Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah bacaan yang sunat dilakukan pada solat subuh pada hari jumaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الفَجْرِ يَوْمَ الجُمُعَةِ: الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Nabi SAW membaca Surah Alif Lam Mim Tanzil al-Sajdah (Surah al-Sajdah) dan Surah ‘ هَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ’ (Surah al-Insan) ketika Solat Subuh pada hari Jumaat.

Riwayat al-Bukhari (891) dan Muslim (879)

Terdapat sebuah lagi riwayat yang hampir dengan riwayat di atas, juga daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كَانَ يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ، يَوْمَ الْجُمُعَةِ: بِالم تَنْزِيلُ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى، وَفِي الثَّانِيَةِ هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh pada hari Jumaat dengan “الم تَنْزِيلُ” (al-Sajadah) pada rakaat pertama. Manakala pada rakaat kedua pula “هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا” (al-Insan) .”

Riwayat Muslim (880)

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Pada hadith ini menunjukkan sunat membaca dua surah ini di dalam solat pada hari tersebut (Jumaat). Hal ini kerana, daripada bentuk hadith ini menunjukkan bahawa Nabi SAW melaziminya atau banyak melakukannya.” (Lihat Fath al-Bari, 2/378)

Selain itu juga, menurut mazhab al-Syafi’i disunatkan membaca surah al-Sajadah dan surah al-Insan pada solat subuh Jumaat berdalilkan amalan Nabi SAW sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith di atas. (Lihat al-Mu’tamad, 1/261)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Sunnah membaca Surah al-Sajdah dalam rakaat pertama solat Subuh pada hari Jumaat, dan Surah Al-Insan dalam rakaat kedua solat Subuh pada hari Jumaat. Amalan membaca surah-surah ini dalam solat ini adalah daripada sunnah Nabi Muhammad SAW yang telah ditetapkan. Penyataan “كان” dan dan riwayat daripada al-Tabarani “يديم ذلك” (berterusan dengan amalan tersebut), merupakan petunjuk bahawa Nabi SAW secara konsisten membaca kedua-dua surah ini dalam solat Subuh pada hari Jumaat dan tidak meninggalkannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/214)

Ibnu al-Qayyim dalam kitab Zad al-Ma’ad menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW membaca al-Sajdah dan Surah Al-Insan dalam solat Subuh pada hari Jumaat. Saya juga pernah mendengar Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah menyatakan bahawa Nabi SAW membaca kedua-dua surah ini dalam solat Subuh pada hari Jumaat kerana surah-surah ini mengandungi pelajaran dan amalan yang bersesuaian dengan hari tersebut. Surah-surah ini mencakupi penciptaan Nabi Adam A.S dan juga membahas tentang hari kebangkitan dan perhimpunan manusia, yang semuanya berkaitan dengan hari Jumaat. Dengan membaca surah-surah ini dalam solat Subuh pada hari Jumaat, umat Islam diingatkan tentang peristiwa-peristiwa tersebut dan dapat bersedia menghadapinya. Sujud dalam Surah al-Sajadah datang sebagai tanda yang bukan tujuan utama dalam surah ini, tetapi disertakan untuk mengingatkan orang yang solat supaya merenungkan bacaan surah tersebut, sehingga mereka akan sengaja membuat sujud ketika itu.

Selain itu, Ibnu al-Qayyim juga menyatakan bahawa ramai orang yang tidak memahami dengan baik dengan menganggap bahawa solat Subuh pada hari Jumaat dihadiri oleh sujud tambahan yang disebut sebagai “Sujud al-Jumu’ah”. Maka hendaklah Sebahagian para imam yang mengamalkan membaca surah-surah ini secara rutin dalam solat Subuh pada hari Jumaat mengingatkannya dengan tujuan untuk menghilangkan salah faham ini di kalangan orang-orang yang tidak berpengetahuan. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/460)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa pada solat subuh hari Jumaat, kita disunatkan untuk membaca surah al-Sajdah pada rakaat pertama dan al-Insan pada rakaat kedua sebagaimana yang terdapat dalam hadith di atas. Berdasarkan hadith ini, jelaslah kepada kita bahawa Nabi SAW seringkali membaca dua surah ini di dalam solat Subuhnya pada hari Jumaat.

Akan tetapi, Nabi SAW tidak melakukannya pada setiap minggu. Di samping itu juga, kita juga boleh membaca surah-surah yang lain dan ini melihat kepada fiqh imam itu sendiri kerana imam yang akan membuat pilihan dengan meraikan orang-orang yang solat dibelakangnya. Ini kerana, di dalam sebuah hadith, Nabi SAW telah memberi panduan bagi setiap orang yang ingin solat bersama manusia. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِلنَّاسِ، فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ مِنْهُمُ الضَّعِيفَ وَالسَّقِيمَ وَالكَبِيرَ، وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِنَفْسِهِ فَلْيُطَوِّلْ مَا شَاءَ

Maksudnya:Jika salah seorang daripada kamu solat bersama manusia maka ringankanlah (pendekkan bacaan). Ini kerana, ada di antara mereka orang yang lemah, sakit dan tua. Dan jika salah seorang daripada kamu solat secara bersendirian maka panjangkanlah mengikut kemahuannya.”

Riwayat al-Bukhari (703)

Akhirnya, marilah sama-sama kita melatih diri kita untuk sentiasa melaksanakan solat lima waktu secara berjemaah di masjid-masjid dan semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mendirikan solat. Amin.

Wallahua’lam

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply