Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum mencela makanan yang telah dihidangkan  ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.

Riwayat Ahmad (8952), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.

Islam dikenali sebagai agama yang sempurna kerana ia membimbing manusia dalam segala aspek kehidupan, dari yang paling kecil hinggalah kepada yang terbesar. Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga digambarkan sebagai individu yang luar biasa, kerana Baginda telah menyampaikan wahyu-wahyu Allah dan ajaran agama kepada  umatnya dengan sempurna.

Rasulullah SAW telah mengajar adab-adab makan seperti membaca bismillah, menggunakan tangan kanan serta mengambil makanan yang paling hampir dalam hidangan. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin Abu Salamah, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ

Maksudnya: “Bacalah bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.”

Riwayat al-Bukhari (5376) dan Muslim (2022)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara akhlak Rasulullah SAW yang wajar dijadikan contoh adalah Baginda tidak pernah mencela makanan, Baginda apabila tidak menyukai sesuatu makanan Baginda akan meninggalkannya. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:

ما عابَ رَسولُ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ طَعامًا قَطُّ، كانَ إذا اشْتَهى شيئًا أَكَلَهُ، وإنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW tidak pernah mencela  makanan. Jika beliau berkeinginan untuk memakannya, beliau akan memakannya; dan jika beliau tidak suka, beliau akan meninggalkannya.

Riwayat Bukhari (5409) dan  Muslim(2064)

Hadith ini menunjukkan kesempurnaan akhlak Nabi SAW dengan keluarganya dan dengan orang lain dalam hal makanannya. Beliau tidak pernah mengaib dan mencela dalam makanan, sebaliknya, jika beliau berkeinginan untuk memakannya, beliau akan memakannya, dan jika tidak berkeinginan, beliau akan meninggalkannya dan tetap diam. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak berkeinginan untuk memakannya  dan hanya memakan apa yang beliau suka.

Adapun mengenai dhab Baginda menyatakan: “Aku tidak mengemarinya” ia bukanlah berkaitan dengan aib pada  makanan tersebut , tetapi lebih kepada memberi tahu tentang sifat dhab  tersebut.  (Lihat Minhah al-’Allam, 7/447)

Telah dinyatakan dalam kitab ‘Aun al-Ma’bud bahwa imam al-Nawawi menyatakan bahawa: antara  adab makan ialah tidak mencela  makanan, seperti mengatakan ia terlalu masin, masam, kurang garam, keras, lembut, atau belum masak, dan sebagainya. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 10/170)

Dalam isu ini juga Syeikh Ibn Bazz menyatakan bahawa: Daripada kesempurnaan akhlak adalah tidak mencela makanan bahkan menawarkan kepada sesiapa yang berkehendak tanpa mencelanya. [1]

Justeru, kami katakan bahawa seorang Muslim diajar untuk menjaga adab dalam setiap aspek kehidupan. Mencela makanan bukanlah tindakan yang mencerminkan nilai islam kerana ia tidak selaras dengan akhlak seorang Muslim. Rasulullah SAW sendiri, apabila tidak suka dengan sesuatu makanan, Baginda memilih untuk meninggalkannya tanpa mengeluarkan perkataan yang mengandungi celaan. Ini adalah contoh kesempurnaan dan keutamaan adab yang diajar oleh Rasulullah SAW yang sepatutnya kita teladani.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Nota kaki:

[1]Lihat:https://binbaz.org.sa/fatwas/22478/% 2 November 2023

Leave a Reply