Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya terfikir-fikir, bolehkah anak ayam yang kecil itu disembelih lalu dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Ma’idah: 87)

Ayat di atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, tidak kira ayam jantan, ayam betina mahupun anak ayam, kecil ataupun besar, kesemuanya termasuk dalam jenis binatang yang dihalalkan oleh Allah SWT untuk dimakan. Justeru, tidak menjadi masalah dan boleh untuk menyembelihnya kerana hukum asalnya adalah halal untuk dimakan.

Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Begitu juga terdapat riwayat Abu Musa al-Asy‘ari bahawa beliau berkata:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْكُلُ دَجَاجاً

Maksudnya: “Aku telah melihat Nabi SAW makan (daging) ayam.

Riwayat al-Bukhari (5517)

Al-Mubarakfuri menyebutkan, hadith di atas menunjukkan bahawa diharuskan untuk memakan ayam jinak dan ayam liar secara sepakat para ulama. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/450).

Walau bagaimanapun, sembelihan yang dilakukan kepada ayam atau anak ayam itu tersebut mestilah memenuhi syarat-syarat penyembelihan mengikut syariat. Dalam bahasa mudahnya, ia disembelih kerana Allah SWT bagi mendapatkan manfaat daripadanya yang diizinkan syarak seperti untuk memakan dagingnya dan seumpamanya. Ringkasnya, menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, penyembelihan mengikut syariat dapat disempurnakan dengan beberapa syarat, iaitu:

  1. Hendaklah disembelih binatang itu atau dilakukan nahr dengan alat yang tajam yang dapat mengeluarkan darah dan memutuskan urat pernafasan, meskipun peralatan itu daripada batu atau kayu.
  2. Hendaklah disembelih pada leher atau pada lubbah (jika dilakukan nahr). Perkara itu adalah dengan dipotong pada lehernya yang akan menyebabkan mati kerananya atau ditusuk pada lubbahnya yang juga akan menyebabkan mati kerananya.
  3. Hendaklah dia tidak menyebut selain daripada nama Allah SWT. Perkara ini telah disepakati oleh semua ulama. Sebabnya golongan jahiliyah biasanya mendekatkan diri mereka kepada tuhan-tuhan mereka dan berhala-berhala mereka dengan menyembelih binatang kerana tuhan dan berhala tersebut, sama ada dengan disebutkan nama-nama tuhan atau berhala ketika menyembelihnya atau dengan menyembelihnya kepada berhala-berhala tersebut secara khusus.
  4. Hendaklah dia menyebut nama Allah SWT ke atas sembelihan itu (ketika menyembelihnya), dan perkara ini adalah jelas (zahir) berdasarkan semua nas yang ada; al-Quran al-Karim dan al-Sunnah. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 55-56).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply