Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum haram jika membawa air zam zam dari Masjidil haram/Masjid Nabawi ke bilik hotel ketika Haji/ umrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ فِيهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ

Maksudnya:Sebaik-baik air di atas muka bumi ialah air zamzam, padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit.

Riwayat al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (1106); al-Tabarani (11167); al-Dhiya’ dalam al-Ahadith al-Mukhtarah (137); Lihat juga Majma‘ al-Zawaid wa Manba‘ al-Fawaid, 3/286; Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 3/44-45.

Air zamzam merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjidil Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim A.S, apabila Allah SWT telah sediakan air dari telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.

Antara keistimewaan air zam-zam adalah:

  • Air zamzam adalah air terbaik di dunia. Ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ ،

Maksudnya: “Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah Zam-Zam. dan penawar bagi penyakit”.

Lihat al-Jami’ al-Saghir, (4077). Al-Haitahmi mengatakan bahawa perawi-perawinya adalah thiqah (boleh dipercayai dan hadith ini juga disahihkan oleh Ibn Hibban. Lihat Majma’ al-Zawaid, 3/286

  • Air zamzam merupakan penawar bagi penyakit. Ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ

Maksudnya: “Dan penawar bagi penyakit”. (Lihat: al-Jami’ al-Saghir, (4077)

 

  • Air zamzam boleh mengeyangkan sesiapa yang meminumnya. Ini berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فِيْهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ

Maksudnya: “Padanya (air zamzam) terdapat makanan yang mengenyangkan”. (Lihat al-Jami’ al-Saghir, (4077)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidaklah menjadi masalah untuk membawa air zam-zam ke bilik hotel untuk kegunaan saudara. Terutamanya, pada musim haji, yang sudah tentu selepas melaksanakannya kita akan berasa amat haus dan letih. Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk saudara membawanya ke bilik untuk kegunaan ketika di hotel.

Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan atau merezekikan kita untuk meminum air yang berkat ini dan semoga Allah SWT memakbulkan setiap yang kita doa atau hajati. Amin.

Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply