Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ketika membaca tafsir Surah Sad, saya ada terbaca satu ayat yang menceritakan bahawa Nabi Ayyub A.S pernah marah kepada isterinya dan bersumpah untuk menyebatnya 100 kali. Adakah kisah ini benar?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Para ulama’ dalam bidang tafsir al-Quran telah mengisahkan tentang Nabi Ayyub A.S yang pernah bersumpah untuk menyebat isterinya 100 kali, dan kisah ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَخُذْ بِيَدِكَ ضِغْثًا فَاضْرِب بِّهِ وَلَا تَحْنَثْ ۗ إِنَّا وَجَدْنَاهُ صَابِرًا ۚ نِّعْمَ الْعَبْدُ ۖ إِنَّهُ أَوَّابٌ
Maksudnya: “Dan (Kami perintahkan lagi kepadanya): ‘Ambilah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah (isterimu) dengannya; dan janganlah engkau merosakkan sumpahmu itu’. Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadahnya).”
(Surah Sad: 44)
Akan tetapi, tidak ada sebarang dalil hadith yang sahih daripada Rasulullah SAW yang menceritakan tentang sebab Nabi Ayyub A.S melafazkan sumpah itu. Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur berkata, kisah ini juga turut disebutkan di dalam ayat yang lain secara ringkas, tanpa ada sebarang hadith yang menerangkannya. (Lihat al-Tahri wa al-Tanwir, 23/167)
Imam Ibn Kathir menceritakan, Nabi Allah Ayyub A.S pernah marah kepada isterinya yang didapati melakukan sesuatu perkara. Nabi Ayyub A.S bersumpah sekiranya dia diberikan kesembuhan oleh Allah SWT, dia akan menyebat isterinya sebanyak 100 kali. Apabila beliau sembuh, mana mungkin isterinya yang menjaganya dengan sempurna, sifat rahmat, kasih sayang dan belas ihsan dibalas dengan sebatan. Maka Allah SWT menurunkan firman-Nya seperti dalam ayat 44 Surah Sad. Dan jerami yang dimaksudkan itu adalah al-syimrakh atau pelepah kurma yang memiliki seratus ranting, atau segenggam batang-batang gandum (yang mungkin menyamai 100 batang). Nabi Ayyub A.S pun memukul isterinya dengan jerami itu sekali sahaja, maka dengan itu dia telah menunaikan sumpahnya dan tidak melanggar sumpah tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/66)
Imam al-Qurtubi menyebutkan, Nabi Ayyub A.S pernah bersumpah ketika beliau sedang sakit untuk menyebat isterinya sebanyak 100 kali. Terdapat 4 pandangan mengenai sebab sumpah beliau ini:
- Ibn ‘Abbas R.A meriwayatkan bahawa Iblis bertemu dengan isteri Nabi Ayyub A.S dalam rupa seorang doktor yang menyuruhnya untuk merawat Nabi Ayyub A.S. Iblis berkata: “Aku akan merawat dia, dengan syarat apabila dia sembuh, dia akan sebut: ‘Kamu (Iblis) yang menyembuhkanku’, aku tidak mahu balasan lain selain ucapan itu sahaja.”
Maka isteri Nabi Ayyub A.S pun menyuruh beliau berbuat demikian, lalu beliau bersumpah untuk menyebat isterinya, dan berkata: “Celakalah kamu, (doktor) itu adalah syaitan!”
- Diceritakan oleh Sa‘id bin al-Musayyib bahawa isteri Nabi Ayyub A.S pulang dengan membawa roti lebih dari kebiasaannya, maka beliau khuatir isterinya telah melakukan perbuatan khianat (sehingga boleh mendapatkan roti yang banyak), maka beliau bersumpah untuk menyebatnya.
- Dikisahkan oleh Yahya bin Salam dan selainnya, bahawa syaitan (yang menyamar sebagai doktor itu) telah mengelirukan isteri Nabi Ayyub A.S agar dia menghasut beliau untuk menyembelih seekor anak biri-biri sebagai mendekatkan diri kepada ‘doktor’ tersebut, maka barulah Nabi Ayyub A.S boleh sembuh. Isterinya pun menyuruh beliau melakukan demikian, lalu Nabi Ayyub A.S bersumpah untuk menyebat isterinya 100 kali selepas beliau sembuh.
- Dikatakan bahawa isteri Nabi Ayyub A.S telah menjual ekor rambutnya sebagai ganti kepada 2 keping roti kerana dia tidak mempunyai apa-apa untuk dibawakan kepada Nabi Ayyub A.S, sedangkan beliau sering berpaut pada isterinya apabila hendak bangun. Oleh kerana sebab ini, beliau bersumpah untuk menyebatnya.
Dan apabila Nabi Ayyub A.S sembuh dari sakitnya, Allah SWT memerintahkannya untuk mengambil seikat jerami (atau seumpamanya) dan menyebat isterinya dengan jerami itu. Maka beliau mengambil pelepah kurma yang mempunyai 100 tangkai, lalu menyebatnya sekali sahaja. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 15/212)
Dalam keadaan sakit itu, Nabi Allah Ayyub A.S tidak pernah berputus asa dari terus berdoa dengan penuh pengharapan kepada Allah SWT. Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT:
وَاذْكُرْ عَبْدَنَا أَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الشَّيْطَانُ بِنُصْبٍ وَعَذَابٍ
Maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ‘Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)’.”
(Surah Sad: 41)
Kesimpulan
Kami katakan bahawa kisah Nabi Ayyub A.S yang bersumpaj untuk memukul atau menyebat isterinya sebanyak 100 kali ini memang banyak disebutkan oleh para ilmuan dalam bidang tafsir al-Quran. Adapun sebab utama mengapa beliau melafazkan sumpah tersebut, kami bertawaqquf dari menentukan sebab sebenar kerana ianya masih tidak mempunyai kata sepakat dari kalangan ulama’ Islam.
Akan tetapi, kemarahan Nabi Ayyub A.S ini pada asasnya adalah kerana ketaqwaan beliau kepada Allah SWT, dan kesungguhan beliau dalam mendidik isterinya dari melakukan sebarang perkara yang boleh mensyirikkan Allah SWT atau memaksiati-Nya.
Beginilah serba sedikit yang dapat kami kongsikan mengenai kisah ini. Semoga kita dapat beroleh manfaat dan tauladan dari kisah ini, dan seterusnya meningkatkan lagi kesungguhan kita dalam usaha mentaati Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahu a‘lam