Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah bacaan Nabi SAW selepas takbiratul ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, telah diriwayatkan daripada Abu Zur‘ah, katanya Abu Hurairah menyampaikan kepada kami, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْكُتُ بَيْنَ التَّكْبِيرِ وَبَيْنَ القِرَاءَةِ إِسْكَاتَةً – قَالَ أَحْسِبُهُ قَالَ: هُنَيَّةً – فَقُلْتُ: بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللهِ، إِسْكَاتُكَ بَيْنَ التَّكْبِيرِ وَ بَيْنَ وَالقِرَاءَةِ مَا تَقُولُ؟ قَالَ: «أَقُولُ: اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ، كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ المَشْرِقِ وَالمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ».

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah diam seketika antara takbiratulihram dan bacaan al-Fatihah. Dia (Abu Zur‘ah) berkata: Aku menyangka Abu Hurairah berkata: “Berhenti sebentar” – maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Tuan, demi bapa dan ibuku, apakah yang engkau baca ketika engkau diam seketika antara takbir dan bacaan al-Qur’an?” Baginda menjawab: Aku berdoa: “اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ، كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ المَشْرِقِ وَالمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ” (Maksudnya: “Ya Allah, jauhkan diriku daripada dosa-dosa sebagaimana Engkau menjarakkan antara timur dan barat. Ya Allah, sucikanlah kesalahanku sebagaimana pakaian yang putih disucikan daripada kotoran. Ya Allah, basuhlah dosaku dengan air, salji dan ais yang dingin).”

Riwayat al-Bukhari (744) dan Muslim (598)

Hadith ini menunjukkan bahawa selepas takbiratul ihram, Rasulullah SAW mendiamkan diri dengan membaca doa iftitah secara perlahan sehingga menyebabkan Abu Hurairah R.A bertanyakan kepada Nabi SAW berkenaan apa yang baginda baca selepas takbiratul ihram, lalu baginda SAW menerangkan kepada beliau.

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata:  Pelaksanaan Doa Iftitah adalah dianjurkan, dan ia dilakukan selepas takbiratul ihram dan sebelum membaca isti’azah (permintaan perlindungan dari syaitan) dan membaca al-Fatihah. Ia adalah pada waktu diam yang ringkas yang juga diamalkan oleh Nabi SAW. Sifat doa iftitah ini adalah ia dibaca secara senyap (sirr), kecuali jika terdapat keperluan untuk membacanya dengan kuat dengan tujuan untuk mengajar orang yang solat di belakangnya seperti mana yang dilakukan oleh Umar  R.A [Riwayat Muslim (52)]. Hadith ini juga menunjukkan orang-orang berilmu mempunyai adab yang baik dalam mengajarkan ilmu. Apabila orang yang belajar bertanya, dan guru menjawab dalam masalah yang mereka perlukan, mereka lebih fokus pada amalan berbanding berada dalam kebingungan dalam masalah yang digambarkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/165)

Berkenaan dengan lafaz doa iftitah yang ini, Ibn al-Mulaqqin dalam Syarah kitab al-‘Umdah berkata: Nabi SAW  dalam doa ini, meminta:

  • Yang layak dengan sifat ubudah (perhambaan), iaitu pemisahan.
  • Kemudian, baginda meminta penyucian.
  • Kemudian, baginda meminta basuhan, kerana ia lebih sempurna daripada dua perkara sebelumnya. (Lihat al-I’lam bi Fawaid ‘Umdah al-Ahkam, 3/10)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply