Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mendirikan solat Tahiyyatul Masjid pada waktu yang dilarang untuk solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Tahiyatul Masjid ialah solat sunat dua rakaat yang dilakukan ketika memasuki masjid sebagai memuliakan masjid. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/215)

Justeru, yang dimaksudkan dengan tahiyatul masjid ialah solat yang dilakukan untuk menghormati masjid. Ia dilakukan apabila seseorang memasuki masjid dan sebelum ia duduk. Daripada Abu Qatadah bin Rib‘i al-Ansari R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ المَسْجِدَ، فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga dia mendirikan solat sebanyak dua rakaat.”

Riwayat al-Bukhari (1163), Muslim (714), Abu Dawud (467), Ibn Majah (1013) dan al-Tirmizi (316)

Imam al-San’ani di dalam penjelasannya terhadap hadith ini, beliau menyebut bahawa hadith ini merupakan satu larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat. (Lihat Subul Al-Salam Syarh Bulugh Al-Maram Min Adillah Al-Ahkam, 2/62)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa para ulama sepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/52)

Hukum Solat Tahiyat al-Masjid

Sesungguhnya tahiyatul masjid sunat mustahab dengan ijmak muslimin kecuali apa yang dihikayatkan daripada Dawud dan ashabnya daripada kewajipannya. Ijmak ulama bahawa makruh orang yang masuk masjid duduk tanpa solat tahiyat masjid tanpa uzur seperti kata Imam al-Nawawi.

Ibn Hazm berpendapat bahawa perintah dalam hadith tersebut menunjukkan kepada hukum wajib.

Imam al-Nawawi berkata: Di dalamnya terkandung pengertian disunatkan melaksanakannya, yang ia bersifat sunat menurut kesepakatan kaum muslimin. Dalamnya juga terkandung pengertian disunatkan memberi penghormatan (Tahiyat) kepada masjid setiap kali memasukinya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/233)

Dr. Said Wahf al-Qahtani dalam bukunya Ensiklopedia Solat berkata: “Paling tepat sunat muakkad, demikian itu pendapat jumhur.” (Lihat Ensiklopedia Solat terjemahan, 1/513)

Solat Tahiyatul Masjid Pada Waktu Yang Dilarang Solat

Terdapat beberapa waktu yang dilarang untuk melakukan solat — yakni solat sunat. Ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَشْرُقَ الشَّمْسُ، وَبَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ‏.‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW, telah melarang daripada melakukan solat (sunat) selepas solat subuh sehingga terbitnya matahari dan selepas solat asar sehingga terbenamnya matahari.”

Riwayat al-Bukhari (581)

Selain itu, terdapat juga dalam hadith yang lain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ الشَّمْسُ وَعَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menegah dari melakukan solat (sunat) selepas solat Asar sehingga tenggelamnya matahari dan solat selepas subuh hingga terbitnya matahari.

Riwayat Muslim (825)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa pada waktu yang disebutkan pada hadith Muslim di atas adalah dilarang untuk melakukan solat sunat selepas selesai menunaikan solat fardhu asar. Para ulama’ telah menyatakan ijmak bahawa dimakruhkan untuk melakukan solat yang tiada sebab untuk melakukannya pada waktu yang disebutkan — yakni waktu yang dilarang itu. Adapun solat-solat sunat yang mana mempunyai sebab — untuk melakukannya — seperti solat tahiyatul masjid, sujud tilawah dan syukur, solat hari raya, solat gerhana, solat jenazah dan juga qadha’ (menggantikan) solat fardhu yang ditinggal, maka menurut mazhab al-Syafi‘i ia adalah dibolehkan tanpa makruh. Namun, menurut mazhab Abu Hanifah dan mazhab-mazhab yang lain, mereka berpendapat ia adalah tidak dibenarkan kerana ia termasuk dalam keumuman larangan hadith. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/110)

Tambahan lagi, di dalam kitab al-Mu‘tamad fi Fiqh al-Syafi‘i (1/176-178), Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan bahawa makruh di sini adalah merujuk kepada makruh tahrim. Meskipun begitu, terdapat pengecualian dalam beberapa keadaan waktu yang mana pada waktu-waktu tertentu, boleh dilakukan solat sunat selepas asar. Antara yang disebutkan:

  • Solat yang ada sebab untuk menunaikannya:Tidak dimakruhkan bagi setiap solat yang terdapat padanya sebab seperti seseorang yang ingin mengqadha’ solat fardhu, sujud tilawah, solat jenazah, solat gerhana matahari dan bulan, solat minta hujan, solat sunat tawaf, solat sunat tahiyatul masjid. Jika diperhatikan, kesemua solat sunat di atas dilakukan kerana bersebab.
  • Solat ketika matahari terpacak tegak di atas kepala pada hari Jumaat: Tidak dimakruhkan juga pada waktu ini untuk solat bagi mereka yang hadir untuk solat. Terdapat hadith daripada riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A:

أَنَّهُ كَرِهَ الصَّلَاةَ نِصْفَ النَّهَارِ إِلَّا يَوْمَ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW tidak menyukai solat di tengah hari (keadaan matahari tertegak di atas kepala) kecuali pada hari Jumaat.

Riwayat Abu Dawud (1083). Abu Dawud menyebutkan, hadith ini adalah mursal.

  • Solat di Haram Makkah al-Mukarramah: Tidak dimakruhkan solat di sana sekalipun pada waktu yang makruh sama ada bersebab ataupun tidak bersebab. Ini berdasarkan hadis daripada Jubair bin Mut’im R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

لاَ تَمْنَعُوا أَحَدًا يَطُوفُ بِهَذَا الْبَيْتِ وَيُصَلِّي أَىَّ سَاعَةٍ شَاءَ مِنْ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ

Maksudnya: Jangan kamu halang seseorang yang ingin melakukan tawaf di rumah Allah ini (Ka’bah) dan solat pada setiap waktu yang mereka inginkan pada waktu malam ataupun siang.

Riwayat Abu Dawud (1894) al-Nasa’ie (586)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Para ulama berbeza pendapat mengenai solat-solat yang memiliki sebab, seperti tahiyyat al-masjid, dua rakaat wudhu, dan solat kusuf, adakah solat-solat ini boleh dilakukan ketika waktu larangan solat atau tidak? Mazhab Hanafi, Maliki, dan Hanbali berpendapat bahawa semua solat sunat tidak boleh dilakukan pada waktu yang dilarang, kecuali dua rakaat tawaf. Menurut Mazhab Hanafi pula, bahkan dua rakaat tawaf juga tidak boleh dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang, dengan dalil umum hadith-hadith tentang larangan ini.

Mazhab al-Syafi’i dan salah satu riwayat dalam mazhab Ahmad berpendapat bahawa larangan itu khusus untuk solat sunat yang tidak memiliki sebab tertentu, manakala solat-solat yang memiliki sebab boleh dilakukan jika sebabnya ada. Mereka merujuk kepada hadith-hadith yang khusus mengenai solat-solat ini, yang telah ditentukan dalam hadith-hadith larangan yang umum. Pendapat ini telah dipilih oleh Syeikh al-Islam, dan selainnya daripada mazhab Imam Ahmad. Para fuqaha berpendapat bahawa dengan pendapat ini, semua dalil telah digabungkan dan amalan ini boleh dilakukan berdasarkan hadith-hadith daripada kedua sudut pandang ini. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/144-145)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa solat tahiyyatul masjid pada waktu larangan solat adalah dibolehkan sebagaimana pendapat dalam mazhab al-Syafi’i. Hal ini kerana larangan waktu solat itu khusus untuk solat sunat yang tidak memiliki sebab yang tertentu, manakala solat-solat yang memiliki sebab tertentu seperti solat tahiyyatul Masjid boleh dilakukan jika sebabnya ada walaupun ia adalah pada waktu yang dilarang untuk solat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

 

Leave a Reply