Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami maksud fai dan pembahagiannya mengikut Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Fai’ ialah harta daripada musuh yang menyerah kalah tanpa berlakunya peperangan. Fai juga disebut harta yang Allah SWT kembalikan kepada orang Islam tanpa sebarang peperangan sama ada mereka meninggalkannya atau mereka sanggup membayar jizyah dengan sebab perjanjian. Ia terbahagi kepada dua:

  • Apa-apa yang diambil tanpa rasa takut seperti jizyah yang dikenakan kepada orang-orang kafir yang menetap di negara Islam.
  • Apa yang diambil harta yang ditinggalkan oleh orang kafir dengan sebab mereka takut kepada orang Islam yang terdiri daripada bangunan, harta mudah alih atau tanah-tanah dan lain-lain lagi.

Hukumnya telah dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَمَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْهُمْ فَمَا أَوْجَفْتُمْ عَلَيْهِ مِنْ خَيْلِ وَلَا رِكَابِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُسَلِطُ رُسُلَهُ عَلَى مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَالرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَمَى وَالْمَسَكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كُن لَا يَكُونَ دُولَةٌ بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ وَمَا الَنَكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَنكُمْ عَنْهُ فانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan apa jua yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya daripada peninggalan harta benda mereka (yang telah diusir itu, maka kalian tidak berhak mendapatnya), kerana kalian tidak memecut seekor kuda pun dan tidak menunggang seekor unta pun (untuk berperang mengalahkan mereka); tetapi Allah memberikan kekuasaan kepada rasul-rasul-Nya mengalahkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (dengan tidak payah berperang): dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (6): Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) daripada harta penduduk negeri, bandar, atau desa dengan tidak berperang, maka ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang-orang kaya daripada kalangan kalian. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kalian, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kalian melakukannya, maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertaqwalah kalian kepada Allah: sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah- Nya). (7).”

(Surah al-Hasyr: 6-7)

Harta ghanimah dan fai’ pada zaman Khalifah ‘Umar RA, jumlahnya adalah terlalu besar disebabkan oleh kekayaan dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom yang telah tumbang. Kelengkapan bala tenteranya pula bersama dengan perhiasan yang mahal.

Hal itu menyebabkan jumlah harta mereka mencecah jutaan dinar dan dirham yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Maka, Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA mengendalikan pembahagian yang adil dalam kalangan mereka dengan melakukan pembahagian untuk persediaan peperangan dan juga untuk masyarakat.

Harta itu diserahkan kepada pihak pemerintah bagi mengendalikan urusan mengikut pembahagian yang adil menurut keperluan negara dan rakyat, berdasarkan pecahan yang diizinkan berijtihad dalam menguruskannya. Maka, harta itu dimasukkan dalam urusan kewangan kerajaan supaya ia dapat diuruskan dengan lebih sistematik. (Lihat Khalifah Umar FIqh Siyasah Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 395-397)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Riwayat al-Bukhari (6347) dan Muslim (2707)

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply