Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mungkin persoalan saya ini kelihatan pelik sedikit. Hukum suami yang membuat tuduhan qazaf terhadap isterinya sudah biasa dibincangkan. Bagaimana pula jika suami membuat tuduhan qazaf ke atas lelaki lain yang disyaki bersama dengan isterinya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Qazaf (القَذَفُ) merupakan perkataan yang berasal dari bahasa Arab yang bermaksud melemparkan sesuatu. (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/277)

Manakala maksud qazaf berdasarkan istilah syara‘ pula, seperti yang didefinisikan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji bermaksud perbuatan melemparkan tuduhan berzina yang bertujuan mencaci dan memalukan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/65)

Tuduhan qazaf ini termasuk dalam salah satu jenayah dosa besar yang dituntut oleh syara‘ untuk kita jauhinya. Ini seperti yang disebutkan dalam hadith riwayat Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “‘Hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan (tujuh dosa-dosa besar).’ Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara tersebut?’ Baginda bersabda: ‘Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (berzina) terhadap wanita-wanita yang memelihara maruah diri serta beriman lagi baik (lalai daripada pengaruh sekeliling)’.”

Riwayat al-Bukhari (2766)  dan Muslim (89)

Syara‘ telah menetapkan hukuman hudud ke atas jenayah qazaf ini, iaitu sebanyak 80 kali sebatan dan ditarik penyaksiannya selama-lamanya. Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.”

(Surah al-Nur: 4)

Sekiranya seorang suami itu menuduh seorang lelaki lain yang disyaki berzina bersama isterinya, maka dia secara tidak langsung telah menuduh isterinya juga berzina. Maka dia telah melakukan kesalahan yang boleh mengakibatkan perkahwinannya terbubar dan tidak boleh dirujuk semula selama-lamanya. Pada ketika itu, dia juga akan dituntut untuk melafazkan li‘an, iaitu sumpah agar pihak yang berdusta ditimpa laknat Allah SWT.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar.”

وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: “Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.”

(Surah al-Nur: 6-7)

Manakala tuduhannya qazaf terhadap lelaki yang disyaki itu pula perlu disertakan dengan 4 orang saksi yang adil. Ini disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَاللَّاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِنْ نِسَائِكُمْ فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِنْكُمْ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.”

(Surah al-Nisa’: 15)

Diriwayatkan pula daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Sa‘ad bin Ubadah R.A bertanya kepada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنْ وَجَدْتُ مَعَ امْرَأَتِي رَجُلًا أَؤُمْهِلُهُ حَتَّى آتِيَ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ ؟ قَالَ : نَعَمْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, jika aku menemui isteriku bersama seorang lelaki, adakah aku perlu menunggu sehingga aku membawa empat saksi?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya.”

Riwayat Muslim (1498)

Menurut Imam al-Nawawi, para fuqaha telah bersepakat bahawa qazaf berlaku sama ada yang dituduh itu perempuan ataupun lelaki. (Lihat al-Majmu‘, 22/94)

Al-Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan sabda Rasulullah SAW dalam riwayat Abu Hurairah R.A: (وَقَذْفُ الـمُحْصَنَاتِ الـمُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ). Beliau menyatakan, jika orang yang dituduh dengan zina itu adalah seorang lelaki, maka menuduhnya dengan zina itu termasuk dalam dosa-dosa besar dan boleh dikenakan hukum hudud qazaf. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 1/124)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, kami katakan bahawa menuduh seorang lelaki yang disyaki berzina dengan isterinya adalah perlakuan yang ditegah melainkan didatangkan dengan bukti, iaitu penyaksian 4 orang yang adil yang benar-benar melihat kejadian tersebut, atau pengakuan daripada penzina itu sendiri.

Sekiranya dia tidak berjaya mendatangkan 4 orang saksi ini, maka hukuman hudud yang telah ditetapkan ke atasnya adalah hukuman sebat sebanyak 80 kali. Oleh yang demikian, hendaklah kita berhati-hati dari tergesa-gesa melemparkan sebarang tuduhan ke atas orang lain tanpa sebarang usul periksa dan bukti yang jelas, kerana kesan dari tuduhan qazaf itu cukup besar.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply