Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukuman untuk dosa meliwat, dan adakah perbezaan antara hukuman ke atas peliwat dan orang yang diliwat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, liwat menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ditakrifkan sebagai hubungan jenis melalui dubur. Dalam erti kata lain, ia lebih khusus kepada seorang lelaki yang menyetubuhi lelaki lain melalui dubur.
Imam al-Mawardi menyebutkan, liwat adalah seorang lelaki mendatangi lelaki, dan ia merupakan sekeji-keji perbuatan haram. Allah SWT telah berfirman:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?’.”
إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ
Maksudnya: “‘Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas’.”
(Surah al-A‘raf: 80-81)
Dalam ayat ini, Allah SWT menyifatkan liwat itu sebagai perbuatan keji yang melampaui batas. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 4/50)
Liwat merupakan seburuk-buruk dosa dan perbuatan, kerana itu Allah telah menghukum pelakunya dengan cara yang tidak dihukumkan-Nya kepada mana-mana kaum. Ini menunjukkan bahawa perbuatan liwat itu adalah satu perkara yang berlawanan dengan fitrah semula jadi, kekaburan pandangan, kelemahan fikiran, dan kekurangan agama.
Allah SWT berfirman:
وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ
Maksudnya: “Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.”
(Surah al-A‘raf: 84)
Dan juga firman Allah SWT:
فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ
Maksudnya: “Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.”
مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِيَ مِنَ الظَّالِمِينَ بِبَعِيدٍ
Maksudnya: “Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.”
(Surah Hud: 82-83)
Imam al-Baghawi berkata, Allah SWT berfirman: Tatkala datang azab Kami, nescaya Kami jadikan yang di atas ke bawah. Ini kerana, Jibril memasukkan sayapnya di bawah perkampungan kaum Luth yang mengandungi lima tempat. Padanya terdapat empat ratus ribu orang. Ada pendapat menyatakan empat ribu orang. Maka diangkat kota-kota semuanya sehingga kedengaran ahli langit bunyi kokokan ayam dan salakan anjing. Dan tiada berubah ketika itu bekasan mereka dan tidak tersedar orang yang sedang tidur. Kemudian dibalikkannya sehingga yang di atas diterbalikkan ke bawah. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 4/193)
Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, Imam Ibn al-Qayyim telah memperincikan masalah ini di dalam kitab beliau al-Jawab al-Kafi. Beliau berkata, para sahabat bersepakat bahawa hukuman bagi peliwat dan orang yang diliwat adalah hukuman mati. Mereka berhujjah dengan hadith riwayat Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، فَاقْتُلُوا الفَاعِلَ وَالمَفْعُولَ بهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang kamu temui melakukan amalan kaum Nabi Lut, hendaklah dibunuh pelaku dan yang diperlaku.”
Riwayat Abu Dawud (4462), al-Tirmizi (1456), Ibn Majah (2561) dan Ahmad (2732)
Akan tetapi mereka berbeza pendapat tentang cara hukuman mati ini dijatuhkan:
- Dibakar dengan api, dan ini merupakan pandangan Abu Bakar al-Siddiq dan ‘Ali bin Abi Talib R.Anhuma.
- Dilemparkan dari tempat yang tinggi, kemudian direjam dengan batu. Ini merupakan pandangan Ibn ‘Abbas R.A.
- Direjam sahaja. Pandangan ini diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib dan Ibn ‘Abbas R.Anhuma.
Manakala fuqaha’ yang datang terkemudian pula berselisih pendapat mengenai hukuman ke atas pelaku liwat ini:
- Pelakunya dibunuh, tanpa mengambil kira sama ada dia telah berkahwin atau belum. Ini merupakan pandangan Imam Malik, Ishaq bin Rahawaih, Imam Ahmad menurut salah satu riwayat beliau yang lebih tepat, dan Imam al-Syafi‘i dalam salah satu qaul beliau.
- Hukumannya sama seperti hukuman zina. Jika pelakunya telah berkahwin, maka perlu direjam. Dan jika pelakunya belum berkahwin, maka perlu disebat 100 kali dan dibuang daerah. Ini adalah pandangan yang diambil dalam Mazhab al-Syafi‘i dan merupakan riwayat kedua dari Imam Ahmad.
- Pelakunya dijatuhkan hukuman ta‘zir yang setimpal menurut kebijaksanaan pemimpin. Dan ini merupakan pandangan Imam Abu Hanifah. (Lihat al-Jawab al-Kafi, hlm. 260-263)
Pelaku liwat ini juga bukan sahaja menerima hukuman yang berat, bahkan mereka juga tidak terlepas dari laknat Allah SWT atas perbuatan keji yang mereka lakukan itu. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith riwayat
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ، ثَلاثًا
Maksudnya: “Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali).”
Riwayat Ahmad (2816), al-Hakim (4417) dan Ibn Hibban (8052)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan, jelas bahawa hukuman bagi mereka yang melakukan perbuatan keji liwat ini berdasarkan Mazhab al-Syafi‘i adalah sama seperti hukuman hudud zina.
Semoga penerangan ini dapat memberikan kesedaran kepada kita semua untuk kembali kepada fitrah dan sunnatullah dalam melayari bahtera kehidupan. Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”
Wallahu a‘lam