Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Berapakah kadar nisab lembu yang wajib zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menjelaskan terlebih dahulu secara ringkas berkenaan lembu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, lembu ialah sejenis binatang ternakan untuk mendapatkan susu dan dagingnya.[1]

Lembu merupakan sejenis mamalia ungulat[2] yang umum sekali dan diternak sebagai haiwan bela jinak. Ia merupakan anggota moden yang utama dalam subkeluarga Bovinae, dan spesies yang mempunyai bilangan paling banyak dalam genus Bos, dan biasanya dikelaskan sebagai spesis Taurus.

Lembu dipelihara sebagai binatang ternakan untuk mendapatkan daging, susu dan hasil tenusu, dan sebagai kenderaan (lembu kasi untuk menarik kereta, bajak dan alat-alat sebagainya). Produk lembu yang lain termasuklah kulit dan tahi untuk baja asli atau bahan api. Di sesetengah negara seperti India, lembu membawa erti keagamaan yang penting.

Sekitar 10,500 tahun dahulu, lembu dibela jinak daripada sekurang-kurangnya 80 progenitor di Turki tenggara. Menurut anggaran 2011, terdapat 1.4 bilion ekor lembu di dunia. Pada tahun 2009, genom lembu menjadi antara genom haiwan ternakan pertama yang telah dipetakan sepenuhnya. Lembu dianggap harta kekayaan yang terlama, maka mencuri lembu dikira satu bentuk kecurian yang terawal.[3]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang diketahui bahawa di sana terdapatnya zakat binatang ternakan atau dipanggil sebagai zakah al-An‘am (زكاة الأنعام). Perkataan al-An‘am ialah kata jamak kepada al-Na‘am sama ada jantan atau betina serta ia merujuk kepada unta, lembu dan kambing. Firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.”

(Surah al-Mukminun: 21)

Haiwan ternakan ini pula terbahagi kepada jenis-jenisnya, di mana setiap jenis mempunyai subjenis tersendiri seperti kerbau tergolong dalam jenis lembu, manakala ma‘iz (مَعِز) tergolong dalam jenis kambing (الغنم) dalam kebanyakan hukum zakat.

Zakat wajib dikeluarkan daripada unta, lembu dan kambing, kerana banyak manfaatnya, dan zakat dikira berdasarkan bilangan dan keturunannya. Kewajipan zakat haiwan ternakan ini telah ditegaskan dalam hadith-hadith yang sahih. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/37).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, nisab binatang ternakan seperti lembu yang dikenakan zakat adalah 30 ekor dan haulnya adalah setahun cukup pemilikan ke atasnya. Nisab bermaksud jumlah minimum yang dikira sebagai syarat bagi sesuatu harta yang wajib dikeluarkan zakat. Justeru, sekiranya harta yang dimiliki seseorang mukallaf tidak sampai kepada jumlah tersebut, maka zakat tidak diwajibkan ke atasnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/29).

Jumlah nisab yang dinyatakan ini adalah berdasarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Mu‘az R.A, katanya:

بَعَثَنِى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْيَمَنِ، فَأَمَرَنِي أَنْ آخُذَ مِنْ كُلِّ ثَلاَثِينَ بَقَرَةً تَبِيعًا أَوْ تَبِيعَةً، وَمِنْ كُلِّ أَرْبَعِينَ مُسِنَّةً

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengutusku ke Yaman. Baginda menyuruhku mengambil zakat daripada setiap 30 ekor lembu, seekor lembu yang setahun, jantan atau betina dan daripada setiap 40 ekor lembu, zakatnya lembu betina dua tahun.

Riwayat al-Tirmizi (623) dan Abu Daud (1576)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji (2/36-37) menjelaskan lagi mengenai hal ini, nisab lembu bermula dengan 30 ekor. Justeru, tidak wajib zakat jika bilangannya kurang daripada itu. Apabila bertambah bilangannya, maka kadar zakatnya adalah sebagaimana berikut:

  • Nisab 30-39 ekor, kadar yang diwajibkan, seekor Tabi‘ atau Tabi‘ah (lembu yang berumur setahun).
  • Nisab 40-59 ekor, kadar yang diwajibkan, seekor Musinnah (lembu yang berumur dua tahun).
  • Nisab 60-69 ekor, kadar yang diwajibkan dua Tabi‘.
  • Nisab 70-79 ekor, kadar yang diwajibkan seekor Musinnah dan seekor Tabi‘.
  • Nisab 80-89 ekor, kadar yang diwajibkan dua ekor
  • Nisab 90-99 ekor, kadar yang diwajibkan tiga ekor Tabi‘.
  • Nisab 100-109 ekor, kadar yang diwajibkan, seekor Musinnah dan dua ekor Tabi‘.
  • Nisab 110-119 ekor, kadar yang diwajibkan, dua ekor Musinnah dan seekor Tabi‘.
  • Jika bilangan lembu lebih daripada 119 ekor, setiap 30 ekor: seekor Tabi‘ dan setiap 40 ekor: seekor Musinnah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=lembu. Diakses pada 13 November 2023.

[2] Ungulat merupakan sekelompok mamalia pelbagai jenis yang rata-rata menggunakan hujung jari kaki untuk menampung seluruh berat badannya sambil bergerak. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Ungulat. Diakses pada 13 November 2023).

[3] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Lembu. Diakses pada 13 November 2023.

Leave a Reply