Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Anak saya terkencing dalam seluar . Saya sudah basuh dengan sekali lalu air (kuantiti yang banyak dan berterusan). Selepas saya basuh, saya cium dulu nak bau, sama ada bau hancing atau tidak . Masa itu saya tidak bau apa-apa. Keesokan pagi masa saya mahu sidai pakaian dia, ada bau hancing yang masih kuat. Perlukah saya basuh lagi sekali pakaian itu? Saya takut kalau najis itu sudah merebak sebab pakaian itu basah jadi air menitik dalam rumah. Apa hukumnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asalnya, kencing manusia atau haiwan adalah najis berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَهَرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلاً مِنْ مَاءٍ
Maksudnya: “Tuangkanlah atas air kencingnya (Arab Badwi yang kencing di masjid) dengan setimba air.”
Riwayat al-Bukhari (220)
Ibn Battal dalam syarahnya menyebutkan bahawa para fuqaha telah menyatakan ijma‘ akan kenajisan air kencing (manusia) dan perlu untuk membersihkannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 1/325).
Begitu juga Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa semua jenis tahi dan air kencing dikira sebagai najis sama ada haiwan itu boleh dimakan ataupun tidak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/550).
Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan pada awalnya saudara sudah mengesahkan bahawa tiada lagi bau hancing dan yakin ia telah bersih. Namun, ketika mahu menyidainya, saudara dapati masih terdapat bau hancing pada seluar anak. Maka, kami syorkan seluar itu dibasuh semula dengan air agar benar-benar bersih dan bebas dari perasaan was-was. Manakala, bagi air yang menitik dari seluar tersebut, cukup sekadar saudara mop ditempat tersebut sahaja.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”