُ وَالرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَمَى وَالْمَسَكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ إِن كُنتُمْ وَآمَنتُم بِاللَّهِ وَمَا أَنزَلْنَا عَلَى عَبْدِنَا يَوْمَ الْفُرْقَانِ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرُ

Maksudnya: “Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kalian dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk Rasul-Nya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak- anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibn al-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kalian beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada Hari al-Furqan, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan Perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Anfal: 41)

Hal ini menunjukkan bahawa satu perlima atau 20 peratus daripada jumlah harta rampasan hendaklah diberikan kepada bahagian fai’ sepertimana yang disebutkan di atas. Maka, urusan ini termasuk di bawah pengendalian kerajaan Islam bagi menguruskannya untuk diagihkan kepada golongan yang berhak.

Harta ghanimah ini haram diambil dan diberikan kepada para rasul pada zaman dahulu, namun hukum tersebut telah dinasakhkan bagi umat Muhammad SAW. Perkara ini ditegaskan oleh firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلَلًا طَيْبًا وَاتَّقُوا الله إن الله غَفُورٌ رَحِيم

Maksudnya: “Maka, makanlah daripada apa yang kalian telah dapat (dalam peperangan) itu sebagai benda yang halal lagi baik serta bertaqwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Anfal: 69)

Hukuman ini menjadikan Islam pada akhir zaman bersifat al-wasatiyyah. Ghanimah tidak ditinggalkan begitu sahaja sehingga dibakar api sepertimana hukum sebelumnya, atau diserahkan sesuka hati kepada mereka yang gelojoh dengan peperangan. (Lihat Khalifah Umar FIqh Siyasah Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 392-395)

Hal ini berdalilkan hadis Rasulullah SAW:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةُ فَلْيُصَلَ، وَأُحِلَّتْ لِي الغَنَائِمُ، وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً، وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ

Maksudnya: “Diberikan kepadaku lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seseorang rasul sebelumku: Aku diberikan pertolongan kehebatan yang menakutkan musuh dalam jangkauan sebulan perjalanan, diberikan kepadaku tanah menjadi tempat sembahyang dan boleh bersuci dengannya, sesiapa sahaja dalam kalangan umatku boleh bersolat di mana sahaja, dihalalkan kepadaku harta ghanimah (rampasan peperangan). Nabi sebelumku diutuskan kepada kaumnya sahaja, adapun aku diutuskan kepada seluruh manusia, dan diberikan kepadaku syafaat (kubra pada Hari Kiamat nanti).”

Riwayat al-Bukhari (438) dan Muslim (521)

Marilah sama-sama kita beristiqamah untuk menunaikan syiar Islam dan syariahnya dan seterusnya sentiasa istiqamah dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply