Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya seseorang yang telah berkahwin melakukan zina, adakah hukuman ke atasnya sama sahaja seperti penzina yang belum berkahwin?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Imam Ibn Kathir berkata, Allah SWT melarang para hamba-Nya dari perbuatan zina dan menegah dari mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/72)

Hukuman Islam ke atas penzina yang telah berkahwin adalah berbeza dengan hukuman penzina yang belum berkahwin. Hukuman bagi yang telah berkahwin jauh lebih berat kerana mereka bukan sahaja melakukan dosa besar yang amat ditegah oleh syara‘, bahkan mereka juga telah mengkhianati pasangan mereka yang dikahwini secara sah.

Dr ‘Abd al-Qadir al-‘Audah berkata, hukuman bagi penzina yang telah berkahwin ini diberatkan kerana perkahwinan itu sepatutnya menjauhkan seseorang itu dari berfikir ke arah zina. Jika dia fikir untuk melakukan zina selepas itu, ini menunjukkan bahawa dia mempunyai nafsu yang kuat ke arah berlazat-lazat dengan cara yang haram, dan kuat keghairahannya untuk berjimak. Maka wajib untuk ditetapkan ke atasnya hukuman yang memberikan kesakitan dan azab seksa yang dahsyat atas perbuatannya itu. (Lihat al-Tasyri‘ al-Jina’i fi al-Islam, 1/641)

Hukuman yang berat dan dahsyat yang disebutkan ini adalah hukuman rejam sehingga mati. Hukuman ini thabit berdasarkan nas-nas syara‘. Antaranya adalah, seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَتَى رَجُلٌ رَسُولَ اللهِ ﷺ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فَنَادَاهُ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنّيِ زَنَيْتُ. فَأَعْرَضَ عَنْهُ. فَلَمَّا شَهِدَ عَلَى نَفْسِهِ أَرْبَعًا قَالَ: أَبِكَ جُنُونٌ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: اذْهَبُوا بِهِ فَارْجُمُوهُ

Maksudnya: “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW ketika Baginda berada di masjid, lalu dia memanggil Baginda lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sungguh aku telah berzina.’ Lantas Baginda berpaling daripadanya. Setelah orang itu memberi kesaksian ke atas dirinya sebanyak empat kali maka Baginda bertanya: ‘Adakah engkau gila?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Bawalah orang ini dan rejamlah dia’.”

Riwayat al-Bukhari (7167) dan Muslim (1691)

Imam Ibn Hajar al- ‘Asqalani mengatakan, telah tertegaknya hujjah bahawa perintah rejam itu datang selepas turunnya surah al-Nur, kerana surah itu turun pada peristiwa al-Ifk (fitnah terhadap Saidatina ‘Aisyah R.Anha). Ulama’ berbeza pendapat sama ada peristiwa itu berlaku pada tahun ke-7, ke-6 atau ke-5. Dan hukuman rejam ini turun selepas tahun tersebut, yang turut dihadiri oleh Abu Hurairah R.A -beliau memeluk Islam pada tahun ke-7 hijrah-. (Lihat Fath al-Bari, 12/120)

Diriwayatkan juga daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A bahawa beliau mendengar Khalifah ‘Umar bin al-Khattab R.A berkata di dalam khutbah beliau:

إِنَّ اللَّهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا ﷺ بِالحَقِّ، وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الكِتَابَ، فَكَانَ مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ آيَةُ الرَّجْمِ، فَقَرَأْنَاهَا وَعَقَلْنَاهَا وَوَعَيْنَاهَا، رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengutuskan Muhammad SAW dengan kebenaran dan menurunkan al-Kitab kepada Baginda. Dan antara yang diturunkan oleh Allah adalah ayat rejam (terhadap lelaki dan wanita yang sudah berkahwin yang melakukan zina). Kami telah pun membacanya, memahaminya dan menghafalnya. Rasulullah SAW telah melakukan rejam dan kami juga turut melaksanakannya setelah Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (6830) dan Muslim (1691)

Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya:

قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: لَقَدْ خَشِيتُ أَنْ يَطُولَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ حَتَّى يَقُولَ قَائِلٌ: مَا أَجِدُ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللَّهِ، فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ، أَلَا وَإِنَّ الرَّجْمَ حَقٌّ، إِذَا أُحْصِنَ الرَّجُلُ وَقَامَتِ الْبَيِّنَةُ، أَوْ كَانَ حَمْلٌ أَوِ اعْتِرَافٌ، وَقَدْ قَرَأْتُهَا الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ

Maksudnya: “‘Umar bin al-Khattab berkata: Aku khuatir apabila suatu tempoh masa berlalu, akan ada orang yang mengatakan: ‘Demi Allah, kami tidak menemukan ayat rejam dalam Kitab Allah,’ sehingga mereka menjadi sesat kerana meninggalkan kewajipan yang telah diturunkan oleh Allah. Sesungguhnya hukuman rejam itu adalah benar, terhadap seorang lelaki (mahupun perempuan) yang berzina selepas berkahwin jika terdapat saksi atau kehamilan atau pengakuan. Kami telah pun membacanya, ‘Orang tua (yang telah berkahwin) lelaki atau perempuan jika mereka berdua berzina, maka rejamlah kedua-duanya’.”

Riwayat Ibn Majah (2553)

Adakah Hukuman Rejam Selepas Sebatan?

Hukuman rejam bagi penzina yang telah berkahwin ini telah disepakati oleh fuqaha’ tentang kewajibannya. Akan tetapi, wujud perselisihan di kalangan fuqaha’ tentang hukuman ini, sama ada perlu didahului dengan sebatan dahulu atau tidak.

Ini bertitik-tolak dengan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

خُذُوا عَنِّي، خُذُوا عَنِّي، فَقَدْ جَعَلَ اللهُ لَهُنَّ سَبِيلًا، البِكْرُ بِالبِكْرِ جَلْدُ مِائَةٍ، وَنَفْيُ سَنَةٍ، وَالثَّيِّبُ بِالثَّيِّبِ جَلْدُ مِائَةٍ، وَالرَّجْمُ

Maksudnya: “Ambillah dariku! Ambillah dariku! Sesungguhnya Allah telah menetapkan wanita-wanita jalan keluar (dari hukuman kurung hingga mati), iaitu wanita yang belum menikah (yang berzina) dengan lelaki yang belum menikah mereka dikenakan 100 kali sebatan dan dibuang daerah selama satu tahun, sedangkan wanita yang telah menikah (yang berzina) dengan lelaki yang telah menikah, maka mereka dikenakan hukuman 100 kali sebatan dan rejam.”

Riwayat Muslim (1690), Abu Dawud (4415), al-Tirmizi (1434), Ibn Majah (2550), Ahmad (22718) dan al-Nasa’ie (7142)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, terdapat majoriti ulama’ termasuk empat imam 4 mazhab berpandangan bahawa, tidak perlu menggabungkan hukuman sebat dan rejam, tetapi cukup sekadar rejam. Inilah yang diriwayatkan dari 2 Khalifah Islam, ‘Umar dan ‘Uthman R.Anhuma, dan ini juga disebutkan oleh Ibn Mas‘ud, al-Zuhri, al-Nakha‘i, al-Awza‘i dan Abu Thaur. Ini kerana thabit daripada Nabi SAW bahawa baginda menghukum rejam ke atas Ma‘iz dan al-Ghamidiyyah, dan selain mereka tanpa menyebat mereka. Hal ini kerana, jika terhimpun beberapa hukuman hudud pada seseorang itu, dan antara hukuman itu terdapatnya hukuman mati, maka hukuman lain tidak perlu lagi dilaksanakan.

Sebahagian ulama’ Salaf seperti Ibn ‘Abbas, Ubai bin Ka‘b, Abu Zar, al-Hasan al-Basri, Dawud dan selainnya mengatakan bahawa perlu dihimpunkan sebat dan rejam. Ini berdasarkan tindakan Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A, dan apabila al-Sya‘bi bertanyakan kepada beliau tentang sebab dihimpunkan kedua hukuman tersebut, beliau menjawab: “Aku sebat kerana dalil al-Quran, dan aku rejam kerana Sunnah Rasulullah SAW.”

Dan menurut Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam, pandangan pertama adalah pandangan yang lebih tepat. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/218-219)

Kesimpulan

Jelas di sini bahawa hukuman ke atas penzina yang telah berkahwin adalah rejam sehingga mati. Dan inilah pandangan yang dipegang oleh majoriti ulama’ mazhab.

Semoga saudara mendapat manfaat ilmu dari perkongsian ini, seterusnya bersama mendidik anak bangsa kita agar sentiasa mentaati suruhan Allah SWT dan menjauhi segala larangannya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Wallahu a‘lam

Bertarikh: 10 November 2023 bersamaan 26 Rabiul Akhir 1445 H

Leave a Reply