Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah jatuh talak pemabuk yang melakukan maksiat tersebut dengan pilihannya sendiri ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa, talak bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi boleh difahami seperti berikut:

  • Mengangkat ikatan perkahwinan.
  • Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
  • Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. (Lihat Dur al-Mukhtar,hlm.3/226, al-Mughni, 16/192 dan Mughni al-Muhtaj,3/279) .

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya :” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Sheikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Talak merupakan jalan terakhir yang digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun, sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal, namun perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)

Diriwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

Riwayat Abu Daud (2178)

Al-Son’ani pula menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa sebaiknya, jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak ini selagimana terdapat padanya keluasan, iaitu ruang-ruang untuk tidak menceraikan. (Lihat Subul al-Salam, 2/248)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa jika seorang yang dalam keadaan mabuk mengucapkan lafaz cerai kepada isterinya, pandangan kami adalah jatuhnya talak ke atasnya. Hal ini disebabkan balasan dan ancaman  atas perbuatan maksiat yang telah dilakukannya. Namun, jika dia berada dalam keadaan mabuk bukan atas pilihan sendiri atau kerana dipaksa, maka talak tersebut  jika dia mengucapkannya. Hal ini disebabkan pada saat itu dia berada dalam keadaan ighlaq (tettutp) dan tidak menyadari apa yang dia ucapkan. Pandangan ini merupakan pandangan ulama dari mazhab Hanafi, Syafi’i, dan Hanbali.

Telah dinyatakan dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram bahawa: Ulama dari empat mazhab yang utama telah bersepakat bahawa talak orang yang mabuk yang berdosa disebabkan maksiat tersebut  adalah jatuh dan diambik kira semua perbuatan dan kata-katanya(Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/480)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya al-Muʿtamad fi al-Fiqh al-Syafi’i (4/163-166), talak yang dilafazkan secara sarih (jelas, seperti cerai dan talak) dan ditujukan kepada isteri, oleh suami, adalah jatuh meskipun dilafazkan tanpa niat. Pengecualian diletakkan pada enam keadaan:

  • Orang yang tidur
  • Orang yang gila
  • Orang yang sabq al-lisan (terlepas cakap).
  • Orang yang menyeru; yakni jika seseorang itu memiliki isteri yang bernama “Taliq” yang bermaksud orang yang diceraikan.
  • Penggunaan lafaz yang tidak difahami
  • Dipaksa dan mabuk bukan kerana maksiat (Lihat al-Muʿtamad fi al-Fiqh al-Syafi’i (4/163-166)

Dapat difahami daripada penguacalian yang dinyatakan di atas adalah orang yang mabuk kerana maksiat yang dilakukan tersebut adalah jatuh talak sekiranya dia melafazkannya.

Begitu juga telah dinyatakan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa: jika dia mabuk kerana minum arak dengan pilihannya sendiri  hingga dia mabuk dan hilangan akal, maka talaknya jatuh menurut pandangan umum ulama mazhab Hanafi. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/158)

Justeru, kami ingin menegaskan bahawa talak yang dilafazkan oleh seseorang yang dalam keadaan mabuk adalah sah, dan ia akan dikira jika perbuatan maksiat tersebut dilakukan atas kehendaknya sendiri. Namun sekiranya bukan dari kehendak dan pilihannya seperti dipaksa meminum arak sehingga menyebabkan mabuk dan hilang akal maka tidak jatuh talak sekiranya dia melafazkannya kerana pada situasi itu dia berada dalam keadaan yang tidak sedar.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam

Leave a Reply