Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah benar cita-cita Rasulullah SAW mati di rumah ‘Aisyah ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

(Surah al-A‘raf: 34)

Setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini pasti akan merasai mati, iaitu saat terputusnya perhubungan antara roh dan jasad serta detik permulaan ke alam akhirat. Allah SWT telah menentukan ajal seseorang sejak azali lagi dan apabila sampai masanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun. Malaikat Izrail ditugaskan untuk mencabut nyawa dan apabila nyawa sampai di kerongkong, segala pintu taubat telah ditutup dan segala penyesalan tidak berguna lagi.

Ketahuilah bahawa kehidupan manusia di dunia ini menentukan bagaimana pengakhirannya. Niat ikhlas kerana Allah, serta mengikut petunjuk yang ditinggal oleh Rasulullah SAW dan juga Istiqamah dalam ibadah dan amal soleh merupakan kunci utama untuk dapatkan pengakhiran yang baik, iaitu Husn al-Khatimah. Begitu juga untuk memperoleh husnul khatimah, doa amat diperlukan. Antara doa yang boleh dilazimi ialah:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمُرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umurku adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalanku sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hariku, adalah hari dimana daku berjumpa dengan-Mu kelak.”

Riwayat Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (121) dan al-Tabarani dalam al-Ausat (9411)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan bahwa saat Rasulullah SAW menghampiri ajalnya, Baginda bertanya tentang giliran antara isteri-isteri. Baginda Menghendaki giliran tersebut, giliran hari Aisyah sehingga Isteri-isteri Baginda mengizinkannya, sepertimana yang Baginda kehendaki, iaitu bermalam di rumah ‘Aisyah, sehinggalah  Rasulullah wafat di rumahnya dalam pangkuannya.

Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata:

 أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَسْأَلُ فِي مَرَضِهِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ: «أَيْنَ أَنَا غَدًا؟ أَيْنَ أَنَا غَدًا؟»، يُرِيدُ يَوْمَ عَائِشَةَ، فَأَذِنَ لَهُ أَزْوَاجُهُ يَكُونُ حَيْثُ شَاءَ، فَكَانَ فِي بَيْتِ عَائِشَةَ حَتَّى مَاتَ عِنْدَهَا. قَالَتْ عَائِشَةُ: فَمَاتَ فِي اليَوْمِ الَّذِي كَانَ يَدُورُ عَلَيَّ فِيهِ فِي بَيْتِي، فَقَبَضَهُ اللَّهُ وَإِنَّ رَأْسَهُ لَبَيْنَ نَحْرِي وَسَحْرِي، وَخَالَطَ رِيقُهُ رِيقِي.

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW sering bertanya pada saat sakit yang Baginda wafat padanya: “Di manakah aku esok? Di manakah aku esok?” Baginda maksudkan giliran hari ‘Aisyah. Isteri-isteri Baginda pun mengizinkan Baginda untuk berada di mana Baginda mahu. Maka Baginda berada di rumah ‘Aisyah sehinggalah Baginda wafat di sisinya. ‘Aisyah berkata: “Baginda wafat pada hari yang biasanya Baginda datang kepadaku di rumahku. Maka Allah mewafatkan Baginda sedangkan sesungguhnya kepala Baginda berada di antara leher dan dadaku. Dan air liur Baginda pun bercampur dengan air liurku.”

Riwayat Bukhari(5217) dan Muslim(2443)

Dapat difahami melalui hadith ini adalah  sepertimana berikut:

  • Kewajipan berlaku adil terhadap isteri-isteri walaupun dalam keadaan sakit. Tidak dibolehkan mengutamakan sebahagian dari mereka dari yang lain.
  • Apabila isteri-isteri lain memberi keizinan kepada suami untuk bermalam di rumah isteri yang lain maka yang demikian diharuskan kerana mereka telah menggugurkan hak mereka dengan kerelaan hati.
  • Keistimewaan ‘Aisyah adalah melayani Rasulullah SAW dengan mua’syarah dan khidmat yang baik serta kesempurnaan akhlak padanya. Oleh yang demikian nabi melebihkannya berbanding isteri-isteri yang lain dan menghendaki tinggal bersamanya ketika baginda sakit. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/460-461)

Telah diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa beliau mendengar RAsulullah SAW bersabda:

 فَضْلُ عائِشَةَ على النِّساءِ، كَفَضْلِ الثَّرِيدِ على سائِرِ الطَّعامِ

Maksudnya:“Kelebihan Aisyah ke atas kaum wanita seperti kelebihan al-Tharid (sejenis makanan yang diperbuat daripada daging dan roti) ke atas sekalian makanan.”

Riwayat Bukhari (3770)

Justeru kami katakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah memilih untuk tinggal bersama dengan Saidatina ‘Aisyah, isteri yang amat dikasihinya, ketika Baginda sakit hingga saat ajalnya tiba, bahkan Baginda meninggal dunia dalam pangkuan Saidatina ‘Aisyah. Keizinan untuk menetap di rumah Saidatina ‘Aisyah telah diperoleh dengan persetujuan isteri-isteri Baginda yang lain. Rasulullah SAW memilihnya kerana keperibadian dan kesempurnaan akhlaknya serta  layanan dan khidmat yang baik  kepada Rasulullah SAW.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Wallahua’lam

Leave a Reply