#4060: Uthman bin Maz‘un

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya terbaca dalam hadith bahawasanya Nabi SAW melakukan solat jenazah ke atas Uthman bin Maz‘un. Soalan saya, siapakah beliau? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Terlebih dahulu kami katakan bahawa benar, Nabi SAW telah melakukan solat jenazah ke atas Uthman bin Maz‘un. Ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada ‘Amir bin Rabi‘ah R.A bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم صَلَّى عَلَى عُثمَانَ بْنَ مَظْعُونٍ، وَأَتَى القَبْرَ، فَحَثَى عَلَيْهِ ثَلاَثَ حَثَيَاتٍ، وَهُوَ قَائِمٌ

Maksudnya: “Nabi SAW telah mendirikan solat jenazah ke atas Uthman bin Maz‘un. Lalu Baginda pergi ke kuburnya dan menaburkan tanah ke atas kuburnya sebanyak tiga kali dalam keadaan berdiri.

Riwayat al-Daraqutni (2/76)[1]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, secara ringkasnya, Uthman bin Maz‘un termasuk dalam kalangan sahabat Nabi SAW. Nama penuh beliau ialah Abu al-Sa’ib Uthman bin Maz‘un bin Habib bin Wahb bin Huzafah bin Jumah bin ‘Amr bin Husais bin Ka‘ab al-Jumahi. Beliau adalah di antara orang yang dihormati dalam kalangan Muhajirin. Begitu juga beliau termasuk dalam kalangan wali Allah yang bertakwa yang terselamat dengan kematian mereka (yakni mati dalam keadaan beriman) semasa Nabi mereka masih lagi hidup lalu Baginda mendirikan solat jenazah ke atas mereka. Bahkan Abu al-Sa’ib R.A adalah orang pertama yang dikebumikan di perkuburan Baqi‘. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/153-154).

Terdapat riwayat menceritakan bahawa Nabi SAW pernah meletakkan batu di atas kuburnya sebagai tanda. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Muttalib bin Abdullah bin Hantab R.A bahawa:

لما مات عثمانُ بنُ مَظعونٍ رضِيَ اللهُ عنه، فَدُفِنَ؛ أمر النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رجلًا أن يأتِيَهُ بِحَجَرٍ، فلم يَسْتَطِعْ حملَها، فقام النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وحَسَرَ عن ذِراعَيْهِ وحَمَلَها، فوضعها عِندَ رأسِه، وقال: أُعَلِّمُ بها قبرَ أَخِي، وأَدْفِنُ إليه من مات من أَهْلِي

Maksudnya: “Tatkala Uthman bin Maz‘un meninggal dunia dan dikebumikan, nabi SAW memerintahkan seorang lelaki untuk membawakan kepadanya seketul batu. Akan tetapi dia tidak mampu untuk membawa batu tersebut. Maka, Nabi SAW bangun dan menyinsingkan kedua lengannya (lalu pergi ke batu itu), kemudian Baginda membawa batu tersebut dan meletakkannya di sisi kepala jenazah itu (pada kuburnya). Baginda bersabda: ‘Supaya aku mengetahui dengan tanda ini akan kubur saudaraku dan mengebumikan di sisinya, mereka yang mati daripada kalangan keluargaku.’

Riwayat Abu Daud (3206) dan al-Baihaqi (6991) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Demikian juga riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:

 أنَّ رسولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أعلمَ قبرَ عُثمانَ بنِ مظعونٍ بصخرةٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menandakan kubur Uthman bin Maz‘un dengan batu.

Riwayat Ibn Majah (1561) dan lafaz hadith daripadanya; riwayat al-Tabarani dalam al-Ausat (4/169); Ia dinilai sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (1277)

Menurut Abu Umar al-Namiri, Abu al-Sa’ib memeluk agama Islam selepas 13 orang lelaki dan beliau termasuk dalam kalangan sahabat yang berhijrah sebanyak dua kali. Beliau meninggal dunia selepas peperangan Badar. Beliau juga adalah seorang abid dan mujtahid.

Diriwayatkan daripada marasil ‘Ubaidullah bin Abu Rafi‘, katanya: Orang pertama yang dikebumikan di perkuburan Baqi‘ al-Gharqad ialah Uthman bin Maz‘un, lalu Rasulullah SAW meletakkan batu di sisi kubur pada bahagian kepalanya — sebagai tanda. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/155).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Nota Kaki:

[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai hasan. Kemudian, beliau menukilkan bahawa dinyatakan di dalam al-Talkhis, ia diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Daraqutni daripada ‘Amir bin Rabi‘ah. Al-Baihaqi menyebutkan, padanya terdapat syahid (sokongan) daripada hadith Ja‘far daripada bapanya secara mursal. Begitu juga Imam al-Syafi‘i turut meriwayatkannya daripada Ibrahim bin Muhammad daripada Ja‘far. Manakala Imam Abu Daud meriwayatkannya dalam al-Marasil daripada jalur Abu al-Munzir. Abu Hatim menyebutkan, Abu al-Munzir adalah majhul. Adapun al-Hafiz pula menyebutkan, sanadnya secara zahirnya adalah sahih dan ia turut disahihkan oleh Ibn Abi Daud, al-Syaukani dan Siddiq bin Hasan Khan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/247).

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *