Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bilakah sebenarnya difardhukan zakat ke atas umat Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kami katakan bahawa Islam adalah agama yang melindungi dan bersifat tolong-menolong. Ia merupakan satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh. Cara hidup yang dikurniakan oleh Allah SWT adalah untuk memuliakan manusia dan menghormati mereka agar hidup bahagia di muka bumi ini.

Agama Islam dapat memenuhi keperluan tersebut melalui sistem bersepadu yang bermula dengan pembentukan aqidah yang betul, membetulkan pandangan terhadap alam semesta dan kehidupan, pembentukan akhlak yang mulia, dan menyediakan garis panduan yang bersistem dan berkesan. Dengan ini, jelaslah bahawa adunan kesemua unsur tersebut menjadikan manusia berada di bawah kekuasaan Islam dengan penuh ketaatan dan keredhaan.

Pensyariatan zakat adalah satu daripada ciri-ciri tersebut yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk membentuk peribadi manusia, sesuai dengan prasyarat kebahagiaan sesebuah masyarakat yang harmoni, mahupun sebagai individu yang menyanjungi kebahagiaannya dalam kehidupan ini. Jika diamati dengan teliti, fungsi zakat ialah mengawasi pendapatan seseorang supaya penyuburannya tidak melanggar batas keadilan di kalangan mereka supaya mematuhi asas-asas keperluan yang sebenar bagi semua pihak.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, para ulama berselisih pendapat mengenai tarikh kefardhuan zakat. Ada yang berpendapat, ia disyariatkan pada tahun kedua hijrah, ada juga yang berpendapat pada tahun sembilan hijrah dan ada yang berpendapat pada tahun pertama hijrah.

Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, pendapat ulama yang sahih menyatakan bahawa zakat mula disyariatkan pada tahun kedua setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah tidak berapa lama sebelum ibadah puasa Ramadhan difardhukan ke atas umat Islam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11).

Begitu juga Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff turut menyebutkan bahawa zakat difardhukan pada tahun kedua Hijrah pada bulan Sya‘ban. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 396).

Hal ini juga disebutkan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya, di mana beliau menyatakan, zakat difardhukan pada bulan Sya‘ban tahun kedua hijrah bersama zakat fitrah, atau zakat fitrah difardhukan selepasnya pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah iaitu selepas sebulan — disyariatkan zakat. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/12).

Namun, Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, pendapat yang paling kuat (rajih) adalah zakat difardhukan secara beransur-ansur dalam  tiga peringkat:

Pertama, kewajipan zakat adalah secara itlaq (keseluruhannya) tanpa perincian atau spesifikasi, tetapi merupakan perintah untuk memberi, memberi makan, dan berbuat baik. Ini adalah sebelum hijrah. Allah SWT berfirman dalam Surah Makkiyyah yang pertama:

وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ

Maksudnya: “Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

(Surah al-Zariyat: 19)

Begitu juga firman-Nya:

الَّذِينَ لَا يُؤْتُونَ الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang tidak memberi zakat (untuk membersihkan jiwa dan harta-bendanya).

(Surah Fussilat: 7)

Begitu juga firman-Nya:

 وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ

Maksudnya: “Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin.”

(Surah al-Muddatthir: 44)

Kedua, pada tahun kedua hijrah, dijelaskan pula hukum-hakam secara terperinci mengikut jenis-jenis harta yang dikenakan zakat, termasuklah kadar nisab dan kadar zakat yang dikeluarkan daripadanya.

Ketiga, pada tahun kesembilan hijrah, ketika orang ramai masuk dalam agama Allah beramai-ramai dan wilayah Islam semakin berkembang, Nabi SAW mengutus perwakilan untuk mengumpulkan zakat dari berbagai wilayahnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply