#4136: Biografi Syu’bah: Perawi al-Bukhari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah Syu’bah yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama beliau ialah Syu’bah bin al-Hajjaj bin al-Ward al-’Ataki al-Azdi Abu Bistam al-Wasati dan lebih dikenali sebagai Syu’bah bin al-Hajjaj.

Beliau lahir pada tahun 80 H ketika pemerintahan Abd al-Malik bin Marwan. Abu Zaid al-Harawi pula menyatakan bahawa Syu’bah lahir pada tahun 82 H. Beliau berasal dari Wasit dan kemudian berhijrah dan menetap di Basrah.

Beliau menerima hadith daripada Ibn Sirin, ‘Amr bin Dinar, al-Sya’bi dan beberapa tabi’in yang lain. Antara yang menerima hadith darinya ialah al-A’masy, Ayyub al-Sakhtiyani, Muhammad bin Ishaq, al-Thauri, Ibn Mahdi, Waki’, Ibn al-Mubarak, Yahya al-Qattan dan lain-lain.

Sifat-Sifatnya

Abu Hamzah bin Ziyad al-Tusi berkata, “Syu’bah adalah seorang yang gagap dan mempunyai kulit yang kering kerana banyak melakukan ibadah.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 7/209)

Abu Bahr al-Bakrawi berkata, “Aku tidak melihat orang yang kuat beribadah seperti Syu’bah. Beliau beribadah kepada Allah hingga belakangnya menjadi bongkok dan tidak berdaging.”

Sanjungan Para Ulama

Beliau diakui sebagai imam hadith yang sangat kukuh hafazannya. Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Tidak ada pada zaman Syu’bah orang yang sepertinya dalam bidang hadith dan tidak ada yang lebih baik tentang hal hadith daripadanya.”

Al-Syafi’i berkata, “Seandainya tidak ada Syu’bah, orang Iraq tidak banyak mengetahui hadith.”

Sufyan al-Thauri berkata, “Syu’bah adalah Amir al-Mukminin dalam bidang hadith.”

Abu Dawud al-Tayalisi berkata, “Aku mendengar 7000 riwayat daripada Syu’bah.”

Abu Abdillah bin al-Hakim berkata, “Syu’bah adalah pemimpin para ulama’ hadith yang ada di Basrah. Syu’bah hidup sezaman dengan Anas bin Malik bin Salamah al-Jarmi. Beliau telah menerima hadith daripada 400 guru daripada generasi tabi’in.”

Abu Abdullah berkata, “Sebahagian guru-guru Syu’bah mengambil hadith daripadanya. Mereka ialah Mansur, al-A’masy, Ayyub, Dawud bin Abi Hind, Sa’ad bin Ibrahim – beliau merupakan qadhi di Madinah.”

Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Syu’bah adalah ummah yang tersendiri dalam bidang hadith ini, yakni tentang rijal dan penguasaan mendalam tentang hadith, thabat dan penapisan berkenaan dengan rijal Hadith.” (Lihat al-’Ilal, 2/539)

Al-Zahabi berkata, “Kerana kemuliaan Syu’bah, Imam Malik meriwayatkan hadith daripada seseorang, daripada Syu’bah, yang jarang sekali dilakukan oleh Imam Malik.”

Ibn Hibban berkata: Syu’bah adalah perintis di Iraq yang mengkaji secara mendalam dalam urusan ulama’ hadith dan menjauhkan golongan dhu’afa’ dan yang ditinggalkan sehingga jadilah dia tokoh ulama yang diikuti dan kemudian diikuti oleh ulama ahli Iraq selepasnya. (Lihat al-Thiqat, 6/446)

Al-Khatib al-Baghdadi menyebut: Syu’bah terkenal dengan mengkritik termasuklah lafaz sya’ir dan membezakan antara sin (س) dengan syin (ش), lantas dia membetulnya atau menyalahnya. Satu hari Abu Amr ibn al-Ala’ al-Lughawi al-Kabir menyampaikan syair di hadapannya dan tersilap pada satu huruf. Maka Syu’bah membetul huruf tersebut dalam syair. Kata al-Asmu’i muridnya: Benarlah Syu’bah dan telah tersilaplah Abu Amr Ibn al-’Ala’. Dan aku tidak melihat seorang pun yang lebih mengetahui tentang syair lebih daripada syu’bah. (Lihat Tarikh Baghdad, 10/357)

Ibadahnya

Abu Qatn berkata, “Tidaklah aku melihat Syu’bah melakukan rukun (dalam solat sunat) kecuali aku menyangka bahawa beliau telah lupa (kerana terlalu lamanya), dan tidaklah beliau duduk antara dua sujud kecuali aku menyangka bahawa beliau telah lupa (kerana terlalu lamanya).” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 7/207)

Abu Bahr al-Bakrawi berkata, “Aku belum pernah melihat orang yang lebih kuat ibadahnya kepada Allah daripada Syu’bah. Sesungguhnya dia beribadah kepada Allah sehinggalah kulitnya kering dan menghitam.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 7/144; Tahzib al-Kamal oleh al-Mizzi, 12/292)

Beliau disebut-sebut sebagai melazimi puasa dahr (sepanjang tahun) kerana beliau sangat kerap berpuasa. Hal itulah yang menyebabkan kulitnya menjadi kering dan tubuhnya kurus. Hal ini disebabkan kerana malamnya diisi dengan solat dan siangnya berpuasa.

Abd al-Salam bin Mutahhar berkata, “Aku belum pernah melihat seseorang yang lebih fokus dalam beribadah kepada Allah berbanding Syu’bah.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 7/210)

Umar bin Harun berkata, “Syu’bah berpuasa bertahun, dan tidak ada yang mengetahuinya, manakala Sufyan al-Thauri berpuasa tiga hari pada setiap bulan dan ia telah diketahui oleh ramai orang.”

Kematiannya

Menurut Abu Bakar Manjawaih, Syu’bah lahir pada tahun 82 H dan meninggal pada tahun 160 H. Beliau meninggal pada umur 77 tahun.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *