Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hak isteri janda dan dara pada permulaan perkahwinan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Walaupun dibenarkan kepada mereka untuk berkahwin lebih daripada satu, tetapi mereka dikenakan syarat, antaranya ialah berlaku adil. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja,”

(Surah al-Nisa’:2)

Bahkan ketika itu, haram baginya berkahwin lebih daripada satu. Adapun maksud adil di sini, iaitu pembahagian dari sudut kesamaan di antara isteri-isterinya pada nafkah, pakaian, tempat tinggal, perhiasan serta beberapa kemudahan yang lain yang mesti dalam kemampuan suaminya. Adapun adil dari segi cinta dan kasih sayang, ia bukanlah taklif dan tidak dituntut kerana manusia tidak mampu melaksanakannya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nisa’:129)

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya: Sesiapa yang takut untuk berlaku adil, maka cukuplah baginya seorang isteri sahaja. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/185)

Ibn Arabi al-Maliki menyatakan di dalam Ahkam al-Quran: Sekiranya seorang lelaki mampu dari sudut hartanya dan keinginannya untuk berkahwin, maka lakukanlah. Tetapi sekiranya dia tidak pasti dan tidak mampu mengenai kemampuan hartanya dan kemampuannya untuk menanggung untuk berkahwin lebih, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/409)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa dalam pembahagian hari antara isteri-isteri, isteri yang masih dara dan janda mempunyai hak tertentu ketika awal perkahwinan. Hal bermalam bersama suami  bagi isteri yang masih dara adalah tujuh malam manakala bagi yang sudah janda hak baginya adalah selama tiga malam. Yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Anas Bin Malik bahawa beliau berkata:

مِنَ السُّنَّةِ إِذَا تَزَوَّجَ الرَّجُلُ البِكْرَ عَلَى الثَّيِّبِ أَقَامَ عِنْدَهَا سَبْعًا وَقَسَمَ، وَإِذَا تَزَوَّجَ الثَّيِّبَ عَلَى البِكْرِ أَقَامَ عِنْدَهَا ثَلاَثًا ثُمَّ قَسَمَ

Maksudnya: Menjadi sunnah Nabi apabila seseorang menikahi seorang anak dara untuk dimadukan dengan isteri yang thayyib, maka dia tinggal dengan anak dara itu selama tujuh hari, dan setelah itu dia membahagikan giliran. Dan apabila seseorang menikahi seorang isteri yang thayyib untuk dimadukan dengan isteri yang masih anak dara, maka dia tinggal dengan janda itu selama tiga hari, kemudian dia membahagikan giliran.

Riwayat Bukhari(5214) dan Muslim(1461)

Apa yang dapat difahami melalui hadith ini adalah sepertimana berikut:

  • Berlaku adil antara isteri-isteri adalah suatu kewajipan. Memberi keutamaan kepada salah satu daripada mereka berbanding yang lain adalah ketidakadilan. Oleh itu, seorang lelaki wajib berlaku adil sejauh yang mampu, dan dia tidak akan dibebani pada  perkara yang luar  dari
  • Barangsiapa yang berkahwin dan sudah mempunyai seorang isteri atau lebih, jika isteri yang baru adalah seorang dara, maka dia boleh tinggal bersamanya selama tujuh malam, kemudian bergilir antara isteri-isterinya. Tetapi jika isteri yang baru itu pernah berkahwin (thayyib), maka dia boleh tinggal bersamanya selama tiga malam, kemudian bergilir antara isteri-isterinya yang lain.
  • Suami boleh memilih untuk tinggal bersama  isteri barunya yang pernah berkawin (thayyib) adalah selama tiga malam setelah pernikahan. Sekiranya dia ingin  bersamanya selama tujuh malam  dia boleh berbuat sedemikian. Kemudian, hendaklah dia bermalam juga dengan isteri-isteri yang lain selama tujuh malam. Namun sekiranya tidak, cukup baginya tiga malam sahaja bersama isteri baru dan bergilir antara isteri-isteri lain pada malamnya sahaja.
  • Diharuskan tinggal bersama isteri yang baru lebih dari satu malam ketika pertama kali bersama dengannya sebagai tanda sambutan dan penghormatan di tempat tinggal yang baru serta menunjukkan hasrat keinginan bersama dengannya.
  • Perbezaan antara isteri yang masih dara dan yang sudah pernah berkahwin (thayyib) adalah dari segi tempoh tinggal bersama di awal perkahwinan. Isteri baru yang masih dara adalah orang yang asing bagi suaminya dan  tidak pernah berpisah dengan keluarganya, jadi dia memerlukan lebih banyak penghiburan dan menghilangkan kesunyiannya. (Lihat Taudih al-Akam min Bulugh al-Maram, 5/453)

Al-Juwaini menyatakan bahawa: Jika isteri yang baru adalah seorang perempuan yang masih dara, dia akan diberikan hak selama tujuh malam, dan jika dia adalah seorang janda, dia akan diberikan hak selama tiga malam. Walau bagaimanapun, jumlah tujuh malam dan tiga malam tidak akan dihitung dalam hak-hak istimewa kedua-dua isteri baru ini, dan tidak diwajibkan baginya menqadha’  kembali bilangan hari tersebut kepada isteri-isterinya yang lain. (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 13/259)

Syeikh Ibn Baz dalam isu ini beliau menyatakan bahawa: Sekiranya dia seorang isteri yang masih dara, maka suami boleh tinggal bersamanya di awal perkahwinan selama tujuh malam kemudian hendaklah dia membuat penggiliran bersama isteri-isterinya yang lain. Manakala sekiranya dia seorang isteri yang sudah pernah berkahwin (thayyib)  suami boleh menkhususkannya selama tiga malam di awal perkahwinan kemudian hendaklah  bergilir antara isteri-isterinya satu malam dan satu malam dengan adil.  Begitu juga pada waktu siang. (Lihat Fatawa Nur ala Darb, 21/386)

Sebagai kesimpulannya kami katakan di sini seorang lelaki yang berpoligami mempunyai hak yang khusus untuk bermalam bersama isteri-isteri baru. Ia berbeza mengikut status perempuan yang dikahwini tersebut. Sekiranya dia mengahwini perempuan yang masih dara maka dia diberikan hak selama tujuh malam untuk bersama dengannya manakala sekiranya dia mengahwini perempuan yang pernah berkahwin maka dia dibenarkan untuk besamanya selama tiga malam di awal perkahwinan. Yang demikian merupakan hak istimewa yang diberikan oleh syara’ kepada suami.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam

Leave a Reply