Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya pernah melihat satu video mencari makanan, dan ada satu video ada sebut tentang sejenis ketam yang didapati di Sabah, yang dipanggil sebagai ketam kelapa. Soalannya, bolehkah atau halalkah ketam itu dimakan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan mengemukakan atau menerangkan secara ringkas berkenaan ketam kelapa tersebut. Sebelum itu, kita hendaklah mengetahui bahawa sebahagian ulama silam menamakan ketam di dalam kitab-kitab mereka sebagai kala jengking air (عَقْرَبَ الْمَاءِ) dan ketam itu juga diberi gelaran sebagai Bapa Laut (أَبُو بَحْرٍ). (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/378; Mughni al-Muhtaj, 6/146).

Ketam kelapa (Birgus latro) adalah spesies umang-umang, yang juga dikenali sebagai ketam perompak atau pencuri sawit. Ketam ini adalah artropoda darat terbesar yang hidup di dunia. Beratnya sahaja boleh mencecah sehingga 4.1 kg (9.0 lb). Begitu juga, ia boleh membesar sehingga 1 m (3 kaki 3 inci). Ia ditemui di kepulauan di Lautan Hindi, dan sebahagian dari Lautan Pasifik Timur iaitu di Kepulauan Gambier dan Kepulauan Pitcairn.[1]

Ketam kelapa juga adalah merupakan hidupan yang unik kerana apabila ia naik ke daratan, ia tidak akan kembali ke dalam air kecuali ketam kelapa betina yang akan melepaskan telur-telurnya bagi proses penetasan. Ketam ini dikenali sebagai ketam kelapa kerana ia mempunyai keupayaan untuk memanjat pokok kelapa menggunakan sepitnya. Kemudian, ia juga berupaya untuk menjatuhkan buah kelapa serta mengupasnya bagi mendapat isi kelapa tersebut. Mempunyai sepuluh kaki termasuk dua sepit besar yang digunakan sebagai alat untuk mencari makanan dan juga senjata bagi mempertahankan dirinya. Selain itu, dua kakinya yang paling kecil digunakan untuk membersihkan organ pernafasannya. Bernafas di dalam air menggunakan organ khusus yang disebut paru-paru branchiostegal dan organ pernafasan tambahan iaitu insang rudimental. Ketam kelapa jantan umumnya lebih besar berbanding ketam kelapa betina dan ia boleh hidup antara 30 hingga 60 tahun. Warna ketam kelapa bergantung kepada habitatnya.[2]

Keduanya, pada asasnya, haiwan air ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan berada di dalamnya. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama — untuk berada di atas darat. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150).

Haiwan air kesemuanya adalah halal untuk dimakan tanpa perlu kepada sembelihan melainkan terdapat nas yang menyatakan sebaliknya atau memudaratkan. Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69); al-Nasa’i (59)

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566).

Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain. (Lihat al-Umm, 2/230; 2/199).

Ketiganya, Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa sebahagian ulama berpendapat ketam halal dimakan kerana ia tidak dapat hidup lama di atas darat, akan tetapi yang sahihnya (menurut mazhab Syafi‘i) ia adalah haram untuk dimakan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/378). Selain itu, di antara sebab ia diharamkan untuk dimakan kerana ia dianggap kotor dan jijik serta padanya ada mudarat (racun). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/146; Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 4/326; Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/28).

Selain itu, Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa terdapat satu pendapat yang lemah yang menghalalkan katak dan ketam. Begitu juga, al-Baghawi telah menukilkan daripada al-Halimi mengenai kehalalan ketam. Kemudian, Imam al-Nawawi telah menyimpulkan dengan menyatakan bahawa pendapat yang sahih lagi muktamad ialah semua haiwan di laut, bangkainya adalah halal (yakni untuk dimakan) kecuali katak. Lalu dapat difahami apa yang disebutkan oleh ulama-ulama mazhab Syafi‘i atau sebahagian daripada mereka mengenai keharaman penyu, ular dan nasnas adalah yang berada di dalam air selain air laut. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33). Dalam erti kata lain, adanya kebarangkalian bahawa terdapat faktor lain yang mendorong kepada pengharaman tersebut seperti nas yang melarang, memberi mudarat kepada pemakannya atau lain-lain.

Hal ini dapat difahami dengan lebih jelas melalui kenyataan daripada Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap haiwan yang jijik. Selain itu juga diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548-549).

Sebahagian ulama yang menghalalkan ketam seperti mazhab Maliki menyebutkan bahawa diharuskan untuk memakan katak, serangga, ketam dan penyu kerana tidak ada nas yang mengharamkannya daripada dimakan. Adapun mengharamkannya kerana ia dianggap haiwan yang jijik dan kotor mestilah dengan apa yang telah dinaskan oleh syarak. Oleh itu, tidak boleh mengharamkan haiwan itu semata-mata ia dianggap jijik dan kotor oleh jiwa, yang mana tidak ada nas mengenai hal tersebut. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/28). Mazhab Hanbali pula berpendapat setiap haiwan yang hidup di darat yang mana berasal daripada hidupan laut, tidak halal dimakan melainkan setelah disembelih seperti burung air, penyu, anjing laut, melainkan hidupan yang tidak mempunyai darah merah seperti ketam sebagaimana pendapat Imam Ahmad. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2799-2800).

Oleh itu, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa ketam termasuk haiwan yang halal dimakan selagi mana tiada nas yang jelas mengharamkannya dan tidak memudaratkan kepada pemakannya. Tambahan lagi, apabila kita meneliti pendapat sebahagian ulama yang mengharamkannya, ia diharamkan kerana dua sebab, iaitu kerana memudaratkan (beracun) dan dianggap jijik. Justeru, jika dua sebab ini tiada, maka hukumnya kembali kepada hukum asal iaitu harus. Hal ini adalah sebagaimana kaedah menyebutkan:

إِذَا زَالَتِ العِلَّة زَالَ الحُكُم

Maksudnya: “Apabila hilang ‘illahnya (sebabnya), maka tiadalah hukum tersebut”

Lebih-lebih lagi, perkara ini dikuatkan lagi dengan satu pendapat Ibn Qasim yang menyatakan telah berlaku Umum al-Balwa[3] bahawa danilas (sejenis siput) dimakan di Mesir dan ketam dimakan di Syam. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/147).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami cenderung kepada pendapat bahawa ketam kelapa adalah termasuk dalam jenis haiwan yang diharuskan dan halal untuk dimakan seperti mana ketam-ketam yang lain. Ini kerana tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya selagi mana tidak ada dalil lain yang menunjukkan hukum sebaliknya seperti beracun, memudaratkan pemakannya atau seumpamanya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Tambahan lagi, ketam di negara kita, Malaysia merupakan haiwan laut yang dimakan oleh masyarakat tempatan dan tidak dianggap sebagai jijik. Demikianlah juga uruf dan adat setempat turut menunjukkan bahawa ketam kelapa ini dimakan dan dijual di pasar-pasar.[4]

Alhamdulillah, mutakhir ini, isu makan ketam bukanlah menjadi pelik, ganjil atau asing, tetapi ia sudah menjadi perkara yang umum oleh kebanyakan manusia. Menariknya, walaupun kita berada di bumi Malaysia tetapi zaman kini, kita juga dapat merasa ketam yang berhampiran dengan lautan Artik dan Antartika. Sebagai contoh, ketam Alaska. Justeru, isu seperti ini sudah diterima pakai oleh kebanyakan masyarakat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”

Surah al-Saffat (100)

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Coconut_crab. Diakses pada 7 November 2023.

[2] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=bqZnLyo1Ztg Diakses pada 7 November 2023..

[3] sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku.

[4] Lihat youtube bertajuk: Jumpa Ketam Kelapa Kat Sabah! pada minit 1:48 hingga 2:00, bertarikh 26 Oktober 2017. https://www.youtube.com/watch?v=CvSJ8DBLahs&feature=youtu.be. Diakses pada 7 November 2023.

Leave a Reply