Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah syarat wajib zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW mengutus Mu‘az R.A ke Yaman — lalu menyebutkan hadith dan di dalamnya ada dinyatakan — :

أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta-harta mereka, yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1395)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, di dalamnya mengandungi cara pengeluaran/pengambilan zakat, di mana ia diambil dari orang-orang kaya untuk diberikan kepada orang miskin sebagai suatu bentuk tolong-menolong dan keadilan di dalam harta Allah SWT yang telah diberikan kepada mereka.

Kemudian lafaz “صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ” dalam hadith tersebut menunjukkan kepada dua perkara. Pertamanya, zakat adalah kewajipan pada harta dan bukannya pada zimmah. Oleh sebab itu, ia turut diwajibkan pada harta bukan mukallaf seperti kanak-kanak dan  orang gila. Kedua, hadith ini menunjukkan kewajipan zakat pada harta secara umum, tanpa memandang jumlah besar atau kecilnya harta. Jadi, ia berlaku dalam jumlah besar dan kecil harta yang dikeluarkan. Namun, terdapatnya nas-nas lain yang mengkhususkan keumuman tersebut, mengikat (mengehadkan) kemutlakannya dan menjelaskan kesamarannya (mujmal). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/284).

Kesimpulannya

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, secara ringkasnya, Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, zakat mempunyai beberapa syarat wajib. Di antaranya ialah:

  • Islam: Justeru, zakat tidak dikenakan kepada orang kafir sekalipun mereka turut diperintahkan untuknya dan diazab kerana meninggalkannya.
  • Memiliki nisab.
  • Cukup haul. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/286).

Tiga syarat ini ada dijelaskan dengan lebih terperinci oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji sebagaimana berikut:

Pertamanya, Islam. Orang kafir tidak diwajibkan berzakat. Ini berdasarkan hadith Mu‘az R.A sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas. Kewajipan berzakat dituntut setelah mereka menerima dakwah dan masuk Islam. Ini berdasarkan kata-kata Abu Bakar R.A:

هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِى فَرَضَها رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Ini adalah kewajipan berzakat yang telah difardhukan oleh Rasulullah SAW ke atas orang Islam.

         Riwayat al-Bukhari (1386)

Perkataan “ke atas orang Islam” itu jelas menunjukkan bahawa orang kafir tidak dituntut berzakat. Bagaimanapun, zakat yang tidak wajib ke atas orang kafir itu ialah zakat harta. Namun begitu, bagi zakat fitrah pula, mereka wajib mengeluarkannya untuk keluarga mereka yang beragama Islam serta yang berada di bawah tanggungannya.

Keduanya, memiliki nisab. Nisab ialah had minimum harta yang dimiliki.

Ketiganya, cukup setahun haul (حول) Qamariah memiliki nisab. Zakat tidak wajib dikeluarkan kecuali setelah genap setahun memilikinya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.

Riwayat Abu Daud (1573)

Syarat tersebut dikecualikan bagi zakat tanaman, buah-buahan dan galian serta tidak disyaratkan genap setahun memilikinya. Oleh itu, zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/16-17).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply