Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah kerbau dikenakan zakat kerana ia tergolong dalam jenis lembu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menjelaskan terlebih dahulu secara ringkas berkenaan kerbau. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kerbau ialah  sejenis binatang peliharaan (seakan-akan lembu rupanya tetapi lebih besar dan kulitnya biasanya berwarna kelabu atau kehitam­-hitaman).[1] Kerbau atau secara lebih tepatnya kerbau bela jinak Asia (Bubalus bubalis) merupakan sejenis haiwan bovid besar yang berasal dari Asia Selatan, Asia Tenggara, dan China. Kini spesies ini juga ditemui di Eropah, Australia, Amerika Utara, Amerika Selatan dan beberapa buah negara Afrika.[2]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang diketahui bahawa di sana terdapatnya zakat binatang ternakan atau dipanggil sebagai zakah al-An‘am (زكاة الأنعام). Perkataan al-An‘am ialah kata jamak kepada al-Na‘am sama ada jantan atau betina serta ia merujuk kepada unta, lembu dan kambing. Firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.”

(Surah al-Mukminun: 21)

Haiwan ternakan ini pula terbahagi kepada jenis-jenisnya, di mana setiap jenis mempunyai subjenis tersendiri seperti kerbau tergolong dalam jenis lembu, manakala ma‘iz (مَعِز) tergolong dalam jenis kambing (الغنم) dalam kebanyakan hukum zakat.

Zakat wajib dikeluarkan daripada unta, lembu dan kambing, kerana banyak manfaatnya, dan zakat dikira berdasarkan bilangan dan keturunannya. Kewajipan zakat haiwan ternakan ini telah ditegaskan dalam hadith-hadith yang sahih. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/37).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kerbau tergolong atau termasuk dalam jenis lembu. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam bahawa al-Baqar ialah nama sejenis kumpulan lembu yang meliputi lembu jantan dan betina. Ahli zoologi berpendapat bahawa Baqar (البقر) ialah sejenis keluarga baqariyyat (Bovidae) yang merangkumi lembu jantan dan kerbau. Begitu juga istilah ini boleh digunakan untuk kedua-dua haiwan jantan dan betina, termasuk ternakan ternakan dan liar. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/297).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa kerbau termasuk dalam jenis haiwan ternakan yang dikenakan zakat sebagaimana lembu kerana ia termasuk atau tergolong dalam jenis lembu. Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada Ibn al-Munzir yang menyebutkan, para ulama telah berijma‘ (bersepakat) bahawa hukum kerbau-kerbau adalah sebagaimana hukum lembu. (Lihat al-Ijma‘, hlm. 45).

Begitu juga Ibn ‘Abd al-Barr turut menyatakan, tidak ada khilaf dalam kalangan ulama bahawa kambing biri-biri (ضَأْن) dan kambing (مَعِز) dihimpunkan sekali, begitu juga unta kesemuanya mengikut perbezaan jenis-jenisnya apabila ia sa’imah.[3] Demikianlah juga halnya bagi lembu dan kerbau. (Lihat al-Istizkar, 3/191).

Tambahan lagi, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan, hukum kerbau adalah sebagaimana hukum lembu, tidak ada khilaf dalam hal ini sebagaimana yang kami ketahui. Bahkan Ibn al-Munzir menukilkan, setiap ulama yang diambil ilmu daripadanya telah menyatakan ijma‘ mengenai perkara ini. (Lihat al-Mughni, 2/444).

Kemudian, nisab binatang ternakan seperti lembu dan kerbau yang dikenakan zakat adalah 30 ekor dan haulnya adalah setahun cukup pemilikan ke atasnya. Nisab bermaksud jumlah minimum yang dikira sebagai syarat bagi sesuatu harta yang wajib dikeluarkan zakat. Justeru, sekiranya harta yang dimiliki seseorang mukallaf tidak sampai kepada jumlah tersebut, maka zakat tidak diwajibkan ke atasnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/29).

Jumlah nisab yang dinyatakan ini adalah berdasarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Mu‘az R.A, katanya:

بَعَثَنِى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْيَمَنِ، فَأَمَرَنِي أَنْ آخُذَ مِنْ كُلِّ ثَلاَثِينَ بَقَرَةً تَبِيعًا أَوْ تَبِيعَةً، وَمِنْ كُلِّ أَرْبَعِينَ مُسِنَّةً

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengutusku ke Yaman. Baginda menyuruhku mengambil zakat daripada setiap 30 ekor lembu, seekor lembu yang setahun, jantan atau betina dan daripada setiap 40 ekor lembu, zakatnya lembu betina dua tahun.

Riwayat al-Tirmizi (623) dan Abu Daud (1576)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah bahawa kerbau termasuk dalam jenis haiwan ternakan yang dikenakan zakat apabila memenuhi syarat-syarat wajibnya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis keluarga lembu dan mengambil hukumnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kerbau. Diakses pada 13 November 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Kerbau. Diakses pada 13 November 2023.

[3] Sa’imah ialah binatang ternakan itu pada kebanyakan masanya dalam setahun meragut di padang ragut bebas. Ini bererti binatang-binatang tersebut boleh hidup sihat tanpa memerlukan makanan tambahan yang lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/39).

Leave a Reply