Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dibenarkan untuk memberi kemaafan kepada pesalah yang sepatutnya menerima hukuman hudud?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan yang diajukan oleh saudara, kami katakan bahawa memberi kemaafan kepada pesalah yang telah dibicarakan di hadapan pemimpin untuk dijatuhkan ke atasnya hukuman hudud adalah bercanggah dengan larangan syara‘. Perkara ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW sehingga menyebabkan Baginda SAW bersumpah akan menjatuhkan hukuman hudud, meskipun pesalah itu adalah anak Baginda sendiri.

Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ قُرَيْشًا أَهَمَّتْهُمُ المَرْأَةُ المَخْزُومِيَّةُ الَّتِي سَرَقَتْ، فَقَالُوا: مَنْ يُكَلِّمُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ، وَمَنْ يَجْتَرِئُ عَلَيْهِ إِلَّا أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ، حِبُّ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ. فَكَلَّمَ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ، فَقَالَ: أَتَشْفَعُ فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ؟ ثُمَّ قَامَ فَخَطَبَ، قَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّمَا ضَلَّ مَنْ قَبْلَكُمْ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ الضَّعِيفُ فِيهِمْ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحُدُودَ، وَايْمُ اللَّهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ ﷺ، سَرَقَتْ لَقَطَعَ مُحَمَّدٌ يَدَهَا

Maksudnya: “Bahawasanya orang-orang Quraisy merasa bimbang tentang seorang wanita dari bani Makhzum (salah satu kabilah yang berpengaruh dalam kaum Quraisy) yang telah mencuri. Mereka berkata: ‘Siapakah yang mahu bercakap (untuk membantu perempuan itu) kepada Rasulullah SAW? Siapa lagi yang berani berbicara kepada Baginda selain Usamah bin Zaid yang dikasihi Rasulullah SAW?’ Lalu dia pun berbicara kepada Rasulullah SAW, maka Baginda bersabda: ‘Apakah engkau mahu memberi pembelaan dalam (meninggalkan pelaksanaan hukuman) hudud yang telah ditetapkan Allah?’ Kemudian Baginda bangun dan berucap: ‘Wahai manusia, sesungguhnya umat-umat sebelum kamu telah tersesat kerana apabila orang kenamaan mencuri mereka membiarkannya(tidak mengenakan hukuman hudud kepadanya), namun apabila orang lemah di antara mereka mencuri mereka menegakkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, jikalau Fatimah binti Muhammad sekalipun yang mencuri nescaya Muhammad akan memotong tangannya!’.”

Riwayat al-Bukhari (6788) dan Muslim (1688)

Al-‘Allamah Ibn Daqiq al-‘Aid ketika mensyarahkan hadith di atas berkata, ini merupakan bukti bahawa memberi syafaat bagi hukuman hudud selepas ianya telah dibicarakan di hadapan pemerintah adalah dilarang. Dan hadith ini juga menceritakan tentang isu pilih kasih terhadap golongan ternama dalam perkara yang terkait dengan hah-hak Allah SWT. (Lihat Ihkam al-Ahkam, 2/631)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, difahami dari hadith ini bahawa dibolehkan untuk memberi syafaat (pengampunan dari dijatuhkan hukum) pada hukuman ta‘zir, sepertimana yang dinukilkan persepakatan daripada Ibn ‘Abd al-Bar dan selainnya. Dan terdapat banyak hadith-hadith yang warid tentang sunat ke atas orang Islam untuk menyembunyikan dosa mereka selagimana tidak disampaikan kepada perbicaraan pemimpin. (Lihat Fath al-Bari, 12/88)

Kerana itulah syara‘ memerintahkan untuk kita umat Islam tidak menceritakan kesalahan yang dilakukan kepada orang lain, sebaliknya menyembunyikannya dan segera bertaubat kepada Allah SWT. Sekiranya sesuatu jenayah itu telah diceritakan kepada pemimpin dan dijatuhkan hukuman ke atas pesalah, maka tidak boleh untuk diberikan keampunan sebagai bantuan atau syafaat kepada pesalah.

Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا هَذِهِ القَاذُورَاتِ الَّتِي نَهَى اللهُ عَنْهَا، فَمَنْ أَلَمَّ بِهَا، فَلْيَسْتَتِرْ بسِتْرِ اللهِ، وَلْيَتُبْ إِلَى اللهِ؛ فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنا صَفْحَتَهُ، نُقِمْ عَلَيْهِ كتَابَ اللهَ تَعَالَى

Maksudnya: “Elakkan perkara-perkara keji yang Allah larang ini, dan barangsiapa yang melakukannya maka hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan Allah dan bertaubatlah kepada Allah. Bagi mereka yang membongkar kepada kami mengenai dosanya, kami akan melaksanakan (menghukumnya) dengan Kitab Allah ke atasnya”

Riwayat al-Hakim (7615) dan al-Baihaqi (18056)

Diriwayatkan juga daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

أَقِيلُوا ذَوِي الْهَيْئَاتِ عَثَراتِهِمْ إِلَّا الْحُدُودَ

Maksudnya: “Maafkanlah kesalahan orang-orang yang terpuji akhlaknya, kecuali dalam masalah hudud.”

Riwayat Abu Dawud (4375) dan Ahmad (25474)

Dalam hadith sahih daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا المُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ المُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ، فَيَقُولَ: يَا فُلاَنُ، عَمِلْتُ البَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ، وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya: “Setiap umatku dimaafkan kecuali mereka yang menyatakan secara terang-terangan (dosa-dosa yang dilakukannya). Sesungguhnya mereka yang termasuk dalam menyatakan secara terang (dosa-dosa yang dilakukannya) adalah seseorang mengerjakan suatu perbuatan di malam hari, kemudian di pagi harinya (dia menyebarnya), sedangkan Allah telah menutupi (dosa-dosanya), maka dia berkata: ‘Wahai fulan, semalam aku mengerjakan ini dan ini,’ padahal dia menghadapi malam itu dan Allah telah menutupinya, tetapi pada pagi hari, dia membuka apa yang telah ditutup Allah tentangnya.”

Riwayat al-Bukhari (6069) dan Muslim (2990)

Terdapat juga sebuah hadith yang menyifatkan mereka yang memberi kemaafan kepada pesalah yang sepatutnya menerima hukuman hudud ini sebagai penentang hukum Allah SWT. Diriwayatkan daripada ‘Abdulla bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَالَتْ شَفَاعَتُهُ دُونَ حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللهِ، فَقَدْ ضَادَّ اللهَ فِي أَمْرِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bantuannya (kemaafan) menghalang dari tertegaknya hukum Allah, sesungguhnya dia telah melawan perintah Allah.”

Riwayat Abu Dawud (3597) dan Ahmad (5385)

Kesimpulan

Natijah dari perbahasan ini, seseorang yang telah dijatuhkan ke atasnya hukuman hudud berlandaskan ketetapan syara‘ tidak boleh diberikan keampunan. Dalam erti kata lain, dia tidak boleh ditarik semula hukum yang telah dijatuhkan ke atasnya, kecuali pada kesalahan lain yang tidak ditetapkan padanya hukuman hudud, seperti hukuman ta‘zir, maka ia boleh ditarik semula dan dimaafkan pesalah itu jika padanya terdapat maslahah.

Semoga, kita beroleh manfaat dari perbincangan ini, seterusnya dapat beramal berlandaskan tuntutan syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply