Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang yang sedang berhadas mandi wajib dengan cara berendam atau menyelam dalam tab mandi (bathtub)? Sebagaimana yang kita maklum, biasanya isipadu air dalam bathtub tak sampai jumlah dua qullah. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Sebagaimana yang kita maklumi bahawa mandi wajib tujuannya adalah untuk mengangkat hadas besar. Justeru, mandi wajib hendaklah dengan menggunakan air mutlak, yang boleh digunakan bagi mengangkat hadas dan membersihkan najis. Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).

Tambahan lagi, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan beberapa contoh air mutlak. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh beliau bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).

Muhammad Hasan ‘Abd al-Ghaffar ketika mensyarahkan matan di atas menyebutkan, rukun “menghilangkan najis sekiranya ada pada badan” bukanlah rukun mandi wajib yang tersendiri (mustaqil) tetapi ia berkait dengan kewujudan najis.

Meratakan air ke seluruh badan adalah dengan mencurahkan air ke setiap anggota tubuh dan meratakan air di kulit. Jika seseorang bangun dari tidurnya dalam keadaan berjunub, kemudian dia masuk ke dalam laut, sebagai contoh, dan berniat untuk menghilangkan hadas, kemudian dia ratakan air ke seluruh tubuh dan kulitnya, maka apabila dia keluar dari air laut itu, dia sudah boleh mendirikan solat kerana hadasnya telah diangkat (dihilangkan).

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kepada hal tersebut. Di antaranya sabda Nabi SAW:

أَمَّا أَنَا فَيَكْفِينِي أَنْ أَصُبَّ عَلَى رَأْسِي ثَلَاثًا، (ثُمَّ أُفِيضُ بَعْدَ ذَلِكَ عَلَى سَائِرِ جَسَدِي)

Maksudnya: “Adapun aku, cukuplah untukku dengan mencurahkan air ke atas kepalaku sebanyak tiga kali. (Kemudian aku curahkan pula air selepas itu ke atas seluruh tubuh badanku).[1]

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa mencurahkan air tanpa menggosok sudah mencukupi, meskipun menggosok itu adalah disunatkan, tetapi ia bukanlah disyaratkan. (Lihat Syarh Matn Abi Syuja‘, 21/2-3).

Jadi, berdasarkan kepada penjelasan ini, jelaslah bahawa apa yang perlu dipenuhi dalam mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh anggota badan dan niat. Dalam erti kata lain, jika masih ada bahagian atau anggota tubuh yang belum terkena air, maka mandi wajib yang dilakukannya masih lagi belum sempurna dan sah, serta dia masih lagi dianggap berada dalam hadas besar.

Begitu juga mengenai kewajipan meratakan air ke seluruh tubuh badan, tidak semestinya ia dilakukan dengan hanya cara mencurahkan air ke atas anggota badan. Sebaliknya dia juga dibolehkan untuk menyelam ke dalam jumlah air yang banyak ataupun sedikit dengan syarat air itu dapat mengenai seluruh tubuhnya (dalam selaman tersebut) sebagaimana contoh yang kami telah sebutkan di atas berkenaan seseorang yang menyelam ke dalam air laut lalu berniat mandi wajib untuk mengangkat hadas besar. Maka mandi wajibnya itu adalah sah dan hadas besarnya juga terangkat.

Tambahan lagi, hal ini juga adalah sebagaimana dijelaskan dalam Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 27) bahawa jika ada orang yang sedang berjunub (dalam hadas besar) menyelam ke dalam air yang banyak atau sedikit dan berniat (mandi wajib), maka ia adalah mencukupi (yakni sah mandi wajibnya itu) sekalipun dia tidak menggosok-gosok tubuh badannya.

Namun, jika pada anggota tubuhnya terdapat bahan seperti lilin, kotoran atau minyak pejal yang menghalang air untuk sampai (ke kulitnya) kecuali dengan gosokan, maka wajib ke atasnya untuk menggosok (ketika mandi wajib) sebagaimana dalam wuduk.

Di samping itu, al-Ramli turut menyatakan, sekiranya seseorang yang sedang berjunub atau berhadas besar menyelam dalam air yang sedikit (kurang dua qullah), kemudian dia berniat (mandi wajib), maka terangkatlah hadasnya dari semua anggota badannya, dan begitu juga hadas terangkat dari anggota wuduknya. Manakala air itu pula menjadi air musta‘mal jika digunakan lagi oleh orang lain dan tidak kepadanya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/73).

Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami ada menyatakan, jika seseorang yang sedang berhadas besar atau berjunub menyelam dalam air yang sedikit (kurang dua qullah), kemudian dia berniat (mandi wajib), maka terangkatlah hadasnya itu, dan selagi mana dia masih belum lagi keluar dari air, maka ia turut mengangkat hadasnya; kecil dan besar yang baru berlaku/terjadi semasa dia berada dalam air. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/82).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan penjelasan di atas, jelaslah bahawa seseorang boleh mandi wajib dengan cara menyelam seluruh tubuh badannya ke dalam air mutlak, tidak kira jumlah air tersebut banyak ataupun sedikit, ia mencukupi dan mandi wajibnya itu dikira sah dengan syarat ia memenuhi semua rukun dan syarat-syaratnya. Maka, kami berpendapat bahawa seseorang yang mandi wajib dengan cara berendam atau menyelam ke dalam air mutlak di dalam tab mandi (bathtub) adalah dikira mencukupi dan sah, dengan syarat air itu mengenai kesemua anggota badannya dan ia memenuhi semua rukun-rukun mandi wajib seperti mana yang kami telah sebutkan di atas.

Sebaik-baiknya, sebelum dia masuk atau menyelam ke dalam air dalam tab mandi tersebut, hendaklah dipastikan tidak terdapat sebarang najis mahupun  kotoran yang terdapat pada badannya yang dapat menghalang air daripada sampai ke anggota tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H

Nota kaki:

[1] Riwayat ini dinilai sebagai sahih oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ (2/181). Terdapat juga riwayat lain yang hampir sama dengan hadith ini, yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (256) dan Imam Muslim (329).

Leave a Reply