Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum mengebumikan jenazah pada waktu malam dan hikmahnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah, beliau berkata:

‌رَأَى ‌نَاسٌ ‌نَارًا ‌فِي ‌الْمَقْبَرَةِ ‌فَأَتَوْهَا فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْقَبْرِ وَإِذَا هُوَ يَقُولُ: نَاوِلُونِي صَاحِبَكُمْ فَإِذَا هُوَ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ يَرْفَعُ صَوْتَهُ بِالذِّكْرِ

Maksudnya: “Orang ramai melihat (cahaya) api di kawasan perkuburan. Lantas mereka pergi ke kawasan perkuburan tersebut. Rupa-rupanya Rasulullah SAW berada di kawasan tersebut. Baginda bersabda: ‘Bantu aku kebumikan sahabat kamu ini. Beliau adalah seorang lelaki yang menguatkan suara ketika berzikir.’

Riwayat Abu Daud (3163)

Hadith di atas dijadikan dalil oleh para ulama berkenaan keharusan mengebumikan jenazah pada waktu malam. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa diharuskan mengebumikan jenazah pada waktu malam. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 62).

Sekalipun begitu, di sana terdapat riwayat daripada Jabir R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَدْفِنُوا مَوْتَاكُمْ بِاللَّيْلِ، إِلَّا أَنْ تُضْطَرُّوا

Maksudnya: “Janganlah kebumikan orang yang meninggal dunia dalam kalangan kamu pada waktu malam kecuali kamu terpaksa melakukannya.”

Riwayat Ibn Majah (1521)

Dalam sahih Muslim datang dengan lafaz:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطَبَ يَوْمًا، فَذَكَرَ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِهِ قُبِضَ، فَكُفِّنَ فِي كَفَنٍ غَيْرِ طَائِلٍ، وَقُبِرَ لَيْلًا، فَزَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُقْبَرَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهِ، إِلَّا أَنْ يُضْطَرَّ إِنْسَانٌ إِلَى ذَلِكَ

Maksudnya: “Pada suatu hari, Nabi SAW berkhutbah lalu menyebutkan seseorang daripada kalangan sahabatnya yang meninggal dunia dan dikafankan dengan kain yang tidak menutupi seluruh badannya serta dikebumikan pada waktu malam. Maka, Nabi SAW melarang seseorang untuk dikebumikan pada waktu malam sehinggalah sudah disolatkan ke atasnya, melainkan seseorang itu terpaksa melakukannya.”

Riwayat Muslim (943)

Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, zahir hadith ini menunjukkan kepada hukum makruh untuk mengebumikan jenazah pada waktu malam melainkan terdapatnya keperluan untuk melakukannya seperti dikhuatiri jenazah itu akan berubah keadaannya (yakni membusuk), maka ketika itu dibolehkan untuk mengebumikannya pada waktu malam tanpa dihukumkan sebagai makruh. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/267).

Selain itu, Ibn Hajar al-Haitami menyatakan, diharuskan untuk mengebumikan jenazah pada waktu malam tanpa dihukumkan sebagai makruh perbuatan tersebut. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/194). Al-Khatib al-Syirbini ada menjelaskan dengan lebih terperinci berkenaan hal ini dengan menyebutkan, diharuskan untuk mengebumikan jenazah pada waktu malam tanpa dihukumkan sebagai makruh pada perbuatan tersebut. Ini kerana Aisyah, Fatimah dan para Khulafa’ al-Rasyidin R.Anhum kesemuanya dikebumikan pada waktu malam melainkan Ali R.A. Bahkan Rasulullah SAW juga ada melakukannya seperti mana hadith yang telah dinilai sahih oleh al-Hakim. Tidak syak lagi bahawa perbahasan tersebut adalah melibatkan jenazah orang Islam. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/54).

Tambahan pula, perkara ini turut disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa keharusan mengebumikan jenazah pada waktu malam adalah berdasarkan kepada beberapa riwayat hadith. Di antaranya hadith wanita berkulit hitam serta riwayat hadith tentang seorang lelaki yang berada di masjid dan meninggal dunia pada waktu malam. Namun, jika perbuatan mengebumikan jenazah pada waktu malam boleh menyebabkan orang ramai meninggalkan solat ke atas jenazah, kurangnya orang yang menunaikan solat ke atas jenazah atau tidak teliti ketika mengkafankan jenazah kerana ingin segera mengebumikannya, maka ia adalah tidak dibenarkan (untuk mengebumikannya pada waktu malam). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/11).

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menyatakan, hikmah dalam hal ini adalah seperti yang diisyaratkan oleh hadith dengan lafaz: “حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهِ” (sehinggalah sudah disolatkan ke atasnya). Yang dimaksudkan dengan hal tersebut adalah persiapan jenazah dan solat ke atasnya pada waktu malam ada kemungkinan berlaku kekurangan dalam hal tersebut seperti adanya kekurangan ketika proses memandikan jenazah, kekurangan ketika mengkafankannya atau sedikit orang yang mendirikan solat ke atasnya. Adapun pada siang hari, bagi memperoleh hal-hal itu (yakni menyempurnakan mandian jenazah, memperelokkan pengkafanan dan lain-lain) adalah lebih mudah dicapai.

Namun, sekiranya perkara-perkara ini dapat juga dicapai pada waktu malam, maka hukum makruh yang disebutkan dalam hadith telah hilang dan ia kembali kepada hukum asalnya iaitu dianjurkan (sunat) untuk menyegerakan proses menguruskan pengebumian jenazah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/267).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa diharuskan untuk mengebumikan jenazah pada waktu malam tetapi dihukumkan sebagai makruh sekiranya mengebumikannya pada waktu malam menyebabkan berlakunya kekurangan pada proses pemandian, pengkafanan dan sedikitnya orang yang mendirikan solat ke atasnya. Namun, jika ahli keluarga takut sekiranya ditangguhkan pengebumian akan menyebabkan mudarat kepada jenazah, maka dibolehkan untuk segera mengebumikannya sekalipun pada waktu malam tanpa dihukumkan sebagai makruh.

Begitu juga dibolehkan untuk menangguhkan pengebumian sehingga waktu siang kerana ingin menunggu ahli waris yang lain atau supaya ramai yang boleh menunaikan solat ke atas jenazah, maka mengebumikannya pada waktu siang adalah lebih baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Leave a Reply