Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, adakah seseorang pencuri itu masih dihukum potong tangan meskipun mangsa kecurian itu tidak menuntut sejak dari awal hartanya dicuri?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Ma’idah: 38)

Abu Bakar al-Jazairi ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyatakan, sesiapa yang mencuri harta lebih daripada seperempat dinar atau lebih daripada itu dari harta simpanan yang disimpan, dan dia adalah seorang yang baligh dan berakal, maka dia akan dihadapkan kepada hakim. Yang demikian juga bagi pencuri wanita, maka hukumnya adalah dipotong tangan kanan pencuri itu dari pergelangan tangan, begitu juga dengan tangan pencuri wanita. Hukuman tersebut sebagai balasan atas kezaliman yang telah dilakukan kerana mencuri harta orang lain secara haram. Ini merupakan pembalasan dari Allah SWT bagi mereka dan menjadikan mereka sebagai iktibar agar orang lain tidak mencuri harta orang lain melalui jalan pencurian yang diharamkan. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/629)

Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah R.A, sabda Baginda SAW:

إِذَا سَرَقَ السَّارِقُ فَاقْطَعُوا يَدَهُ، وَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا رِجْلَهُ، فَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا يَدَهُ، فَإِنْ عَادَ فَاقْطَعُوا رِجْلَهُ

Maksudnya: “Apabila seorang pencuri mencuri, maka potonglah tangannya. Jika ia mencuri lagi maka potonglah kakinya. Jika ia mencuri lagi, maka potonglah tangannya dan jika ia mencuri lagi maka potonglah kakinya.”

Riwayat al-Daraqutni dalam al-Sunan (3392)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, ulama’ berbeza pendapat sama ada tuntutan harta dari orang yang dicuri hartanya itu menjadi syarat kepada jatuhnya hukuman potong tangan ke atas pencuri. Dalam erti kata lain, jika orang yang dicuri hartanya itu tidak meminta semula hartanya yang dicuri, adakah pencuri tersebut masih dikenakan hukuman potong tangan?

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menukilkan perbincangan ulama’ tentang masalah ini. Beliau menyatakan bahawa fuqaha’ Mazhab al-Syafi‘i, Mazhab al-Hanbali dan Mazhab al-Hanafi bahawa tuntutan harta yang dicuri ini menjadi syarat sebelum seseorang itu boleh dijatuhkan hukuman potong tangan.

Mazhab al-Maliki pula tidak mensyaratkan tuntutan harta itu, dan ini juga salah satu riwayat dari Imam Ahmad, dan inilah pandangan yang dipilih oleh Syeikh Taqiy al-Din Ibn Taimiyyah. Mereka berhujjah dengan umum firman Allah SWT:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Ma’idah: 38)

Dinukilkan daripada Imam Ibn al-Qayyim, jika harta yang dicuri itu ditemui pada orang yang dituduh sebagai pencuri, maka para imam-imam mazhab tetap menjatuhkan hukuman potong tangan kerana ini adalah petanda yang lebih kuat dari sekadar bukti dan juga pengakuan. Ini kerana  bukti dan pengakuan boleh jadi ianya benar dan boleh jadi ianya penipuan, manakala dijumpai harta pada pencuri itu adalah bukti yang jelas dan tidak ada sebarang syubhah. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/282; Hasyiah Ibn ‘Abidin, 4/115; Kasyaf al-Qina‘, 4/167; Tuhfah al-Muhtaj, 9/152; Nihayah al-Muhtaj, 7/464)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan, dapat difahami bahawa hukuman hudud potong tangan terhadap pencuri tidak berlaku dalam setiap kesalahan pencurian. Akan tetapi, terdapat beberapa syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum tindakan potong tangan dapat dijalankan menurut majoriti fuqaha’, antaranya adalah: Pemilik harta yang dicuri perlu menuntut harta tersebut daripada pencuri. Jika pemilik harta tidak menuntutnya, maka tindakan potong tangan tidak berlaku.

Oleh sebab itulah, disyaratkan untuk didatangkan 2 orang saksi yang mencukupi syarat-syarat tertentu. Ibn al-Munzir berkata: “Para ulama sepakat bahwa potong tangan bagi pencuri dilakukan bila ada dua orang saksi yang adil, beragama Islam dan merdeka.” (Lihat al-Ijma’, no. 621, hlm. 123)

Hal ini kerana, kesaksian tidak akan dituntut oleh hakim melainkan apabila pemilik harta itu menuntut semula harta yang dicuri.

Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan kaum muslimin agar menjauhkan diri dari perbuatan mengambil hak orang lain, meskipun orang tersebut bukan orang Islam kerana ia merupkan perbuatan zalim. Ini berdasarkan riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW meriwayatkan daripada Allah SWT dalam hadith qudsi, firman-Nya:

يَاعِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا

Maksudnya: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Akupun jadikan kezhaliman itu diantara kalian sebagai sesuatu yang haram.”

Riwayat Muslim (2577) dan Ibn Hibban (619)

Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa, nescaya Allah SWT akan mengganjarkan kepada kita dengan ganjaran yang tidak terjangkau dek akal fikiran kita. In Syaa Allah. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply