Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah sebenarnya hukum bagi menziarahi kubur bagi lelaki dan perempuan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, menziarahi kubur hukumnya adalah sunat kerana ia membawa kepada keinsafan dan mengingatkan hari akhirat. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ
Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”
Riwayat Ibn Majah (307) dan Ibn Hibban (981)[1]
Selain itu, di sana juga terdapat riwayat yang melarang para wanita daripada menziarahi kubur. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم زَوَّارَاتِ الْقُبُورِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat wanita yang banyak menziarahi kubur.”
Riwayat Ibn Majah (1291)
Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan ketika menjelaskan lafaz “لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ” menyebutkan, “laknat” di sini bermaksud jauh daripada rahmat Allah SWT. Justeru, maknanya adalah doa Baginda ke atas mereka dengan laknat. (Lihat Minhah al-‘Allam, 4/361).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam telah menyatakan bahawa para ulama telah berijma‘ (bersepakat) mengenai anjuran atau galakan (sunat) untuk menziarahi kubur bagi golongan lelaki dan mereka berselisih pendapat mengenai hal tersebut bagi golongan wanita kepada beberapa pendapat.
Pendapat pertama, ulama Hanafiyyah berpendapat bahawa dianjurkan (sunat) bagi golongan wanita untuk menziarahi kubur sebagaimana golongan lelaki. Mereka berhujah berdasarkan kepada keumuman perintah untuk menziarahi kubur tanpa adanya pengkhususan (pengecualian). Pada asalnya, perintah adalah bersifat umum kepada semua selagi mana tidak ada sesuatu yang mengkhususkannya.
Pendapat kedua, jumhur ulama termasuklah dalam kalangan mereka para imam yang tiga berpendapat, makruh bagi wanita untuk menziarahi kubur. Hal ini kerana perintah untuk ziarah itu dikhususkan kepada lelaki dan bukannya wanita kerana dhamirnya (kata ganti diri) adalah untuk lelaki dan wanita tidak termasuk di dalam dhamir tersebut.
Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (938) daripada riwayat Ummu ‘Atiyyah, katanya:
نُهِيْنَا عَن زيارة القبور، وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا
Maksudnya: “Kami dilarang daripada menziarahi kubur, tetapi larangan ini tidak wajib kepada kami.”[2]
Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi (1056):
لعنَ الله زائرات القبور
Maksudnya: “Allah melaknat para wanita yang menziarahi kubur.”
Lebih-lebih lagi, wanita mempunyai sifat lembut yang boleh membuat mereka lebih mudah terdedah kepada kesedihan, kesusahan, dan tangisan. Kadangkala, mereka mungkin melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kesabaran yang sepatutnya dijaga.
Pendapat ketiga, dengan melihat kepada nas-nas dan pertimbangannya, sebahagian ulama berpendapat haram wbagi wanita untuk menziarahi kubur dan bukannya sekadar makruh. Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Ikhtiyarat, zahir perkataan Abu al-‘Abbas mentarjihkan pendapat yang mengharamkannya disebabkan oleh laknat Nabi SAW terhadap para wanita yang menziarahi kubur. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/259-260).
Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan menambah, di antara hujah mereka yang berpendapat haram bagi wanita untuk menziarahi kubur adalah kerana hadith-hadith yang melarang mereka melakukannya adalah sangat jelas maknanya. Bahkan dinyatakan Nabi SAW melaknat wanita yang menziarahi kubur. Inilah petunjuk yang paling jelas yang menunjukkan kepada pengharamannya. Begitu juga kerana perkataan “laknat” tidak digunakan melainkan ke atas dosa besar. Di samping itu, hadith-hadith yang menunjukkan kepada keharusan wanita menziarahi kubur tidaklah sejelas hadith yang melarang mereka daripada melakukannya.
Begitu juga kerana menutup pintu yang membawa kepada kemudaratan (Sadd al-Zarai‘) dan menolak kemudaratan (Dar’u al-Mafasid) didahulukan berbanding mendapatkan maslahah (Jalbu al-Masalih). Apabila tujuan ziarah adalah untuk mengingati hari akhirat dan berdoa kepada si mati adalah perkara yang mungkin terjadi kepada wanita, sedangkan sudah pasti akan adanya kesedihan, kurangnya kesabaran dan tindakan-tindakan ekspresif seperti mengoyak pakaian dan memukul muka, dan sebagainya. Begitu juga berdoa buat si mati boleh juga terhasil di rumah sebagaimana Ibn Taimiyyah pernah menyebutkan, mengingati hari akhirat boleh dicapai melalui cara lain seperti melalui peringatan, mengingati mati dan sebagainya. Oleh itu, kemudaratan yang boleh berlaku kepada wanita yang menziarahi kubur adalah lebih besar berbanding sedikit manfaat atau maslahah yang terhasil daripadanya. Syariat melarang perbuatan tersebut, apabila kemudaratannya lebih kuat berbanding maslahahnya. (Lihat Minhah al-‘Allam, 4/363).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami menyimpulkan jawapan kami sebagaimana berikut:
- Jelaslah bahawa menziarahi kubur adalah dianjurkan buat golongan lelaki tanpa sebarang khilaf dalam kalangan ulama.
- Manakala bagi golongan wanita pula, terdapat perselisihan ulama mengenainya. Kami berpendapat bahawa para wanita juga dibolehkan untuk menziarahi kubur tetapi makruh hukumnya. Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama.
Ziarah kubur bagi wanita dianggap makruh kerana jiwa wanita yang lembut akan menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh dan seterusnya akan membawa kepada ratapan dan tangisan. Menurut ulama mazhab Maliki, larangan (makruh) ini hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada ‘keinginan’, maka hukumnya sama seperti lelaki. Ulama mazhab Syafi’i menyatakan bahawa sunat memperbanyakkan ziarah kubur terutamanya menziarahi kubur orang soleh dan baik, dan hendaklah berdiri di hadapan kubur seumpama berdiri di hadapan orang yang hidup. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/541-542).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”
Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)
Nota kaki:
[1] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanadnya adalah dha’if dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (981).
[2] Dalam riwayat Muslim datang dengan lafaz:
نُهِينَا عَنِ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ, وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا
Maksudnya: “Kami dilarang daripada mengikuti jenazah, tetapi larangan ini tidak wajib kepada kami.”
Maka, ziarah termasuk dalam jenis mengikuti jenazah. Justeru, hukumnya adalah makruh dan bukannya haram. (Lihat Minhah al-‘Allam, 4/363).