Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya sekiranya dua wali mengahwinkan seorang perempuan yang mana satu sah ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya’ri bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ

Maksudnya: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.”

Riwayat al-Tirmizi (1102)

Hadith ini menunjukkan bahawa seorang perempuan tidak dibolehkan melakukan akad nikah untuk dirinya sendiri melainkan walinya dan tidak boleh juga dia melakukan akad nikah untuk perempuan lain. Yang demikian merupakan pandangan ulama seperti Imam al-Syafi’I, Sufyan al-Thauri, Imam Ahmad dan Abu Ishaq.  (Lihat al-Tamhid, 12/21 ).

Selain itu, terdapat riwayat daripada Aisyah, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika dia menggaulinya maka dia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan daripada kemaluannya.”

Riwayat Tarmizi (1102)

Dalam susunan atau tertib wali perempuan yang sah mengikut Hukum Syara’ adalah seperti berikut:

  • Bapa Kandung.
  • Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
  • Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
  • Adik Beradik Lelaki Sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Wali Hakim. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/61).

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan  antara syarat sah sesuatu pernikahan hendaklah mencukupi segala rukun nikah. Salah satu rukun nikah adalah adanya wali. Perkahwinan tanpa wali dikira  tidak sah menurut pandangan jumhur ulama. Dalam isu ini kami katakan sekiranya dua wali yang sama taraf mengahwinkan seorang perempuan maka perkahwinan sah pada wali yang dahulu mengahwininya dan telah mendapat izin daripadanya. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Samurah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّما امرأةٍ زَوَّجَها وَلِيّانِ فهي للأوَّلِ مِنْهُمَا

Maksudnya: Siapa saja wanita yang dinikahkan oleh dua orang wali, maka pernikahan yang sah wanita itu adalah bagi yang pertama dari keduanya.

Riwayat Abu Dawud(1110) dan al-Tirmizi (1110)

Hadith ini adalah bersifat mutlak dan ia dapat difahami bahawa batalnya pernikahan yang diakad oleh wali yang kedua dan sah akad dari wali yang pertama. Hadith ini tidak menyebutkan izin wanita dalam mengahwininya, akan tetapi kewajipan meminta izin adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الثَّيِّبُ أَحَقُّ بنَفْسِها مِن وَلِيِّها، والْبِكْرُ يَسْتَأْذِنُها أَبُوها في نَفْسِها

Maksudnya: Seorang janda itu lebih berhak memilih suami daripada walinya manakala perempuan yang masih dara hendaklah bapa meminta izin kepadanya

Riwayat Muslim(1421)

Dalam isu ini Syeikh Ibrahim Ali Syeikh menyatakan bahawa: Antara syarat-syarat sah dalam perkahwinan adalah kerelaan, bahkan jika wanita itu  masih bujang. Bapa tidak boleh memaksa wanita dalam hal ini, dan dalil-dalil bagi pendapat ini adalah jelas. (Lihat Fatawa wa Rasail Samahah al-Syeikh Muhammad Bin Ibrahim Ali Syeikh,10/74 )

Hadith ini juga menunjukka kepada kita bahawa sekiranya wali yang jauh mengahwini seorang wanita sedangkan wali yang dekat masih ada maka perkahwinan yang dilakukan tersebut adalah tidak sah kerana wali yang jauh tidak dinamakan sebagai wali sekiranya wujudnya wali yang dekat (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/281)

Syeikh al-Muti‘i menyatakan bahawa sekiranya seorang perempuan mempunyai dua orang wali, maka perwalian diberikan kepada yang lebih akrab (hampir) seperti dalam pewarisan, dan jika dikahwinkan oleh wali yang seterusnya, maka perkahwinan tersebut tidak sah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 16/162)

Ibn Qudamah menyatakan, jika wali yang lebih jauh menikahkan wanita dengan kehadiran wali yang lebih dekat, dan wanita tersebut menyetujuinya tanpa izin wali yang lebih dekat, maka pernikahan tersebut tidak sah. Yang demikian juga merupakan pandangan Imam al-Syafi‘i. (Lihat al-Mughni,28/7).

Justeru kami katakan dalam situasi di mana seorang wanita mempunyai dua wali yang sama taraf, apabila kedua-dua wali tersebut  menikahkan wanita tersebut, maka hanya akad yang mendapat persetujuan dari wanita tersebut yang dianggap sah. Hadith yang dinyatakan di atas adalah bersifat mutlak, ia diikat dengan hadith yang menegaskan kewajipan meminta izin wanita sebelum mengahwininya. Namun sekiranya wali ab’ad mengahwini wanita sedangkan wali aqrab masih ada maka perkahwinan tersebut adalah tidak sah dan terbatal.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua’lam

Leave a Reply