#4124: Memakan Badak Sumbu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sebelum ini saya pernah bertanya mengenai badak air dan soalan yang sama, saya ingin tanyakan berkenaan badak sumbu. Kalaulah nanti misalnya badak sumbu yang dipelihara di zoo mengalami kemalangan atau seumpamanya yang mana ia tidak mungkin lagi dapat bertahan atau hidup lama sekiranya dibiarkan mahupun dirawat, daripada membiarkan ia mati begitu sahaja, lebih baik ia disembelih sekurang-kurangnya ia memberi manfaat. Soalan saya, bolehkah dan halalkah ia untuk dimakan?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan ringkas mengenai badak sumbu ini. Badak sumbu ialah haiwan besar yang merupakan salah satu haiwan darat yang paling besar. Badak sumbu mempunyai badan yang amat besar dan pejal, dan kaki yang pendek dan gempal. Kulitnya yang tebal kelihatan berlipat-lipat, tetapi sebenarnya hanya berkedut di bahagian sendi. Kebanyakan spesies badak sumbu mempunyai sedikit bulu. Bergantung pada spesiesnya, badak sumbu mempunyai satu atau dua sumbu yang melengkung sedikit yang mencuar dari hidungnya yang panjang. Sumbu ini terus membesar sepanjang hayat badak sumbu. la terbentuk daripada bahan bak serat yang serupa dengan campuran rambut dan kuku jari. Ia kelihatan kekal bersambung dengan hidung badak sumbu, tetapi boleh tercabut semasa berlawan. Nama rhinoceros berasal daripada dua perkataan Yunani yang bermakna hidung bersumbu.

White rhinoceros in the beautiful nature looking habitat wild animals in captivity prehistoric and endangered species in zoo

Sumber gambar: Freepik

Haiwan ini mempunyai tiga jari pada setiap kaki. Setiap jari mempunyai hufnya sendiri. Pada setiap kaki depan terdapat jari kaki keempat yang rudimen, atau tidak digunakan lagi. Badak sumbu berbeza daripada badak air, yang mempunyai empat jari kaki yang terbina dengan baik dan ia bersaudara dengan unta, lembu, dan babi. Badak sumbu lebih hampir berkaitan dengan kuda.

Badak sumbu memakan rumput, ranting berdaun, dan pokok renek. Dalam peliharaan, haiwan ini diberi makan jerami dan biskut khas yang mengandungi protein dan mineral. Badak sumbu liar tinggal di Afrika, tenggara Asia, dan beberapa pulau besar dekat pantai Asia. Pada Zaman Prasejarah, ia juga merayau-rayau di Eropah, Amerika Utara, dan utara Asia. Baluchitherium, saudara prasejarah dengan badak sumbu moden, adalah lebih besar daripada mana-mana mamalia yang hidup hari ini. Haiwan ini mencapai ketinggian melebihi lima meter. Badak sumbu telah diketahui hidup hampir 50 tahun.

Jenis badak sumbu. Terdapat lima spesies badak sumbu. Tiga jenis tinggal di Asia dan dua jenis tinggal di Afrika. Badak sumbu India adalah spesies yang terbesar daripada tiga spesies Asia. Tingginya kira-kira 1.5 meter di paras bahunya dan beratnya kira-kira dua tan metrik. la mempunyai satu sumbu yang besar berwarna biru hitam, sangat tebal di pangkalnya dan kira-kira 30 sentimeter panjangnya. Dalam kes yang jarang-jarang dijumpai, haiwan ini mungkin setinggi dua meter panjang sumbunya 60 sentimeter. Kulit badak sumbu India ditaburi bonjol bulat. Kulitnya berlipat tertentu sehingga haiwan ini kelihatan seperti memakai perisai. Haiwan ini hidup di hutan berpaya, dalam rumput mensiang, dan rumput tinggi, yang menjadi makanannya pagi dan petang. Penduduk purba di negara-negara Timur cukup tahu tentang badak sumbu. Malah ia digunakan dalam permainan sarkas di Rom sebelum zaman Christ.

African white rhino in the savannah

Gambar di atas: Badak sumbu putih Afrika di padang savana. (Sumber gambar: Freepik)

Badak sumbu Jawa bersumbu satu yang serupa pernah berkeliaran dari kawasan timur Benggala hingga ke Burma (Myanmar), dan ke selatan sehingga ke pulau Jawa, Borneo, dan Sumatera. Haiwan ini hampir pupus sekarang.

Spesies Sumatera lebih kecil daripada mana-mana badak sumbu dan mempunyai dua sumbu. Tingginya kira-kira 1.5 meter dan beratnya kira-kira satu tan metrik. Haiwan ini berbulu, terutama di ekor dan telinga. Anaknya mempunyai lebih banyak bulu daripada badak dewasa. Spesies ini tinggal di Sumatera, Borneo dan Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga hampir pupus. Kedua-dua badak sumbu Jawa dan Sumatera terdapat di bukit berhutan. Kurang daripada 2000 ekor badak sumbu tinggal dalam hutan di Asia.

Dua spesies badak sumbu Afrika mempunyai dua sumbu. la dikenali sebagai badak sumbu hitam dan badak sumbu putih, walaupun warna kelabu kebiru-biruannya hampir sama. Bibir bercangkuk (bagi yang hitam) dan bibir persegi (bagi yang putih) adalah nama yang lebih sesuai untuknya.

Badak sumbu hitam mempunyai sumbu depan kadangkala sepanjang 105 sentimeter. la menggunakan sumbunya untuk mempertahankan diri dan juga untuk menggali. Sumbu belakang mungkin sama panjangnya ataupun lebih pendek. Sumbu yang menggali adalah amat kuat sehingga haiwan ini dengan mudah mencabut dan membongkar pokok renek dan pokok kecil. Kemudian ia memakan daunnya yang hidup dalam hutan. Walaupun ia kelihatan cemerkap, tetapi ia boleh bergerak pantas. Badak sumbu hitam hampir pupus, kira-kira 200 ekor haiwan ini hidup di kawasan simpanan haiwan di Afrika.

Badak sumbu putih adalah yang paling besar daripada semua badak sumbu. Tingginya kira-kira 1.5 meter. Dalam sesetengah kes, tingginya mungkin melebihi 1.8 meter dan panjangnya 4.5 meter. Beratnya kira-kira tiga tan metrik. Sumbu badak sumbu betina lebih panjang tetapi lebih tirus daripada sumbu badak sumbu jantan. Ini juga sama pada badak sumbu hitam. Panjang sumbu badak sumbu putih mencapai rekod 157 sentimeter kurang daripada 6000 badak sumbu putih masih kekal dalam hutan.

Melindungi badak sumbu. Semua spesies, terutamanya spesies Jawa, Sumatera dan badak hitam hampir pupus. Banyak habitat haiwan ini musnah akibat pertumbuhan dan penyebaran penduduk. Badak sumbu sering diancam oleh penceroboh-orang yang memburu haiwan secara haram. Penceroboh membunuh badak sumbu dan menjual sumbunya dan kulitnya. Ramai orang Asia percaya bahawa serbuk sumbu badak sumbu mempunyai sifat penyembuhan dan boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit paru-paru dan dada. Sesetengah orang percaya bahawa sumbu haiwan ini mempunyai kuasa ajaib. Orang Asia juga menggunakan kulit, darah, dan air kencing haiwan ini untuk menyembuhkan penyakit. Atas semua alasan ini, beribu-ribu badak sumbu telah dibunuh dengan sewenang-wenangnya.

Undang-undang di banyak negara dan perjanjian perdagangan antarabangsa dirancang untuk melindungi badak sumbu daripada penceroboh. Di negara Kenya dan Zimbabwe di Afrika, renjer khas sentiasa mengawasi haiwan ini. Hampir semua badak sumbu liar yang ada di Zimbabwe telah ditangkap dan diletakkan di kawasan simpanan haiwan. Sesetengah kawasan simpanan haiwan ini mempunyai pagar berelektrik yang tinggi, dan dironda kerap oleh renjer. Di Zimbabwe dan dua negara lain di Afrika, Namibia dan Swaziland, pegawai-pegawai mergastua berusaha selanjutnya untuk mengurangkan pencerobohan dengan memotong sumbu sesetengah badak sumbu. Bagaimanapun, ramai ahli sains percaya bahawa pendekatan ini meletakkan haiwan ini dalam bahaya lagi. Badak sumbu tidak bersumbu kurang berupaya melindungi diri dari pemangsa seperti singa dan dubuk Penceroboh juga mungkin membunuh badak sumbu tidak bersumbu untuk mendapatkan bahagian-bahagian badan yang lain termasuk akar sumbu. Di samping usaha antipencerobohan, cubaan telah dibuat untuk menambahkan populasi spesies tertentu haiwan ini. Contohnya, badak sumbu hitam dan putih telah dihantar ke Australia dan Amerika Syarikat untuk memulakan koloni pembiakan untuk mempopulasikan semula haiwan ini pada masa depan.

Dari segi pengelasan saintifik. Badak sumbu adalah dalam famili Rhinocerotidae. Badak sumbu India adalah Rhinoceros unicornis, badak sumbu Jawa adalah R. Sondaicus, badak sumbu Sumatera, Dicerorhinus sumatrensis, badak sumbu hitam, Diceros bicornis, badak sumbu putih, Ceratotherium simum. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 3/22-24)

Hukum memakan badak sumbu

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, badak sumbu termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Apatah lagi ia juga bukanlah haiwan yang memburu haiwan lain sebagai makanan, sebaliknya ia tergolong dalam kalangan haiwan herbivor kerana hanya memakan rumput, daun-daun dan seumpamanya serta tidak memakan daging ataupun kotoran/bangkai.

Jadi, kami berpendapat bahawa ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya selagi mana tidak terdapatnya dalil yang menunjukkan hukum sebaliknya, serta tidak memudaratkan pemakannya.

Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Walaupun begitu, kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia dan lain-lain, adakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburunya atau menyembelihnya kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Lebih-lebih lagi, badak sumbu termasuk dalam jenis haiwan yang hampir mengalami kepupusan. Jika tiada larangan tersebut atau adanya kebenaran untuk menyembelihnya (bagi tujuan memakannya) maka dibolehkan untuk mendapatkan dan memakan badak sumbu tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *