Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan, siapakah tokoh bernama al-A’masy?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nama – nasab
Nama penuh beliau ialah Abu Muhammad Sulaiman bin Mihran al-Asadi al-Kahili al-Kufi al-A’masy. Beliau merupakan tabi’in di peringkat terakhir yang bertuah kerana masih dapat meriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik R.A walaupun bukan secara langsung. Sulaiman al-‘Amash juga digelar al-Mushaf kerana kercerdasan akalnya dan kejujurannya.
Tarikh lahir / tempat lahir
Sulaiman al-A’masy dilahirkan pada tahun 61 H di satu wilayah yang subur di selatan Laut Kaspia di Iran bernama Tabaristan. Dikatakan beliau dilahirkan di Kufah yang asalnya daripada negeri Rai. Kelahirannya berlaku pada hari syahidnya Husin bin Ali bin Abi Talib iaitu pada hari Asyura bulan Muharram tahun 60 H (mengikut satu pendapat).
Walaubagaimanapun, al-‘Amash membesar di Kufah dan bukan di tempat kelahirannya kerana ketika beliau masih kecil, beliau telah berpindah ke Kufah.
Pembelajaran Sejak Kecil
Ketika usia kecilnya, beliau telah berpindah bersama kedua ibu bapanya dan keluarganya ke Kufah. Ketika itu, Kufah antara bandar yang masyhur dan besar serta pesat membangun. Beliau sempat melihat Anas bin Malik, belajar dan meriwayatkan hadith daripadanya. Begitu juga, Abdullah bin Abi Aufa. Kemudian, beliau dapat mempelajari dengan ramai tokoh-tokoh tabi’in yang terkenal. Dengan sebab itu, tidak peliklah beliau membesar dalam lingkaran ilmu sehingga menjadi salah seorang ulama’ yang terkenal.
Pujian Ulama’ kepada Sulaiman al-A’masy
Ramai ulama’ memuji kelebihan al-A’masy. Antaranya:
- Abu Nu’aim berkata, “Imam al-A’masy adalah seorang Imam yang teguh pendiriannya. Seorang perawi hadith yang thiqah, dan fatwanya diterima dan digunapakai oleh umat Islam.”
- Sufyan bin Uyainah mengatakan, “Imam al-A’masy setidaknya mempunyai tiga keunggulan yang menempatkannya di hati umat Islam. Imam al-A’masy adalah orang paling fasih membaca al-Qur’an, paling banyak hafalan hadithnya, dan ahli dalam bidang faraidh (warisan),”
- Waki’ bin al-Jarrah (Guru Imam al-Syafi’i) menjadi saksi kesolehan Imam al-‘Amash. Di mana Sulaiman al-‘Amash tidak pernah tertinggal daripada takbir solat (selalu salat di awal waktu) selama 70 tahun.
- Syu’bah bin Hajjaj mengatakan, “Aku tidak pernah mendengar seseorang yang membacakan hadith sebaik Imam al-‘Amash.”
- Yahya al-Qatan berkata, “Beliau merupakan Allamah al-Islam. Beliau adalah orang yang paling kuat beribadat, memelihara solat jemaahnya, sentiasa berada di saf pertama. Dan beliau memilih berada berhampiran dengan dinding untuk meraih saf pertama.”
- Abdullah al-Kharibi berkata, “Tiadalah selepas A’masy orang yang kuat beribadat daripadanya.”
- Hashim berkata, “Tidak aku lihat di Kufah seorang pun yang lebih baik bacaan al-Qurannya daripada A’masy begitu juga dengan hadith.”
- Abu Bakar ibn Ayyash berkata, “Adalah A’masy pernah diuji berkenaan dengan al-Quran dari sudut hafazannya. Dan didapati satu huruf pun dia tidak tersilap.”
- Jarir bin Abdul Hamid berkata, “Adalah A’masy apabila orang ramai atau murid-muridnya, bertanya tentang hadith yang tidak dihafaznya, nescaya dia duduk berjemur di bawah matahari dan dia menggosok kedua-dua tangannya di matanya sehinggalah dia dapat mengingatnya.”
- Al-Zahabi berkata, “A’masy adalah ketua dalam ilmu yang memberi manfaat dan amalan soleh.”
- Al-Sakhawi berkata, “Tiadalah mana-mana pemerintah atau orang-orang kaya berada dalam majlis yang lebih hina bagi mereka kecuali di dalam majlis al-A’masy sekalipun A’masy terkenal dengan fakir dan miskinnya.”
Guru-gurunya
Antara guru-gurunya:
- Abdullah ibnu Abi Aufa
- Zaid bin Wahab
- Ismail bin Raja’
- Abu Hazim al-Syuja’i
- Addi bin Thabit
- Imarah bin al-Qa’qa
- Mujahid bin Jabar. Pernah satu ketika, A’masy berkata, “Aku datang menemui Mujahid untuk belajar. Lantas, Mujahid berkata, ‘Kalau aku mampu berjalan, nescaya aku datang kepada kamu.’”
- Mundzir al-Thauri
- Abu Solih
- Said bin Ubaidah
Murid-muridnya
Antara murid-muridnya:
- Syu’bah bin Hajjaj
- Sufyan al-Thauri
- Sufyan bin Uyainah
- Abdullah bin al Mubarak
- Abu Usamah
- Fudhail bin Iyadh
- Abu Bakar bin Ayyasy
- Sulaiman al-Taimi
- Abu Ishaq Al Fazari
- Jarir bin Abdul Hamid
- Waki’ ibn Jarrah. Dikatakan ayah kepada Waki’ iaitu Jarrah bin Malih merupakan penguasa Baitulmal. Bila mana Waki’ datang kepada A’masy untuk mempelajari hadith, A’masy biasanya meminta Waki’ mengambil duit haknya dari bapanya dan mengupahnya dengan 5 hadith yang dihafaz.
Kelebihannya
Salah seorang ulama yang paling menarik untuk dibaca ialah Sulaiman bin Mihran atau juga dikenali sebagai al-A’masy (orang yang lemah penglihatan). al-A’masy mempunyai keperibadian yang cukup menarik, kerana beliau sangat alim dan berpengetahuan tetapi juga mempunyai sikap kasar, menyindir yang membuatkan seseorang itu sentiasa tersenyum ketika membaca kisahnya.
Berikut adalah beberapa kejadian lucu yang dikumpulkan berkaitan ucapan dan tingkah laku beliau di dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala, 6/419-434 dan Hilyah al-Awliya’, 5/54-70:
- Al-A’masy keluar ke beberapa kawasan pada suatu hari, dan beberapa orang datang kepadanya untuk bertanya kepadanya tentang hadith. Para sahabatnya berkata kepadanya, “Tidakkah kamu mahu menceritakan kepada jiwa-jiwa yang miskin ini?” al-‘Amash menjawab, “Siapa yang akan menggantung mutiara pada khinzir?”
- Beberapa orang datang kepada al-A’masy pada suatu hari, dan dia keluar dari rumahnya untuk memberi salam, sambil berkata, “Kalau bukan kerana ada orang di rumah saya yang lebih saya benci daripada kamu, tentu saya tidak akan keluar untuk berjumpa dengan kamu.”
- Gabenor ‘Isa bin Musa menghantar buku catatan bersama seribu dirham kepada al-A’masy untuk dia menuliskan hadith di dalamnya. Maka, al-A’masy menulis: “Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani: Katakanlah: ‘Dialah Allah, Yang Esa.’” dan mengembalikan kitab itu kepadanya. Dia mengutus kepadanya, berkata: “Apakah kamu mengira aku tidak mengetahui Al-Qur’an?” al-A’masy menghantar pulang, berkata, “Adakah anda fikir saya menjual Hadis?” Dia menyimpan wang itu untuk dirinya sendiri.
- ‘Abdullah bin Idris berkata kepada al-A’masy: “Apakah yang menghalangmu daripada menggunting rambut?” Dia membalas: “Penggunting rambut terlalu banyak bercakap.” Maka, dia berkata: “Aku akan membawa kamu kepada tukang gunting rambut yang tidak akan berkata sepatah pun kepada kamu sehingga dia selesai memotong rambut kamu.” Dia membawanya kepada seorang Junayd, seorang tukang gunting rambut yang juga seorang Muhaddith. Maka, ‘Abdullah memberi amaran kepadanya supaya tidak bercakap dengan al-A’masy, dan dia bersetuju. Namun, apabila dia telah menggunting separuh rambut al-A’masy, dia berkata: “Wahai Abu Muhammad, apakah status hadith Habib bin Abi Thabit tentang haid?” Maka, al-A’masy bangun, menjerit, lari dari situ dan selama sebulan beliau ke sana ke sini dengan hanya separuh rambutnya dipotong.
- Husain bin Waqid mengalunkan bacaan Al-Qur’an kepada al-A’masy, dan bertanya kepadanya: “Bagaimanakah kamu menyukai bacaanku?” Al-A’masy menjawab: “Lebih baik daripada bacaan mana-mana orang kafir.”
A’masy dan Hadith Rasulullah SAW
Ali ibn al-Madini pernah berkata, “Pemeliharaan ilmu bagi umat Muhammad SAW berkisar kepada 6 orang. Bagi penduduk Mekah ialah Amru bin Dinar, penduduk Madinah Ibnu Syihab al-Zuhri, penduduk Kufah ialah Abu Ishak al-Suba’i dan Sulaiman bin Mihran (al-A’masy), penduduk Basrah ialah Yahya bin Abi Kathir, Naqilah dan Qatadah.”
al-Bukhari meriwayatkan daripada Ali bin al-Madini tentang al-A’masy seraya berkata, “Dia menguasai kira-kira 1300 hadith Nabi SAW yang dihafaznya.”
Cerdik dan Pintar Menjawab
Suatu ketika, al-‘Amash keluar pada waktu pagi dan pergi ke masjid Bani Asad. Mereka hendak mula solat dan dia terus masuk ke dalam dan solat bersama. Imam di situ membaca surah al-Baqarah pada rakaat pertama, dan membaca surah ‘Ali ‘Imran’ pada rakaat kedua.
Apabila dia selesai, al-A’masy berkata kepadanya: “Apakah kamu tidak takut kepada Allah? Tidakkah kamu mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن أمَّ الناسَ فليخفِّفْ، فإنّ فيهمُ السَقِيمَ والكبيرَ وذا الحاجةِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengimami orang ramai dalam solat, hendaklah ia dikerjakan dengan mudah lagi ringan. Ini kerana di belakangnya ada orang yang sakit, tua, dan ada keperluan.”
Riwayat al-Bukhari (703) dan Muslim (467)[1]
Maka lelaki itu menyebut firman Allah SWT:
وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
Maksudnya: “…dan ia amat berat kecuali bagi orang yang khushu’…” [al-Baqarah; 45]
Lantas al-A’masy berkata: “Aku adalah utusan orang-orang yang khusyu’ yang datang memberitahu kamu bahawa solat yang kamu imami ini adalah berat.”
A’masy dengan Muridnya Abu Hanifah
A’masy digelar sebagai mushaf kerana kebenarannya dan ramai tokoh yang meriwayatkan daripadanya. Walaupun begitu, beliau terkenal dengan sifat tawaduk. Pernah sekali datang seorang lelaki datang kepadanya bertanya kepadanya satu masalah sedangkan bersamanya, Abu Hanifah yang juga muridnya.
Lantas, dikatakannya kepada Abu Hanifah, “Jawab.” Selepas Abu Hanifah menjawab, A’masy bertanya kepadanya, “Dari mana jawapan kamu ini?” Jawab Abu Hanifah, “Daripada hadith yang syeikh ceritakan padaku, begian, begian, begian.” Jawab A’masy, “Cukup, apa yang aku riwayatkan kepada kamu dalam masa setahun, kamu boleh menjawabnya dalam masa satu detik sahaja.” Kemudian beliau berkata:
يَا مَعْشَرَ الْفُقَهَاءِ أَنْتُمُ الْأَطِبَّاءُ وَنَحْنُ الصَّيَادِلَةُ
Maksudnya: “Wahai para fuqaha’, kamu adalah ibarat pakar-pakar perubatan, sedangkan kami ibarat farmasi.” (Lihat al-Kamil fi al-Du’afa’ al-Rijal oleh Ibn ‘Uday al-Jurjani, 8/238; al-Tabaqat al-Saniyyah fi Tarajum al-Hanafiyyah, 1/120)
Gurauan A’masy
Walaupun beliau sebagai ulama’ Islam yang terkemuka pada zamannya, Sahib Sunnah, tetapi beliau juga terkenal dengan kisah lucu dan bergurau. Satu ketika, beliau bergaduh dengan isterinya yang sangat sukar untuk berbaik kembali. Kemudian, beliau bertemu dengan sebahagian sahabatnya ahli fiqh untuk memujuk isterinya dan membaikkannya.
Salah seorang sahabatnya masuk bertemu isterinya, “Sesungguhnya Abu Muhammad (gelaran kepada A’masy) Seorang syeikh yang tua dan kamu tahu matanya rabun dan tidak nampak, betisnya kecil, kepala lututnya lemah, perutnya busuk, mulutnya berbau, tangannya kosong.” Selepas A’masy mengetahui dia berkata, “Celaka kamu, kamu sudah membuka aibku kepada isteriku.”
Satu hari, Abu Hanifah berkata kepada A’masy ketika menziarahinya yang sedang sakit, “Kalaulah tidak menjadi keberatan ke atas kamu hai Aba Muhammad, nescaya aku menziarahi kamu setiap hari 2 kali”. A’masy menjawab, “Wahai anak saudaraku kamu membuatkan aku lebih berat. Sedangkan kamu di rumahmu macam mana kamu boleh datang setiap hari dua kali.”
Satu hari, beliau berkata kepada anaknya, “Pergilah ke kedai, belilah untuk kita tali, panjangnya 30 hasta.” Anaknya bertanya, “Wahai abah nak ukur apa ini?” Jawabnya, “Nak ukur musibahku dengan sebabmu.”
Mawaqif
Al-A’masy mempunyai banyak mawaqif yang baik dan terpuji. Antaranya:
Pertama, dikatakan beliau amat berani dalam menegakkan kebenaran tanpa rasa takut walaupun diancam dengan pelbagai ancaman. Pernah satu ketika, Hisyam bin Abdul Malik (salah seorang Khalifah Umayyah ketika itu) menghantar surat dengan satu soalan, “Tulislah bagiku kisah kemuliaan Uthman dan keburukan Saidina Ali.” Al-A’masy mengambil kertas dan memasukkannya ke dalam mulut kambing yang dibawa bersamanya dan berkata kepada utusan tersebut, “Katakan kepadanya inilah jawapan kamu.” Jawab utusan tersebut, “Sesungguhnya ini akan membawa kepada aku akan dibunuh jika aku tidak membawa jawapan kamu.” Akhirnya, rakan-rakannya memohon ihsan dengan al-A’masy dan berkata, “Selamatkanlah dia daripada dibunuh dan jawablah.” Kemudian barulah beliau menjawab dengan tulisan, katanya:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ: أَمَّا بَعْدُ، فَلَوْ كَانَتْ لِعُثْمَانَ مَنَاقِبُ أَهْل الأَرْض مَا نَفَعَتْكَ، وَلَو كَانَتْ لِعَلِيّ مساوئ أهْل الأَرْض مَا ضَرَّتكَ. فَعَلَيْكَ بِخُويصَةِ نَفْسِكَ.
Maksudnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Adapun selepas itu, kalaulah bagi Uthman mempunyai manaqib sebanyak ahli bumi ia tidak memberi manfaat kepada kamu. Dan kalaulah Saidina Ali mempunyai keburukan sebanyak ahli bumi maka ia tidak memberi mudarat kepadamu. Maka hendaklah kamu khusus untuk hal kamu.” (Lihat Nathar al-Durr fi al-Muhadharat oleh Abu Sa’id Mansur bin al-Husain al-Abi, 5/140)
Kedua, beliau amat tegas dengan hadith Rasulullah SAW dan tidak sanggup digadaikannya semata-mata kerana harta benda. Isa bin Yunus pernah berkata, “Kami tidak melihat orang seumpama A’masy, di mana aku tidak melihat orang-orang kaya dalam keadaan merasa amat hina, kecuali ketika bersama A’masy, sekalipun beliau seorang yang fakir dan berhajat. Ini kerana, sifat menjaga maruah diri, qanaah, sentiasa bersama dengannya.” Dikatakan, beliau mendapat bantuan dari Baitulmal, sebulan dengan 5 dinar yang telah diputuskan dan ditetapkan pada penghujung usianya.
Kata-kata Hikmahnya
Antara ucapan yang amat terkesan dalam hidupnya dan beliau selalu menyebut, “Sesungguhnya aku suka bahawa aku dapat memberi afiyat dan kebaikan kepada semua saudara-saudaraku kerana mereka apabila dibala aku juga akan dibala bersama mereka. Ini kerana dengan sebab pengorbanan yang terpaksa ditanggung atau kehinaan yang membawa aib.”
Kewafatannya
Imam al-Zahabi mengatakan Sulaiman bin Mihran al-‘Amash wafat kerana sakit pada bulan Rabi’ul Awwal, tahun 148 H di Kufah. Beliau berusia sekitar 87 tahun. (Lihat Hilyah al-Auliya)
Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah berkata pada tahun 148 H meninggalnya Sulaiman bin Mihran al-A’masy pada bulan Rabiul Awwal yang merupakan salah seorang ulama’ hadith.
Dalam Tarikh Baghdad menyebut beliau seorang yang thiqah, thabat dalam ilmu hadith. Wallahu a’lam.
Ketika sakitnya, Abu Bakar ibn Ayyasy pernah menziarahinya dan berkata kepadanya, “Aku panggil untukmu tabib yang handal.” Maka jawabnya, “Apa yang boleh aku lakukan dengannya? Demi Allah, kalaulah jiwaku atau diriku pada diriku sendiri nescaya aku buangkannya di kebun. Jika aku mati, jangan seseorang pun menyakitiku (bertempik atau meraung) tapi bawalah aku dan letakkanlah aku di lahadku.”
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”
Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)
Nota kaki:
[1] Dalam riwayat Muslim, dengan lafaz berikut: ‘ إِذَا أَمَّ أَحَدُكُمُ النَّاسَ فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمُ الصَّغِيرَ وَالْكَبِيرَ وَالضَّعِيفَ وَالْمَرِيضَ’