Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah mendatangi isteri dari arah belakang boleh menyebabkan anak menjadi juling  ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya : Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.

( Surah al-Baqarah ayat 187)

Ibn Abbas menyatakan  bahawa maksud  yang dikehendaki dari ayat di atas adalah “mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka”. Manakala dalam Tafsir al-Tabari menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu, iaitu “bersetubuh”. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 3/490)

Diriwayatkan daripada  Abdullah Ibn Amru bahwa nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ لِرَبَّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِبَدَنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِزَوْرِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقٌّ

Maksudnya : “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk badan kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak, dan untuk isteri kamu terdapatnya hak dan berikanlah setiap yang hak itu haknya.

 Riwayat al-Bukhari ( 6139)

Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa: ” Dalam bab ini disebutkan hak isteri terhadap suami. Seorang suami seharusnya  tidak menumpukan  dirinya dalam ibadah semata-mata hingga dia mengabaikan hak keluarganya dari memberikan  nafkah batin  dan nafkah-nafkah yang sepatutnya diberikan kepadanya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 7/320).

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sebagai seorang muslim hendaklah menjaga adab ketika bersama dengan isteri sebagaimana yang telah digariskan oleh syara’.

Dalam isu ini kenyataan yang menyatakan bahawa “sesiapa yang mendatangi isteri dari arah belakang akan menyebabkan anak menjadi juling” adalah tidak benar kerana ia merupakan rekaan cerita dan pendustaan yang dilakukan oleh kaum Yahudi. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah R.Anhuma bahawa beliau berkata:

 إذا أَتى الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ مِن دُبُرِها في قُبُلِها، كانَ الوَلَدُ أَحْوَلَ، فَنَزَلَتْ: ﴿نِساؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنّى شِئْتُمْ﴾ [البقرة: ٢٢٣]

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi pernah berkata apabila seorang lelaki berhubungan seks dengan istrinya melalui vagina, tetapi dengan posisi belakang, anak tersebut akan mengalami silau mata,” maka datanglah ayat tersebut.”

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

(Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.”) [Surah al-Baqarah:223].

Riwayat Bukhari(4528) dan Muslim (1435)

Dapat difahami melalui hadith ini adalah sepertimamana berikut:

  • Orang Yahudi dulu membatasi cara hubungan seksual tanpa dasar pengetahuan, sementara orang Aus dan Khazraj mengambil petunjuk dan pengetahuan dari mereka, kerana mereka adalah Ahli Kitab. Salah satu rekaan cerita dan pendustaan orang Yahudi adalah mengatakan: ‘Apabila seorang lelaki istrinya melalui vagina, tetapi dengan posisi belakang, anak yang dihasilkan dari hubungan itu akan menjadi cacat(juling).
  • Dalam hal ini terdapat bukti terhadap tuduhan palsu orang-orang Yahudi, kebohongan mereka yang mahupun yang baru, serta pemalsuan mereka terhadap kitab-kitab Allah SWT, dan pengubahan mereka terhadap perkataan-Nya. Firman Allah SWT:

يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ

Maksudnya: orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar,

(Surah al-Nisa:46)

  • Hadith ini menerangkan kebohongan orang-orang Yahudi, membatalkan kepercayaan mereka dengan menyatakan bahawa seorang lelaki boleh berhubungan seks dengan istrinya dalam pelbagai posisi dan cara, sama ada dari hadapan atau dari belakang, berdiri atau duduk, selagi itu berlaku dalam batas-batas yang dihalalkan, dan ia tidak mempengaruhi bentuk, wajah, atau jenis anak yang dihasilkan. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/365)

Justeru, melalui hadith di atas jelaslah kepada kita bahawa mengauli isteri dari arah belakang tidaklah menyebabkan anak itu menjadi juling atau menyebabkan perubahan pada bentuk badan  anak dari hasil hubungan tersebut. Yang demikian hanyalah rekaan dan cerita palsu yang direka oleh kaum yahudi. Suami boleh menggauli isteri sebagaimana yang dia mahu selagimana mengikut batas-batas syara; yang telah ditetapkan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahua’lam

Leave a Reply