Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum telur yang diambil dari bangkai ayam? Sebabnya kadang-kadang ada telur dalam perut ayam telur betina yang sudah mengeras tetapi belum sempat keluar kerana ayam tersebut sudah mati misalnya akibat dilanggar kereta. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Ma’idah: 87)

Ayat di atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122).         

Telur merupakan makanan yang versatil dan boleh dihidangkan dengan pelbagai cara. Selain itu, ia juga di antara makanan yang menjadi kegemaran orang ramai dan merupakan satu bahan penting di dalam masakan masyarakat Melayu. Contohnya, telur rebus selalunya dipotong kecil dan dimakan bersama nasi lemak, juga dimakan dengan mee kari atau laksa dan lain-lain. Selain itu, telur merupakan salah satu makanan yang sihat dan boleh menjadi sumber protein yang baik. Di samping itu, sebiji telur juga mempunyai pelbagai vitamin seperti vitamin A, B2, B12 dan D serta mineral seperti folat dan iodin.[1]

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, para fuqaha berselisih pendapat mengenai kenajisan telur yang diambil atau dipisahkan dari bangkai haiwan yang boleh dimakan dagingnya kepada sekurang-kurangnya tiga pendapat.

Pendapat pertama, adalah pendapat ulama Hanabilah dan Syafi‘iyah mengikut pendapat yang paling sahih (asah) di sisi mereka, dan juga pendapat Ibn Munzir. Mereka menyatakan bahawa telur yang diambil atau dikeluarkan dari dalam tubuh bangkai haiwan (yang dimakan dagingnya) seperti ayam, jika kulitnya telah mengeras, maka telur tersebut adalah suci dan halal untuk dimakan. Ini kerana apabila kulit telur tersebut mengeras, ia menjadi penghalang antara bahagian yang boleh dimakan (yakni bahagian dalam telur) dan bahagian bangkai (yang bernajis). Oleh sebab itu, telur tersebut halal untuk dimakan.

Namun, jika telur tersebut diambil atau dikeluarkan sebelum kulitnya mengeras, maka telur itu dianggap najis dan tidak halal untuk dimakan.

Hal ini juga kerana telur itu (apabila kulitnya sudah mengeras), ia bukannya sebahagian daripada bangkai haiwan, malah ia terasing daripada haiwan tersebut. Ini seumpama anak haiwan yang keluar dari bangkai haiwan dalam keadaan ia masih hidup. Begitu juga kerana telur ini keluar dari haiwan yang akan dicipta daripadanya haiwan yang serupa dengan induknya, maka ia menyerupai anak haiwan yang masih hidup. Selain itu, tidak ada perselisihan dalam kalangan ulama Syafi‘iyah bahawa bahagian luar telur ini adalah najis.

Pendapat kedua, adalah pendapat ulama Hanafiyyah dan satu pendapat dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah. Mereka menyatakan bahawa telur itu adalah suci dan dibolehkan untuk memakannya secara mutlak, tidak kira kulitnya sudah mengeras ataupun tidak. Menurut al-Kasani, ini kerana telur itu adalah sesuatu yang suci pada dirinya sendiri, yang disimpan di dalam burung secara terpisah daripadanya dan bukannya sebahagian daripada bahagiannya. Oleh itu, pengharamannya bukan menjadi pengharaman bagi burung tersebut sebagaimana halnya jika kulitnya mengeras.

Pendapat ketiga, adalah pendapat ulama Malikiyyah, al-Laith bin Sa‘ad dan juga satu pendapat dalam kalangan Syafi‘iyyah. Mereka menyatakan bahawa telur tersebut adalah najis secara mutlak dan tidak boleh memakannya. Ini kerana ia adalah sebahagian daripada bangkai. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/389-390; Badai‘ al-Sanai‘, 5/43; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/244).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa telur yang diambil daripada bangkai haiwan yang boleh dimakan dagingnya seperti burung, itik dan seumpamanya adalah halal dan boleh dimakan, dengan syarat kulit telur itu sudah mengeras. Sekiranya kulit telur itu masih lagi belum mengeras, maka ia adalah najis dan tidak boleh dimakan.

Hal ini kerana kulit telur yang sudah mengeras menjadi penghalang di antara bahagian dalam telur yang boleh dimakan dengan bahagian bangkai yang najis. Jadi, bahagian dalam telur itu tidak menjadi najis dengan sebab itu. Walau bagaimanapun, bahagian luar telur (kulitnya) dikira mutanajjis kerana bersentuhan dengan bangkai, maka ia perlulah dibersihkan terlebih dahulu sebelum dimakan.

Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #434 Merebus Telur Ayam dengan Air Mutanajjis.[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 10 November 2023 bersamaan 26 Rabiul Akhir 1445 H

Nota Kaki:

[1] Lihat https://hellodoktor.com/pemakanan/fakta-nutrisi/makan-telur-mentah-rebus/. Diakses pada 9 Februari 2022.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/434-merebus-telur-ayam-dengan-air-mutanajjis/. Diakses pada 2 November 2023.

Leave a Reply