Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah maksud sebenar “وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ” Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan adalah menjadi kewajipan bagi suami isteri untuk saling melayani antara satu sama lain dengan cara yang baik. Ini bagi memastikan kehidupan rumahtangga dapat diteruskan dengan sejahtera dan harmoni. Yang demikian boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.”

(Surah al-Nisa’:19)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

Syeikh Islam Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa: Hak suami terhadap isterinya adalah diwajibkan baginya menghormati dan menghargainya, berinteraksi dengan baik, taat kepada suaminya dalam hal-hal yang tidak melanggar perintah Allah, memenuhi tuntutan dan keinginannya yang wajar, berbahagi kebahagiaan dan kesedihan bersamanya, menjaga dirinya dan harta bendanya, menjaga rumah tangganya dengan tidak membenarkan orang asing masuk ke dalamnya dan tidak meninggalkannya tanpa izin. Diwajibkan juga baginya agar tidak berhias untuk orang selain suaminya, menghindari perilaku yang membuatnya marah, dan tidak memaksa suaminya untuk memenuhi permintaan yang mebebankannya.

Selain itu isteri harus menjaga martabat keluarganya, memberikan perkhidmatan kepada anak-anak mereka, membantu suami ketika  sakit atau tidak berdaya, dan tidak menolak kebaikan dan kebajikannya.

Adapun hak-hak seorang isteri terhadap suaminya adalah diwajibkan bagi suami berlaku baik terhadapnya, memperlakukannya dengan kebaikan, menjaga kehormatannya, memastikan kesejahteraan dan fitrahnya, membantunya dalam menguruskan rumah tangga, berbahagi dalam kegembiraan dan kesedihannya. Tambahan lagi, hendaklah dia  berbicara dengannya dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang, memberikannya nafkah, menjaga perasaannya, menjaga martabat keluarganya, melindungi kehormatannya, tidak menghalanginya dari keluarganya, tidak memberatkan dia dengan perkara yang tidak mampu dia lakukan, dan tidak menghalanginya dari hak-haknya yang dibolehkan, serta  melibatkan dia dalam kepentingan bersama.

Begitu juga suami hendaklah  mengajarkannya tentang ketaatan kepada Allah jika dia tidak tahu atau mengabaikannya, bersabar jika dia marah, tidak melarang haknya yang sah, meraikan kebebasan mengikut batasan syariat dan agama, menanggung segala  apa yang menyakitinya serta  merawat kesihatannya jika dia sakit. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/344-345)

Justeru kami katakan di sini dalam kehidupan rumahtangga setiap pasangan baik isteri mahupun suami hendaklah saling melayani antara satu sama lain dengan cara yang baik dan apa yang telah diterangkan di atas adalah merangkumi makna firman Allah SWT “وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ”.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam

Leave a Reply