Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya sekarang pelik dengan ayah saya yang sering pulang lewat malam ke rumah. Terkadang sehingga pukul 3 pagi, sedangkan dia pulang dari kerja pada pukul 5.30 petang. Saya juga perasan dia akan pulang dalam keadaan berbau busuk serta muntah-muntah, maka saya mengesyaki dia ada mengambil minuman yang dilarang (arak). Adakah dia boleh dikenakan hukuman hudud dengan sekadar bukti bahawa dia muntah sahaja?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, arak telah diharamkan oleh syara‘ berdasarkan banyak dalil yang sahih. Antaranya adalah firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ‘Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya’.”

(Surah al-Baqarah: 219)

Dalam ayat yang lain pula, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Bukan itu sahaja, malah terdapat hadith yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan dan aktiviti berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا، وَحَامِلُهَا وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ وَسَاقِيهَا وَبَائِعُهَا، وَآكِلُ ثَمَنَهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا وَالْمُشْتَرَي لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1295)

Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan oleh saudara, ulama’ Mazhab al-Syafi‘i telah menyebutkan bahawa tuduhan bahawa seseorang itu telah meminum arak boleh dilakukan apabila terdapat salah satu dari 2 perkara ini:

  • Pengakuan
  • Penyaksian 2 orang lelaki.

Apabila seseorang yang tertuduh itu dibuktikan bahawa dia telah meminum arak, barulah dia boleh dikenakan dengan hukuman sebat.

Adapun jika sekadar orang tersebut berbau arak, mabuk atau muntah, maka hukuman hudud tidak boleh dikenakan kerana terdapat kebarangkalian bahawa orang itu tersalah minum atau dipaksa minum. Dan hukuman hudud pula tidak boleh dilaksanakan apabila adanya syubhah. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/520)

Akan tetapi, terdapat sebuah hadith yang dijadikan sandaran bagi sebahagian fuqaha’ sebagai hujjah bahawa muntah-muntah sudah mencukupi untuk dijadikan qarinah peminum arak dan dijatuhkan ke atasnya hukuman hudud. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Sasan Hudhain bin al-Munzir, kata:

شَهِدْتُ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ وَأُتِيَ بِالْوَلِيدِ قَدْ صَلَّى الصُّبْحَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ قَالَ أَزِيدُكُمْ فَشَهِدَ عَلَيْهِ رَجُلاَنِ أَحَدُهُمَا حُمْرَانُ أَنَّهُ شَرِبَ الْخَمْرَ وَشَهِدَ آخَرُ أَنَّهُ رَآهُ يَتَقَيَّأُ فَقَالَ عُثْمَانُ إِنَّهُ لَمْ يَتَقَيَّأْ حَتَّى شَرِبَهَا فَقَالَ يَا عَلِيُّ قُمْ فَاجْلِدْهُ.‏ فَقَالَ عَلِيٌّ قُمْ يَا حَسَنُ فَاجْلِدْهُ.‏ فَقَالَ الْحَسَنُ: وَلِّ حَارَّهَا مَنْ تَوَلَّى قَارَّهَا – فَكَأَنَّهُ وَجَدَ عَلَيْهِ – فَقَالَ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ جَعْفَرٍ قُمْ فَاجْلِدْهُ.‏ فَجَلَدَهُ

Maksudnya: “Aku menyaksikan ‘Uthman bin ‘Affan yang dibawakan kepadanya al-Walid (bin ‘Uqbah), kerana dia (al-Walid) telah menunaikan 2 rakaat subuh kemudian bertanya (kepada orang mu’min yang bersolat di belakangnya): ‘Aku tambah lagi (bilangan rakaat) bagi kalian?’ Maka 2 orang lelaki menjadi saksi, salah seorang darinya adalah Humran yang bersaksi bahawa al-Walid minum arak, dan seorang lagi bersaksi bahawa di melihat al-Walid memuntahkan arak itu. Lalu ‘Uthman berkata: ‘Dia tidak akan muntah melainkan dia minum arak,’ Lalu ‘Uthman berkata kepada ‘Ali: ‘Bangunlah dan sebatlah dia!’ ‘Ali pula berkata: ‘Bangunlah wahai Hasan dan sebatlah dia!’ Hasan pula berkata: ‘Serahkanlah kepanasan (perumpamaan untuk hukuman) ini kepada yang memiliki kesejukan dan ketenangan.’ Maka ‘Uthman berkata: ‘Wahai ‘Abdullah bin Ja‘far, bangunlah dan sebatlah dia,’ maka dia pun menyebat al-Walid.”

Riwayat Muslim (1707)

Imam al-Nawawi berkata, ini adalah dalil yang digunakan Imam Malik dan mereka yang bersetuju dengannya bahawa memuntahkan arak sudah cukup untuk seseorang itu dihukum hudud. Adapun Mazhab al-Syafi‘i tidak menjatuhkan hukuman hudud dengan semata-mata muntah sahaja, kerana terdapat kebarangkalian peminumnya itu tidak tahu bahawa yang diminum itu adalah arak, atau peminumnya itu dipaksa, atau selainnya. Kesemua ini adalah keuzuran yang boleh menggugurkan hukuman hudud.

Hujjah Imam Malik di sini cukup kuat kerana para sahabat ketika itu bersepakat menjatuhkan hukuman hudud ke atas al-Walid bin ‘Uqbah seperti yang disebutkan dalam hadith. Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah pula menjawab hujjah Imam Malik ini dengan mengatakan bahawa Saidina ‘Uthman sememangnya tahu bahawa al-Walid telah minum arak, maka dia menghukum hudud berdasarkan pengetahuannya. Tetapi takwilan fuqaha’ al-Syafi‘iyyah ini lemah, dan zahir kalam ‘Uthman bertentangan dengan takwilan ini. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/219)

Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Syams al-Din al-Ramli menjawab persoalan berkenaan hadith ‘Uthman ini, mereka mengatakan bahawa hukuman hudud yang dijatuhkan oleh Saidina ‘Uthman itu adalah ijtihad beliau sahaja. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/173; Nihayah al-Muhtaj, 8/16)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ini, fuqaha’ Mazhab al-Syafi‘i cenderung kepada tidak menjatuhkan sebarang hukuman hudud ke atas seseorang yang disyaki meminum arak kerana mulutnya berbau busuk atau muntah-muntah.

Antara sebabnya adalah, terdapat kebarangkalian bahawa seseorang yang disyaki itu tidak meminum arak secara sengaja, dalam keadaan dia tahu bahawa air yang diminum itu adalah arak. Maka syubhah ini tertolak berdasarkan beberapa riwayat hadith, antaranya yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ادْفَعُوا الْحُدُودَ مَا وَجَدْتُمْ لَهَا مَدْفَعًا

Maksudnya: “Pertahankanlah (jauhilah) hudud selagi kamu dapati padanya boleh dipertahankan.”

Riwayat Ibn Majah (2545)

Dalam riwayat lain daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

ادْرَءُوا الْحُدُودَ عُنِ الْمُسْلِمِينَ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنْ كَانَ لَهُ مَخْرَجٌ فَخَلُّوا سَبِيلَهُ. فَإِنَّ الْإِمَامَ أَن يُخْطِئَ فِي الْعَفْوِ خَيْرٌ مِنْ أَن يُخطِئَ فِي الْعُقُوبَةِ

Maksudnya: “Tolaklah hudud daripada kalangan muslimin selagi kamu mampu, sekiranya terdapat jalan keluar padanya maka ambillah jalannya, sesungguhnya seorang pemimpin yang tersalah dalam memaafkan adalah lebih baik daripada tersalah dalam menjatuhkan hukuman.”

Riwayat al-Tirmizi (1424) dan al-Hakim (8163)

Dalam riwayat daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A pula, Rasulullah SAW bersabda:

ادْرَءُوا الْجَلْدَ وَالْقَتْلَ عَنِ الْمُسْلِمِينَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “pertahankanlah (jauhkanlah) pembunuhan daripada kalangan muslimin selagi kamu mampu.”

Riwayat al-Baihaqi (17064)

Meskipun terdapat pelbagai kritikan terhadap riwayat-riwayat di atas, tetapi jalur periwayatan yang banyak ini menguatkan antara satu sama lain sehingga, dan ia menjadi bukti bahawa hadith ini secara umumnya terdapat asal. (Lihat Subul al-Salam, 7/126)

Semoga kita semua sentiasa di bawah pemeliharaan Allah SWT dari keterlanjuran melakukan sebarang perkara yang ditegah oleh-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply