Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Antara syarat hadith sahih itu, dhabit yang sempurna. Bagaimana cara penilaian dhabit yang sempurna ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan manzumah Baiquniyyah:

أَوَّلُهَا الصَّحِيْحُ وَهْوَ مَا اتَّصَلْ                إِسْنَادُهُ وَلَمْ يَشُذَّ أَوْ يُعَلّْ

يَرْوِيْهِ عَدْلٌ ضَابِطٌ عَنْ مِثْلِهِ                 مُعْتَمَدٌ فِي ضَبْطِهِ وَنَقْلِهِ

Pertamanya (hadith sahih) iaitu apa yang bersambung

            Sanadnya dan tiada syaz atau ‘illah (kecacatan) padanya

Diriwayatkan oleh perawi yang adil lagi dhabit yang seumpama dengannya

            Yang diakui akan kedhabitan dan perawiannya.

Berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa hadith sahih ialah hadith yang mempunyai sanad yang bersambung, diriwayatkan oleh perawi yang adil dan dhabit, dan selamat daripada syaz dan juga kecacatan.

Dalam kitab Aqidah Islamiyyah menyebut, Sahih (الصَّحِيْح) ialah berita yang diriwayatkan oleh seseorang yang bersifat adil dan kuat ingatan daripada orang yang bersifat sama sepertinya, hingga kepada sumber yang pertama berita tersebut tanpa sebarang kejanggalan (الشُّذُوْذ)dan kecacatan (العِلَّة).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan bagaimana Syu’bah, salah seorang perawi yang amat hebat dalam rijal al-Bukhari menggunakan cara dengan membuat ujian terhadap Abban bin Abi Ayyash dan gugur ujian tersebut. Maka Syu’bah mengetahui bahawa beliau bukan seorang yang hafiz. Dia membawa bebrapa lembaran kertas, terdapat padanya hadith-hadith al-Hasan al-Basri dan hadith-hadith Anas, lalu diubah dan dicampur antara keduanya dengan menjadikan yang ini kepada yang ini, dan yang ini kepada yang ini. Kemudian kata Syu’bah, “Aku beri kepadanya, kemudian dia baca kepadaku sehingga dia tidak mengetahui ada berlaku percampuran.” Inilah yang dilakukan oleh Syu’bah. Maka diketahuilah bahawa Abban bin Abi Ayyash bukanlah orang yang dhabit, yang sempurna. (Lihat al-Jarh wa al-Ta’dil, 1/134; al-Dhu’afa oleh al-Uqaili, 1/40 dan al-Jami’ oleh al-Khatib, 1/136)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply