Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah dibolehkan mendidik isteri yang derhaka dengan merotannya seperti hamba ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا ‎﴿٣٤﴾‏ وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا ‎

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.”

(Surah al-Nisa’: 34-35)

Imam Ibn Kathir menyatakan, nusyuz (النُّشُوزُ) itu bererti meninggi diri, dan wanita yang nusyuz itu adalah yang meninggi diri terhadap suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhi dan membencinya.

Jika tanda-tanda nusyuz ini muncul, maka nasihatilah si isteri dan takutkanlah dia dengan hukuman Allah SWT atas kemaksiatannya. Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan hak-hak suami ke atas isteri, serta ketaatan kepadanya, dan Allah SWT mengharamkan berbuat derhaka kepada suami kerana apa yang Allah SWT telah anugerahkan kepadanya berupa keutamaan dan kemuliaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/257)

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat pula, nusyuz bermaksud  keingkaran isteri mentaati perintah suami, selagi mana perintah tersebut diharuskan Allah SWT.

Suami merupakan seorang ketua dalam sesebuah institusi rumahtangga. Ini jelas berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).”

Riwayat Muslim (1829)

Imam al-Nawawi mengatakan, pemimpin adalah seorang penjaga yang telah diamanahkan dan beriltizam dalam memperbaiki setiap perkara yang dilakukan terutama orang yang berada dibawah penjagaannya. Jika terdapat kekurangan terhadap orang berada di bawah jagaannya, maka dia dipertanggungjawabkan untuk mengadilinya (jika berlaku kezaliman) serta menguruskan keperluan yang diperlukannya (orang yang berada di bawah) sama ada perkara itu melibatkan agama, dunia atau mana-mana perkara yang berkaitannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/213)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakakn di sini jika munculnya tanda-tanda nusyuz dari isteri seperti menderhaka dan tidak mentaati suami, maka suami dibenarkan untuk mendidik dan mendisiplinkan isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syara’ seperti menasihati, memulau dan memukul atau merotan yang tidak menyakitkan.

Telah dinyatakan dalam Mausu’ah al Fiqhiyyah bahawa  cara mendidik isteri adalah dengan tiga cara iaitu:

  • Menasihati
  • Memulau
  • Pukulan yang tidak menyakiti (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 10/23-24)

Namun hendaklah diingatkan dalam merotan dan memukul isteri dengan tujuan untuk mendidiknya tidak dibolehkan memukulnya seperti memukul hamba. Ini kerana bagi menjaga  kemuliaan dan martabat serta meruahnya sebagai seorang isteri. Hal yang demikian boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Zam’ah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَجْلِدُ أحَدُكُمُ امْرَأَتَهُ جَلْدَ العَبْدِ

Maksudnya: Janganlah seorang pun daripada kalian menyebat isterinya sebagaimana sebatan kepada hamba

Riwayat Bukhari (5204)

Dapat difahami melalui hadith ini adalah Allah SWT telah memuliakan wanita dan Allah menetapkan hak padanya sepertimana ditetapkan hak pada lelaki seperti melayani pasangan dengan cara yang ma’ruf. Yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:

 وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya:  Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)

( Surah al-Baqarah:228)

Mendidik isteri dengan cara  merotan hendaklah  memukulnya dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan tidak kuat, serta menjauhi  wajahnya sebagai tanda hormat, dan juga menghindari tempat-tempat yang boleh  menyebabkan kecederaan, seperti perut. Hendaklah pukulan yang diberikan itu  tidak melebihi sepuluh kali pukulan ringan. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/465)

Diriwayatkan oleh Abu Burdah bahwa Rasulullah SAW bersabda:

لا تَجْلِدُوا فَوْقَ عَشَرَةِ أَسْواطٍ إِلّا في حَدٍّ مِن حُدُودِ اللَّهِ

Maksudnya: Janganlah kamu semua menyebat lebih daripada sepuluh sebatan melainkan dengan batasan yang telah ditetapkan oleh Allah (hukuman hudud).”

Riwayat Bukhari (6850)

Justeru kami katakan dalam usaha mendidik isteri, adalah penting untuk diingat bahawa tidak dibenarkan menggunakan pukulan yang menyakitkan, sebagaimana yang digunakan terhadap hamba. Hal ini dilakukan untuk menjaga maruah dan kehormatan seorang isteri, sejalan dengan penghormatan yang Allah SWT berikan kepada wanita. Oleh itu, kami juga mengesyorkan agar menggunakan pendekatan yang sesuai dalam mendidik isteri, seperti memberikan teguran dan nasihat terlebih dahulu sebelum mencuba pendekatan yang lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam

Leave a Reply