Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum bacaan amin selepas surah al-Fatihah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/152) dinyatakan: “Mengucapkan Amin ketika selesai bacaan fatihah selepas firman Allah SWT (ولاَ الضَّآلِينَ), diikuti dengan perkataan Amin yang bermaksud: Wahai Tuhan, perkenankanlah. Setiap orang yang bersolat sunat mengucapkan Amin dengan nyaring pada semua solat yang dinyaringkan bacaan dan dengan perlahan pada solat yang diperlahankan bacaan, manakala makmum pula menyaringkannya mengikut imam. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ، فَأَمِّنُوا، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ المَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Apabila imam mengucapkan Amin, maka kamu juga ucapkanlah Amin kerana sesungguhnya sesiapa yang Aminnya bertepatan dengan Amin para malaikat, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.”

Riwayat al-Bukhari (780) dan Muslim (410)

Di dalam hadith lain, juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَالَ أَحَدُكُمْ: آمِينَ، وَقَالَتِ المَلاَئِكَةُ فِي السَّمَاءِ: آمِينَ، فَوَافَقَتْ إِحْدَاهُمَا الأُخْرَى غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Apabila seseorang di kalangan kamu mengucapkan Amin. Dan para malaikat di langit juga mengucapkan Amin. Jika bertepatan kedua-duanya, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.”

Riwayat al-Bukhari (781) dan Muslim (410)

Para ulama telah berbeza pendapat mengenai makna lafaz “Amin” tersebut. Namun, majoriti para ulama sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa maknanya ialah (اللَّهُمَّ اسْتَجِبْ لَنَا) iaitu “Ya Allah, perkenankanlah buat kami”. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/145; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 240)

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa disunatkan bagi imam untuk diam seketika (dalam tempoh yang sangat sekejap), antara bacaan al-Fatihah dan bacaan “Amin”, supaya orang ramai tidak menganggap bahawa lafaz “Amin” itu sebahagian daripada surah al-Fatihah. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 93)

Manakala Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff pula mengatakan bahawa disunatkan bagi orang bersolat untuk diam antara bacaan al-Fatihah dan lafaz “Amin” dengan kadar tempoh bacaan “Subhanallah”.  (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 238)

Ibn Kathir menyatakan: “Disunatkan bagi sesiapa yang membaca surah al-Fatihah untuk menyebut selepasnya (selesai membacanya) : “Amin”… Ashab kami (ulama mazhab Syafi’i) dan selain mereka berkata bahawa disunatkan juga perkara tersebut bagi sesiapa (yang membacanya) di luar solat, dan pada hak orang bersolat itu lebih-lebih lagi (disunatkan), sama ada dia solat bersendirian atau dia adalah imam atau dia adalah makmum. Dan juga pada semua keadaan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/144-145)

Begitu juga, Imam al-Nawawi turut menyebutkan bahawa dsunatkan bagi setiap Qari sama ada di dalam solat atau selainnya (luar solat), sekiranya selesai membaca surah al-Fatihah hendaklah menyebut Amin yakni semoga Allah perkenankan” (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 93)

Dalam riwayat lain, diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

“كَانَ رَسُولُ الله إِذَا فَرَغَ مِنْ قِرَاءَةِ أُمِّ القُرْآنِ رَفَعَ صَوْتَهُ، وَقَالَ: آمِينَ”

Maksudnya: Rasulullah SAW apabila selesai membaca Umm al-Quran (surah al-Fatihah) beliau mengangkat suaranya dan mengucapkan amin.

Riwayat al-Daraqutni (1/335) dan al-Hakim (1/223), Ibn Khuzaimah (571), Ibn Hibban (1806). Ibn al-Qayyim dalam I’lam al-Muwaqqi’in (2/290) menyatakan sanadnya sahih.

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Para ulama telah bersepakat bahawa mengucapkan “Amin” setelah “(ولاَ الضَّآلِينَ)” untuk imam, makmum, individu yang solat sendirian, dan jamaah semuanya adalah mustahab, dan bukannya wajib. Namun, terdapat perbezaan pendapat dalam perkara sama ada ‘amin’ tersebut diucapkan secara jahr atau secara sirr:

  • Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki memilih untuk melakukan ta’min secara sirr dalam semua solat, termasuk solat jahr.
  • Mazhab al-Syafi’i dan Mazhab Hanbali memilih untuk melakukan ta’min secara jahr dalam solat jahr (solat berjamaah) dan secara sirr dalam solat individu. Mereka juga memandang sebagai mustahab untuk menyamakan ta’min makmum dengan ta’min imam, berdasarkan hadith: “Apabila imam mengucapkan (ولاَ الضَّآلِينَ), maka ucapkanlah ‘Amin’.” Ini bertujuan untuk menjadikan ta’min imam dan makmum bersama-sama.

Solat jahr termasuk solat Maghrib, solat Isyak, solat Subuh, solat Jumaat, solat Hari Raya, solat istisqa’ (memohon hujan), solat kusuf (ketika gerhana matahari), solat tarawih, dan solat witr. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/201)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa disunatkan untuk menyebut lafaz “Amin” selepas selesai membaca surah al-Fatihah tidak kira sama ada di dalam solat mahupun di luar solat. Mudah-mudahan kita mendapat fadhilat dan kelebihannya sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis-hadis yang sahih.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam mengamalkan kehidupan beragama. Ameen.

 

Leave a Reply